Syawal adalah hari kebesaran yang diraikan oleh umat Islam sebagai tanda kesyukuran mereka kepada Allah lantaran hidayah dan taufiq-Nya kepada mereka dalam melaksanakan kewajipan puasa dan menghidupkan malam dengan ibadah sepanjang Ramadan.
Kegembiraan pada 1 Syawal telah disyariatkan oleh Allah sehingga seseorang muslim tidak dibenarkan berpuasa pada 1 Syawal agar dapat bergembira menikmati juadah sepanjang hari raya Aidilfitri.
Apabila anak bulan Syawal kelihatan, maka bermulalah malam hari raya Aidilfitri yang sangat bermakna bagi mereka yang telah berjaya melaksanakan perintah Allah sepanjang bulan Ramadan.
Sebagaimana yang dimaklumi, setiap malam pada bulan Ramadan adalah dituntut untuk dihidupkan dengan ibadah seperti melaksanakan solat sunat tarawih dan sunat witir, memperbanyakkan membaca al-Quran khususnya di dalam solat, menyebut nama Allah, berselawat ke atas Rasulullah SAW dan memanjatkan doa.
Maka apabila berakhir sahaja siang terakhir Ramadan, kita disunatkan menghidupkan malam hari raya dengan melaksanakan ibadah sebagaimana yang pernah kita lakukan sepanjang Ramadan.
Ini berdasarkan hadis daif yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Syafie dan al-Imam Ibnu Majah bahawa Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang telah berdiri (melaksanakan ibadah) pada dua malam bagi dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dalam keadaan dia menghitung untuk Allah (menganugerahkan ganjaran pahalanya di akhirat nanti tanpa dia mengharapkan ganjaran daripada manusia), nescaya tidak akan mati jantung hatinya pada hari jantung-jantung hati (orang lain) akan mati”.
Al-Imam al-Syafie turut menyatakan: “(Satu perkhabaran) telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa akan diterima (oleh Allah) pada lima malam (berikut): pada malam Jumaat, malam (Aidil) Adha, malam (Aidilfitri), malam yang pertama daripada (bulan) Rejab dan malam pertengahan daripada (bulan) Syaaban”.
Maka amat beruntunglah mereka yang tidak leka pada malam hari raya raya dengan beribadah sekalipun orang lain pada malam tersebut lalai dan alpa. Menurut al-Imam al-Nawawi, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan kadar minimum bagi maksud ‘menghidupkan malam’.
Pandangan yang kuat mengatakan ‘menghidupkan malam’ bermaksud mengisi kebanyakan waktu malam dengan beribadah. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa seseorang yang mendirikan ibadah pada malam tersebut walaupun hanya sebentar tetap dianggap telah menghidupkan malam.
Maka berdasarkan pandangan yang kuat sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi di atas, sekiranya solat maghrib bermula pukul 7.30 malam manakala solat subuh bermula pukul 6 pagi, maka seseorang hanya akan dianggap telah menghidupkan malam apabila dia telah beribadat pada malam tersebut melebihi 5 jam 15 minit.
Antara yang turut dituntut pada malam hari raya Aidilfitri adalah memperbanyakkan takbir yang menunjukkan bahawa Allah SWT adalah yang paling utama bagi seseorang mukmin.
Tuntutan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Hendaklah kamu semua menyempurnakan bilangan (puasa pada bulan Ramadan) dan hendaklah kamu semua membesarkan Allah atas sebab apa yang telah dihidayahkan kepada kamu semua. (al-Baqarah: 185)
Tuntutan banyakkan takbir ini bermula pada maghrib malam hari raya sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram pada solat hari raya keesokan harinya.
Maka para muslim digalakkan bertakbir selepas selesai solat bahkan di mana sahaja mereka berada dan dalam apa keadaan sekalipun sama ada mereka berada di masjid atau selain masjid, sedang berkenderaan, sedang berjalan kaki, sedang berdiri, sedang duduk atau sedang berbaring.
MANDI SUNAT HARI RAYA
Umat Islam disunatkan mandi sunat Hari Raya Aidilfitri baik lelaki atau wanita, tua atau muda, dibenarkan melaksanakan solat termasuk wanita yang haid atau nifas. Maka disebabkan hari raya adalah hari perhiasan, maka semua muslim dituntut untuk mandi sunat hari raya. Hal ini berbeza dengan mandi sunat Jumaat yang hanya disunatkan kepada mereka yang akan menghadiri solat fardu Jumaat.
Waktu mandi sunat hari raya bermula pada pertengahan malam dan berakhir apabila masuk waktu solat Maghrib bagi malam kedua hari raya. Maka sekiranya solat maghrib bermula pukul 7.30 malam manakala solat subuh bermula pukul 6 pagi, seseorang telah boleh untuk mandi sunat hari raya pada pukul 12.45 malam.
MAKAN SEBELUM SOLAT
Antara ibadah pada pagi Aidilfitri adalah menjamah juadah sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya. Ini untuk membezakan hari tersebut dengan hari-hari sebelumnya sepanjang bulan Ramadan.
Sebaiknya makanan yang dijamah tersebut adalah buah kurma kering yang dimakan dalam bilangan ganjil. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari: daripada Saidina
Anas, beliau telah berkata: “Rasulullah SAW satu ketika dahulu tidak akan berpagi-pagi pada hari (raya) Fitri sehinggalah baginda makan buah-buah kurma kering”. Saidina Anas turut berkata:
“Baginda telah makan buah-buah kurma kering itu dalam (bilangan) ganjil”.
PUASA ENAM SYAWAL
Antara yang dituntut untuk dilakukan pada bulan Syawal adalah berpuasa selama enam hari selain hari pertama bulan Syawal. Ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan al-Imam Muslim: daripada Saidina Abu Ayyub al-Ansoriyy -semoga Allah telah meredai beliau- bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang telah berpuasa Ramadan kemudian dia telah menyertakannya dengan (berpuasa pada) enam (hari) daripada (bulan) Syawal, puasa tersebut adalah seolah-olah puasa-puasa (yang dilakukan) sepanjang masa (iaitu setahun).
KONSISTEN BERIBADAT
Jika kita meneliti secara halus ibadah-ibadah di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa Ramadan adalah bulan yang ingin mendidik kita menjadi hamba Allah yang mentaati-Nya sepanjang hidup kita.
Maka sebagaimana kita mampu menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadah, Allah mahu kita dapat meneruskan ibadah-ibadah ini sekalipun Ramadan telah berlalu. Justeru disyariatkan beribadah pada kebanyakan malam hari raya AidiIfitri.
Begitu juga dengan kesungguhan berpuasa sepanjang Ramadan diteruskan dengan berpuasa sebanyak enam hari pada bulan Syawal.
Semoga Ramadan yang baru sahaja berlalu akan menjadi inspirasi kita untuk terus menjadi hamba Allah yang mentaati-Nya sepanjang 11 bulan yang akan ditempuhi sebelum kita direzekikan lagi dengan kenikmatan beribadah pada Ramadan akan datang. Amin.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.









