Keistimewaan malam lebaran - Utusan Malaysia

Keistimewaan malam lebaran

ANTARA amalan yang dianjurkan pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah membanyakkan bertakbir, qiamulullail, membaca al-Quran serta berdoa agar Allah menerima semua amal ibadat yang dilakukan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan sudah hampir menutup tirainya. Setelah sebulan penuh umat Islam memenuhi bulan mulia ini dengan beribadah seperti solat tarawih, puasa, tilawah al-Quran, bertahajud, zakat, sedekah dan lain-lain ibadah; maka perjalanan akhir sudah hampir tiba.

Lebih indah lagi apabila 10 malam terakhir ini dipenuhkan dengan tingkatan ibadah semaksimum mungkin. Ada yang mengejar lailatul qadar bertahajud sepanjang malam. Ada yang mengejar mengkhatamkan al-Quran sebanyak-banyaknya selagi masih dalam Ramadan.

Akan tetapi, apakah segala ibadah ini akan dikekalkan setelah Ramadan berakhir? Apakah bulan Syawal dijadikan bulan boleh meninggalkan ibadah dan fokus kepada keduniaan semata? Seolah-olah ‘madrasah Ramadan’ kita hanya sebulan setelah itu lulus tanpa membawa sijil yang membentuk diri kita menjadi insan yang sentiasa mematuhi titah Allah SWT?

Sebagai panduan bagi umat Islam, syariat Allah SWT menunjukkan banyak dalil dan hujah kemuliaan Syawal dan keistimewaan bulan ini walaupun ia adalah bulan setelah bulan penuh berkat. Bagaimana tidak?

Semua umat Islam tahu bahawa puasa enam pada Syawal adalah disunatkan kecuali mazhab Maliki yang menilai makruh kalau puasa enam dicantumkan selama enam hari berturut-turut kerana Sadd al-Dhari’ah (menutup kemungkinan negatif) sehingga ada yang sangka puasa enam adalah wajib. Dalam mazhab Shafie, puasa enam adalah sunat selain pada hari raya itu kerana haram puasa pada 1 Syawal.

Hanya saja, ramai umat Islam terlupa satu malam yang penuh istimewa, iaitu malam lebaran itu sendiri. Dapat dimaklumi, ada kalangan kita yang bergembira pada malam penutup tirai berpuasa sebulan sehingga lupa dengan keistimewaan malam lebaran ini.

Salah seorang mujtahid yang empat, iaitu imam kita, Imam al-Shafie (w. 204H) berkata di dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai kepadaku (dari ulama salaf sebelumnya) bahawa dikatakan: doa dimakbulkan pada lima malam; malam Jumaat, malam Eid al-Adha, malam Eid al-Fitri, malam pertama bulan Rejab dan Malam Nisfu Syaaban”. Di dalam sumber ini, jelas Imam al-Shafie menetapkan dua malam Eid (Raya Eid al-Fitri dan al-Adha) sebagai malam yang istimewa dan malam yang makbul berdoa.

Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang menghidupkan kedua malam lebaran, maka Allah SWT menghidupkan hatinya pada hari yang hati-hati yang lain mati. (Riwayat Majah melalui Abi Umamah dengan sanad yang daif)

Sheikh Abd al-Hamid bin Muhammad Ali al-Makki al-Shafi’i (w. 1335H) menjelaskan, maksud hadis ini adalah sebuah perumpamaan (kinayah) akan selamatnya orang tersebut pada hari kiamat ketika hati-hati mati iaitu hancur dan tidak selamat. Allah menyelamatkannya dari su’u al-khatimah (kematian yang keji). Walaupun hadis ini lemah, ulama membolehkan penggunaan hadis daif untuk motivasi supaya beramal menghidupkan malam raya dengan ibadah seperti tahajud, berdoa dengan telus dan ikhlas.

Seorang ulama besar mazhab Maliki, Sheikh Abu Abdillah Muhammad al-Hattab al-Ru’ayni (w. 954H) menjelaskan, disunatkan menghidupkan malam raya dengan berzikir kepada Allah, bersolat dan selainnya dari segala jenis ketaatan.

Walaupun hadis-hadis tentang menghidupkan malam raya adalah lemah namun hadis-hadis tentang fadilat amal boleh ditoleransi untuk beramal dengannya. Nukilan beliau bersumber kepada Imam Ibn al-Furat (w. 828H).

Beliau juga menyebutkan ulama berbeza pendapat tentang cara menghidupkan malam lebaran ini apakah mesti seluruh malam atau walau seketika? Menurutnya, pendapat yang lebih jelas dalam mazhab Maliki ia tidak dapat berhasil melainkan menghidupkan kebanyakan dari malam ini. Pendapat kedua, dapat pahala walaupun menghidupkannya hanya seketika (sa’ah). (Mawahib al-Jalil: 2/193)

Ulama besar Universiti al-Azhar, Mesir yang bermazhab al-Shafie, Sheikh Muhammad al-Hafni (w. 1181H/1768M) menjelaskan, kadar minimum untuk dapat pahala menghidupkan malam lebaran adalah dengan solat Isyak berjemaah dan berazam solat Subuh berjemaah. Akan tetapi tujuan utama di sini adalah melakukan ibadah seperti solat dan berzikir sepanjang malam supaya mendapat pahala yang besar iaitu mendapatkan syurga Allah. (Hasyiah Jami Shaghir: 3/288).

Selain beribadah dengan solat pada malam mulia ini, jangan lupa bertakbir. Ia adalah sunat muakkad (amat dituntut) di malam lebaran. Sheikh Daud al-Fattani (w. 1847H) salah seorang ulama besar alam Melayu berkata dalam kitabnya Bughyah al-Tulab: “Sunat bagi tiap-tiap seorang membanyakkan takbir pada dua malam hari raya, segala tempat dan pada jalan dan dalam masjid dan pada pekan dan pada ketika berjalan kaki dan menunggang dan duduk dan berdiri dan pada segala kelakuan”.

Beliau juga menganjurkan untuk mengangkat suara: “Dan sunnah mengangkat suara pada laki-laki dan sunnah dengan perlahan bagi perempuan dan khunsa pada hadapan orang”.

Melihat keterangan ulama ini, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa menghidupkan malam lebaran adalah sangat dianjurkan. Janganlah membazir harta dan masa dengan bermain mercun atau bersembang kosong.

Sebaiknya umat Islam menghidupkannya dengan bertakbir sepanjang malam dan solat malam tahajud ketika masuk waktu tengah malam dengan berbanyak doa kepada Allah SWT. Semoga segala doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT, Amin Ya Rabbal Alamin!

  • Dr. Ayman al-Akiti ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM & Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN