Hashimah, wanita di sebalik gah KLCC - Utusan Malaysia

Hashimah, wanita di sebalik gah KLCC

Datuk Hashimah Hashim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 23 tahun lalu, Malaysia berbangga dengan terbinanya sebuah menara berkembar tertinggi di dunia, Petronas Twin Towers atau lebih dikenali KLCC. Tidak ramai tahu di sebalik gah berdiri bangunan 88 tingkat itu merupakan sentuhan ‘air tangan’ jurutera wanita tempatan.

Datuk Hashimah Hashim diberi tanggungjawab sebagai pengurus projek membina pembangunan cukup penting demi melahirkan sebuah mercu tanda negara.

Beliau ketika itu hanya berusia 29 tahun kembali ke tanah air pada tahun 1992 apabila ditawarkan bekerja bagi projek KLCC Property Holdings Berhad itu. Beliau sebelum itu berkhidmat di United

Kingdom, tidak berfikir panjang menerima pelawaan Petronas yang mencari bakat tempatan di sana.

Dalam permulaan tempoh persiapannya, Hashimah ditugaskan ke New York selama setahun untuk bekerja dengan sebuah syarikat perunding bagi membuat reka bentuk menara berkembar, memandangkan belum pernah ada lagi teknologi pembinaan bangunan seumpamanya di Malaysia.

“Membina bangunan lebih 80 tingkat itu memerlukan teknologi berbeza, tidak seperti membina bangunan 40 tingkat. Sebab itu kita mendekati perunding jurutera dan arkitek di New York kerana mereka mempunyai pengalaman membina bangunan pencakar langit.

“Jadi di sana kami belajar banyak teknologi terutamanya melibatkan penjimatan tenaga dan pembangunan mampan untuk di bawa ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Berdiri sebaris dengan pakar-pakar profesional luar negara yang kebanyakannya dikuasai lelaki bukan calang-calang. Namun, ia bukan halangan buat dirinya kerana kumpulan pelaksana projek langsung tidak meletakkan jurang itu.

Beliau yang sebelum itu bertugas sebagai jurutera di London, berasa cukup bertuah dapat menyumbang kepakaran di tanah air. Apatah lagi pembinaan bangunan tinggi di Malaysia belum pernah menggunakan struktur besi dan keluli, sebaliknya banyak menggunakan bahan konkrit dan simen kerana lebih murah.

Memindahkan teknologi menjadi satu cabaran. Justeru, kumpulan projek membuat keputusan menggunakan kombinasi konkrit dan keluli bagi pembinaan KLCC sekali gus memperkenalkan kali pertama industri keluli di Malaysia.

BINAAN KELULI DAN KONKRIT

“Kami menggunakan keluli berkekuatan tinggi yang belum pernah dibuat lagi pada masa itu di dunia, seterusnya menggarap kombinasi konkrit dan keluli untuk membina menara berkembar ini. Sebagai pengurus projek, kita membuka tender kepada kontraktor untuk membina selepas direka bentuk oleh pihak perunding. Kontraktor yang diperlukan memerlukan teknologi canggih.

“Maka kita memberikan tugas pembinaan satu menara kepada kontraktor Jepun, Hazama Corp. dan satu lagi menara kepada syarikat kejuruteraan Korea, Samsung C&T,” katanya.

Dalam tempoh tujuh tahun, maka terbinalah menara berkembar Petronas, KLCC yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.

Susulan kejayaan pembinaan menara berkembar itu, Hashimah terus diberi tanggungjawab untuk membangunkan pembangunan sekitarnya termasuklah pusat beli-belah Suria KLCC, bangunan Maxis, Taman KLCC (KLCC Park), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Petronas, projek-projek di Putrajaya dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (ECER).

Beliau turut berkhidmat sebagai Pengurus Besar KLCC Urusharta Sdn. Bhd. (Facilities Management) dan KLCC Parking Management Sdn. Bhd., anak syarikat KLCC Group of Companies.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyumbang kepakaran dalam pembinaan jambatan angkat atau drawbridge di Kuala Terengganu dan Menara Teruntum yang merupakan mercu tanda terbaharu di Kuantan.

MAHU MENGHIDUPAKAN PUTRAJAYA

Melalui kepakaran 35 tahun dalam bidang kejuruteraan, Hashimah kini menerajui Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJH) bermula tahun lalu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Wanita pertama menduduki kerusi CEO.

Isteri kepada bekas arkitek, Zuraimi Ismail, 60, turut meletakkan visi untuk ‘menghidupkan’ Putrajaya sebagai sebuah bandar cantik yang perlu diterokai dengan suasana persekitaran menakjubkan dikelilingi 40 peratus kawasan tasik dengan elemen kehijauan, bukannya pusat pentadbiran kerajaan semata-mata.

“Orang ingat Putrajaya ini hanya semata-mata banguan kerajaan. Jadi kita mahu ubah persepsi ini.

“Sebagai pemaju utama Wilayah Persekutuan itu, PjH mahu ‘menyuntik jiwa’ ke dalam bandar ini bagi menarik kunjungan orang ramai. Kami memberi fokus kepada pembangunan komersial yang telah pun dilengkapi kemudahan infrastuktur berkelas A,” katanya.

Berbekalkan pengalaman luas dalam pelbagai industri termasuk sebagai jurureka perunding, pembinaan, perumahan dan pengurusan operasi syarikat di Malaysia, London dan New York, beliau kini mengendalikan 19 projek melibatkan kos keseluruhan pembinaan bernilai hampir RM2 billion melibatkan dua projek komersial utama iaitu 8MD3/TERRA dan 7MD7 di Putrajaya.

Ibu kepada seorang anak perempuan, Hannah Sufia, 18 ini berkata, sepanjang kerjayanya, beliau turut terlibat aktif dalam ceramah-ceramah di institusi pengajian tempatan dan luar negara.

Beliau juga pernah dijemput sebagai penceramah selama beberapa tahun oleh Council of Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH ) yang merupakan sebuah lembaga antarabangsa dalam bidang bangunan tinggi dan rancangan urban yang mapan.

Antara anugerah diterima sepanjang perjalanan kerjayanya termasuk CTBUH Fellow (julung-julung kalinya dianugerahkan kepada anak jati Malaysia), CIDB Construction Leading Lady Award dan juga Muslim World Rania Award.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN