Emas saduran? Berkualiti ke? Baik pakai emas betul.
Kata-kata sindiran itu masih terngia-ngia di telinga Izreen Immarni Imnizam, 34, sewaktu mula berjinak-jinak meniaga emas saduran enam tahun.
Ia berbekas dalam kotak ingatan namun kata-kata nista itulah sebenarnya membantu melonjak dirinya bekerja lebih keras.
Kini pemilik kedai emas saduran Chanteq Chantique ini boleh tersenyum lebar apabila boleh buat duit dengan menjual emas saduran. Malah mampu meraih jualan tujuh angka setiap bulan. Nyata wanita kelahiran Kedah ini, beliau bukan calang-calang wanita.
“Tiada yang mudah dan saya pernah dihina dan diperli kerana menjual emas saduran tetapi saya tidak pernah berputus asa. Malah hinaan itu saya jadikan kekuatan untuk saya berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru ini-baru ini.
Pemilik kedai emas saduran ini membuka perniagaan pada 2015. Bermula hanya dalam talian, beliau kini mampu menggaji lebih 50 pekerja dan memiliki sebuah butik pameran emas saduran yang eksklusif.
Mengulas mengenai pencetus semangat keusahawanannya, Izreen berkata, beliau ingin mengubah nasib diri dan mengejar impian berjaya tanpa membebankan keluarga.
Pada usia 24 tahun, beliau pernah membuka gerai di pasar tani. Tidak pernah mengenal erti penat atau putus asa, beliau tegar memulakan perniagaan secara kecil-kecilan malah pernah mengalami kerugian.
“Bukan mahu hidup mewah tetapi kemahuan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik. Prinsip itu juga menjadi pegangan hingga sangat komited dalam menguruskan perniagaan,” katanya.

BERKORBAN
Menceritakan suka dukanya bergelar usahawan, Izreen berkata, selain minat, beliau menceburi dunia perniagaan lantaran ia antara medium mendapatkan rezeki halal, bersih dan berkat.
“Saya tidak malu beritahu hanya belajar hingga ke peringkat sekolah menengah kerana bagi saya, setiap individu itu mampu berjaya asalkan ada semangat yang kuat.
“Namun, tidak mudah, saya berkorban siang malam demi untuk memastikan apa diusahakan berjalan lancar, bukan mudah sebagai seorang isteri untuk membahagikan masa namun saya tetap buktikan mampu lakukannya,” katanya.
CABARAN
Menyingkap mengenai cabaran dilalui, Izreen berkata, sebelum menjual aksesori ini, beliau pernah menjual produk lain seperti baju dan buah jeruk.
Pada 2015, Izreen membuka kedai aksesori di Kajang tetapi mengalami kerugian lantaran salah strategi.
“Selepas itu saya mengambil keputusan untuk fokus berniaga dalam talian sehingga pada 2020 saya memperkenalkan jenama Chanteq Chantique.
“Ketika itu ada juga yang bertanya, saya tak malu ke menjual emas celup seolah-olah saya menipu orang ramai. Sebenarnya, saya selalu menerangkan kepada pelanggan, aksesori saya bukan emas tulen.
“Sebaliknya ia merupakan pilihan kepada mereka yang tidak mampu atau yang ingin memakai barang kemas tetapi mengutamakan keselamatan seperti risiko ragut dan sebagainya,” katanya.
Selepas mengalami kegagalan dalam perniagaan, Izreen tercari-cari formula untuk meningkatkan jualan. Tanpa menoleh ke belakang, beliau mengikuti satu kursus motivasi dan pemasaran dan secara berperingkat jualan dalam talian meningkat.
REZEKI AIDILFITRI
Memandangkan Izreen lebih fokus kepada perniagaan dalam talian, beliau menjangkakan Aidilfitri kali ini memberi rezeki berlipat kali ganda buatnya.
“Seperti tahun lalu, 2021 menyaksikan lonjakan pelanggan dalam talian dan saya lihat berlaku berlaku peningkatan 100 peratus.
“Sambutan diterima tahun ini amat menggalakkan dan rata-rata pelanggan memilih aksesori kami kerana kualiti yang tidak mudah luntur dan rekaan premium,” katanya.
Mengenai rancangan masa depan, beliau mahu mengembangkan empayar perniagaannya.
“Kenali pelanggan dan tahu kehendak mereka. Ini akan menambahkan lagi nilai anda berbanding orang lain. Anda kena jatuh cinta dengan pelanggan anda sendiri, bukannya dengan produk anda,” katanya.
SUAMI TULANG BELAKANG
Selepas jualan dalam talian meningkat, Izreen dan suami mengambil keputusan membuka ruang pameran bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
“Berniaga ini, yang manisnya tentu saja apabila mengira keuntungan namun asam garam berniaga pasti ada ruginya. Hanya air mata menjadi peneman,” ujarnya.

Wanita cekal ini turut mengakui suami tercinta, Mohd. Faiszal Ismail, 39, menjadi tulang belakang kejayaannya kini.
“Suami sentiasa ada di sisi tidak kira dalam apa juga keadaan. Pada masa sama dia juga memang terbabit dalam bidang perniagaan sejak usia muda yang saya jadikannya sifu dan mentor kerana selalu berkongsi pengalamannya.
“Saya juga percaya disiplin diri amat penting bagi memastikan urusan harian berjalan lancar. Saya akan buat jadual harian setiap hari bagi memastikan tidak ada perkara yang tergendala,” katanya










