Khodi dan cinta tiga segi - Utusan Malaysia

Khodi dan cinta tiga segi

'Dia Bagiku' sangat berbeza bagi Khodi yang menyifatkan ia adalah sebuah naskhah muzik yang matang dari kaca matanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMANYA mungkin masih terlalu asing buat pendengar muzik tanah air.

Malah, silap hari bulan, ada yang menyangka Khodi adalah seorang penyanyi lelaki andai tidak pernah bertemu atau mengenali dirinya.

Pun begitu, ia tidak menjadi satu masalah buat penyanyi muda ini yang mahu menempatkan diri dalam industri seni hiburan tempatan meski sedar dia perlu menghirup atmosfera persaingan yang sama dengan mana-mana artis baru lain.

Meletakkan keyakinan yang tinggi menerusi bakat nyanyian yang ada, Khodi atau nama sebenarnya Seri Khodijah Kamarul Bahrin, 20, enggan melepaskan peluang yang ada dalam usaha membuktikan dirinya juga mampu pergi jauh dalam bidang ini.

“Tak cuma menyanyi, saya juga percaya pada bakat penulisan lirik yang ada pada diri. Seperti single berjudul Dia Bagiku yang baru dilancarkan baru-baru ini, saya memberanikan diri mempertaruhkan naskhah itu yang mendapat sentuhan komposer Farouk Rahman, demi memberikan yang terbaik buat pendengar,” katanya.

Menurut Khodi, walaupun dia pernah muncul dengan single berjudul Lenggang sebelum ini, Dia Bagiku padanya sangat berbeza sementelah menyifatkan ia adalah sebuah naskhah muzik yang matang dari kaca matanya.

“Berpeluang untuk menulis lirik buat pertama kalinya, menerusi lagu itu, saya buka kisah mengenai seorang wanita dilanda keperitan akibat cinta tiga segi.

“Sebenarnya, karakter watak Jasmine dalam drama Single Terlalu Lama memberi inspirasi kepada saya untuk menceritakan mengenai kisah suka dan duka yang dialaminya sewaktu menjalin persahabatan dengan dua jejaka.

“Hakikatnya, kedua jejaka itu bukan pilihan terbaik buat Jasmine. Dia terpaksa membuat pilihan yang tulus dari hatinya. Kiranya, lagu ini adalah luahan perasaannya dalam membuat pilihan itu,” katanya.

Memandangkan ia merupakan naskhah balada sulung nyanyiannya, Khodi tidak menafikan bahawa dia berdepan cabaran sewaktu melunaskan rakaman single tersebut.

Pun begitu, dia berazam untuk tidak mengalah dengan perasaan gementar yang menyelubungi dirinya selain menanam azam untuk memberikan sepenuh jiwa kepada lagu ini.

“Memang saya rasa gementar dan sedikit gemuruh sebenarnya waktu sesi rakaman. Untuk dapatkan emosi yang betul ketika menyanyikan lagu ini pun tidak mudah.

“Tetapi saya kuatkan juga semangat dan sahut cabaran ini selain berusaha memperbaiki mutu nyanyian.

“Harapnya saya berjaya menjiwai emosi suka dan duka dan sampai ke jiwa pendengar. Terima kasih juga buat Farouk Roman dan Afif Tirmizie selaku vokal produser vokal yang tak jemu-jemu memberi tunjuk ajar buat artis baru seperti saya ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khodi berazam untuk terus menonjolkan sisi berbeza dalam aspek kemampuannya dalam nyanyian dengan tidak mahu menguasai satu genre muzik semata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×