Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 kembali dilaksanakan di seluruh negara sudah pasti ramai yang akan mula ‘berhibernasi’ di rumah masing-masing bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Peningkatan penggunaan utiliti sudah pasti tidak dapat dielakkan. Mana tidaknya, kekerapan penggunaan barangan elektrik seperti peralatan pemanas air, penghawa dingin, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan banyak lagi akan meningkat secara drastik.
Namun, ada beberapa tips yang boleh dikongsikan untuk menjimatkan tenaga air dan elektrik ketika tempoh duduk di rumah. Mengamalkan beberapa tips ini bukan sahaja dapat menjimatkan poket malah pelepasan gas rumah dapat dikurangkan sekaligus menjamin keselamatan iklim.
Perkakas cekap tenaga
Tukarkan perkakas di dapur dengan perkakas pintar yang memberikan banyak penjimatan dan memudahkan. Sebagai contoh, peti sejuk yang diperakui Energy-Star dianggap sesuai kepada pemilik rumah kerana ia dapat membantu meningkatkan kecekapan tenaga. Energy-Star merupakan sijil yang diberikan kepada peralatan penjimatan tenaga yang membuktikan kecekapan tenaga sebanyak sembilan peratus lebih banyak daripada model lain.
Tukar kepada LED
Anda juga boleh mula mempertimbangkan untuk menggantikan lampu sedia ada dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) bagi mewujudkan kediaman cekap tenaga. Walaupun harganya agak mahal berbanding lampu biasa, namun pencahayaan secara ratanya dapat menyumbang 25 peratus daripada kos tenaga rumah sekaligus memberikan penjimatan dalam jangka masa panjang.
Cabut plug elektrik apabila tidak digunakan
Antara cara paling mudah menjimatkan elektrik di rumah adalah mencabut semua plug elektrik apabila tidak digunakan. Plug yang tidak dicabut sebenarnya masih menggunakan tenaga elektrik. Walaupun jumlah elektrik yang digunakan mungkin tidak banyak mana namun sekiranya terdapat berpuluh plug di rumah, ia pasti mengakibatkan pembaziran. Mencabut plug apabila tidak digunakan juga pasti dapat memberikan keselamatan tambahan kepada keluarga terutamanya yang mempunyai anak kecil di rumah.
Guna semula air
Bila membasuh beras, untuk menanak nasi, adakah air itu anda buang begitu sahaja? Apa kata manfaatkan air basuh beras itu untuk menyiram pokok bunga di halaman rumah anda? Air beras membekalkan nutrien kepada tumbuhan. Malah ia juga boleh digunakan pada rambut untuk mendapatkan rambut bersinar. Malah sekiranya diurut pada kulit kepala, ia diyakini dapat menyihatkan akar rambut.
Waktu mandi juga boleh menjimatkan air. Caranya ialah memasang pemasa mandi. Alat ini menggunakan teknologi pintar mengukur jumlah air yang digunakan setiap kali mandi dan akan berbunyi apabila anda mengambil masa terlalu lama dalam bilik mandi. Peranti ini boleh dipasang dengan mudah pada paip.









