Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan halangan untuk kita bergembira pada 1 Syawal. Sebelum solat Aidilfitri, adalah sunat untuk mengalas perut dengan hidangan seperti ketupat dan rendang.
Aktiviti kunjung-mengunjung dibenarkan sempena Aidilfitri, tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekurang-kurangnya dapat menggembirakan hati.
Begitupun, tidak kiralah beraya di mana, menu hari raya nyata sangat istimewa. Makanan tradisional seperti ketupat palas, rendang, lemang, serunding, nasi impit, kuih kacang dan banyak lagi antara dicari-cari untuk dijamah. Soalnya bagaimana mendapatkan hidangan sedap tetapi tidak mudah rosak?
Cef Selebriti yang juga pemilik Restoran Rebung, Datuk Ismail Ahmad berkata, antara tips penyediaan makanan supaya lebih tahan lama ialah ia perlu dimasak dengan betul.
Malah sukatan juga tidak boleh kurang atau terlebih untuk mengekalkan rasa yang asli makanan tradisional.
“Bahan perlu betul dan tidak tipu ramuan. Contoh, jika air letak 10 liter, gula merah dua ketul, kemudian letak gula pasir. Tidak boleh tipu dalam ramuan. Kadang-kadang tengok rupa pun boleh tahu kenapa cair. Belum makan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, jika makanan bersantan, ia perlu dimasak betul-betul.
“Jangan lupa letak garam. Garam pengawet semula jadi selain daripada gula dan asam. Jadi, mesti cukup semua ramuan dan masak dengan betul. Contoh, kalau Kuih Badak Berendam jangan dicampur terlalu awal dengan kuah santan. Asingkan. Apabila pelanggan mahu makan baharulah campur. Jadi, kuih tidak akan mudah basi,” katanya.
Juadah wajib hari raya sering menjadi pilihan antaranya ketupat palas, rendang tok, nasi impit, kuah kacang, masak lodeh, dodol dan wajik.
Sayangnya, kata Cef Ismail, orang bandar atau yang tinggal di kota tidak pandai menilai rasa. Banyak yang dijual tidak lemak, kurang padat, jelatah dan mudah basi.
Menyingkap rahsia katanya, sebab itulah Rebung mendapatkan bekalan lemang kampung yang ditempah khas dari kampung beliau di Rembau, Negeri Sembilan.
Ketupat palas pula ditempah di Kuala Selangor yang perlu mengikut speksifikasi yang ditetapkan.
Bagi yang ingin menikmati juadah tradisional, Restoran Rebung menerima tempahan bagi rumah terbuka terutama sepanjang Syawal. Ia turut membuka bazar dari pukul 3 petang hingga 6 petang untuk orang ramai membeli juadah diingini.










