Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa - Utusan Malaysia

Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa

Kawasan Masjid al-Aqsa mengandungi tujuh masjid di dalamnya termasuk Masjid al-Qibliyy dan Masjid Qubbah al-Shakhrah yang mempunyai kubah berwarna kuning keemasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ruwaq Jawi

Bermula 15 Mei 1948, umat Islam telah dirundung kesedihan yang berpanjangan apabila dunia Barat menubuhkan negara haram Israel di tanah Palestin. Penubuhan negara haram Israel yang menjadi petaka yang berpanjangan bagi umat Islam adalah ekoran Resolusi 181 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 29 November 1947.

Resolusi yang membenarkan pembahagian tanah Palestin kepada dua negara; negara Arab Palestin dan negara Yahudi. Sejak tarikh dukacita 15 Mei 1948 sehingga sekarang, dunia menyaksikan penumpahan darah, pencerobohan tanah dan penafian hak warga Palestin ke atas tanah air mereka sendiri.

Bahkan mereka juga terus diganggu ketika ingin beribadah di Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi kaum muslimin dan masjid ketiga yang paling mulia di dalam agama Islam.

Bandar Al-Quds

Al-Quds atau dipanggil Jerusalem dalam bahasa Hebrew adalah tempat suci bagi agama Islam, Kristian dan Yahudi. Al-Quds memiliki Masjid al-Aqsa yang pernah menjadi lokasi perhimpunan seluruh para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan solat berjemaah yang diimamkan  oleh Nabi Muhammad SAW pada malam Israk dan Mikraj.

Masjid al-Aqsa adalah kiblat solat sebahagian para Nabi sebelum kedatangan Rasulullah SAW bahkan Masjid al-Aqsa juga adalah qiblat pertama bagi solat yang dilaksanakan oleh generasi awal para sahabat Rasulullah SAW.

Mereka mendirikan solat dengan menghadapkan wajah ke Masjid al-Aqsa sehinggalah Allah mengubah kiblat solat kaum muslimin pada pertengahan bulan Rejab tahun kedua hijrah ke arah Kaabah.

Al-Quds juga memiliki gereja al-Qiyamah atau dikenali juga dengan nama Church of the Holy Sepulchre. Gereja ini sangat penting di sisi penganut Kristian kerana ia dibina di atas tapak yang dipercayai oleh mereka sebagai lokasi penyaliban Nabi Isa a.s.

Saidina Umar al-Khattab sewaktu pembebasan kota al-Quds telah dipelawa oleh pihak gereja ini untuk masuk dan melihat suasana di dalamnya. Sewaktu beliau  berada dalam gereja ini, waktu solat telah masuk lalu Saidina Umar dipersilakan oleh paderi besar gereja ini yang bernama Sophronius untuk solat di dalam gereja tersebut.

Namun, Saidina Umar enggan kerana bimbang orang Islam pada satu hari nanti akan mengambil hak golongan Kristian dengan membina pula masjid di dalam gereja ini dengan alasan beliau pernah solat di dalamnya. Lalu beliau akhirnya solat di lokasi yang berhampiran dengan gereja ini yang dikenali pada hari ini dengan nama Masjid Umar.

Golongan Yahudi pula mendakwa bahawa Masjid Qubbah al-Shakhrah sebenarnya dibina di atas tapak Kuil Nabi Sulaiman a.s yang kononnya telah dibina oleh Baginda.

Maka dengan alasan rapuh ini mereka terus menggali kawasan al-Masjid al-Aqso untuk mencari sebarang bukti yang mendokong kewujudan kuil Nabi Sulaiman. Mereka juga menjadikan khayalan kewujudan kuil Nabi Sulaiman ini sebagai alasan mereka adalah orang yang berhak ke atas bandar al-Quds dan Palestin.

Lokasi sebenar Masjid al-Aqsa

Masjid al-Aqsa adalah kawasan seluas 144,000 meter persegi yang terletak di dalam bandar Baitulmaqdis atau juga dikenali dengan nama bandar al-Quds.

Maka Masjid al-Aqsa adalah merupakan seperenam keluasan seluruh bandar al-Quds. Ia pada hakikatnya adalah kompleks yang merangkumi beberapa bangunan yang antaranya adalah tujuh masjid.

Tujuh masjid tersebut adalah al-Masjid al-Qibliyy iaitu masjid yang mempunyai kubah berwarna hijau tua, Masjid Qubbah al-Shakhrah iaitu masjid yang mempunyai kubah berwarna kuning keemasan.

Musolla al-Aqsa al-Qodim yang terletak di bawah Masjid al-Qibliyy, al-Musolla al-Marwaniyy di tenggara Masjid al-Aqsa, Masjid al-Buroq yang berada di barat daya Masjid al-Aqsa yang dipercayai lokasi Rasulullah SAW menambat al-Buroq pada malam Israk, Masjid al-Maghoribah yang terletak di barat daya Masjid al-Aqsa dan Jami’ al-Nisa yang juga terletak di barat daya Masjid al-Aqsa.

Ada beberapa pihak mendakwa bahawa Masjid Qubbah al-Shakhrah bukanlah Masjid al-Aqsa sebaliknya Masjid al-Aqsa adalah Masjid al-Qibliyy. Pandangan ini tidak tepat kerana hakikat Masjid al-Aqsa adalah kawasan bersaiz 144,000 meter perseg. Ia bukan sahaja merangkumi Masjid Qubbah al-Shakhrah dan al-Masjid al-Qibliyy sahaja bahkan turut merangkumi lima masjid yang berbaki serta beberapa monumen-monumen lain.

Siapakah Bina Masjid al-Aqsa

Umum mengetahui Nabi Sulaiman a.s adalah orang yang membina Masjid al-Aqsa manakala Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pula adalah orang yang membina Kaabah. Walau bagaimanapun al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim meriwayatkan satu hadis yang menunjukkan bahawa selang waktu antara pembinaan Kaabah dan Masjid al-Aqsa adalah 40 tahun seperti berikut:

Daripada Saidina Abu Dzarr, beliau berkata: Saya telah berkata: “Wahai Rasulullah. masjid manakah yang mula-mula sekali telah diletakkan di bumi”? Baginda telah bersabda: Al-Masjid al-Haram”. Saya telah berkata [lagi]: “Kemudian [masjid] yang mana [pula selepas al-Masjid al-Haram]”? Baginda bersabda: “Al-Masjid al-Aqsa”. Saya berkata [lagi]: “Berapakah [tempoh masa] antara kedua-duanya”? Baginda  bersabda: “40 tahun. Di mana sahaja solat telah menemui anda, maka bersolatlah [di situ] kerana ia adalah tempat solat”. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW bahawa Masjid al-Aqsa dibina setelah 40 tahun pembinaan Kaabah ini menimbulkan persoalan. Ini kerana Nabi Ibrahim selaku orang yang membina Kaabah dan Nabi Sulaiman selaku orang yang membina Masjid al-Aqsa bukanlah hidup pada zaman yang sama, Bahkan jarak masa antara kedua-dua nabi ini melebihi 1,000 tahun!

Al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani telah mendatangkan beberapa andaian para ulama bagi memecahkan persoalan di atas. Jawapan yang pertama: Nabi Adam adalah orang yang mula-mula membina Kaabah. Kemudian berkemungkinan ada daripada kalangan anak-anak Nabi Adam yang membina pula Masjid al-Aqsa selepas itu.

Jawapan kedua: Orang yang mula-mula membina Kaabah dan Masjid al-Aqsa adalah Nabi Adam a.s sendiri. Maka berdasarkan dua jawapan ini, Nabi Ibrahim hanyalah memperbaharui pembinaan Kaabah manakala Nabi Sulaiman pula hanyalah memperbaharui pembinaan Masjid al-Aqsa.

Jawapan ketiga: Orang yang mula-mula membina Kaabah adalah Nabi Ibrahim a.s manakala orang yang mula-mula membina Masjid al-Aqsa adalah Nabi Yaakub a.s.

Berdasarkan jawapan ini, Nabi Sulaiman a.s hanya memperbaharui pembinaan Masjid al-Aqsa. Antara tiga andaian di atas, al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani berpendapat, pandangan yang kuat adalah yang kedua iaitu kedua-dua masjid itu  dibina oleh Nabi Adam a.s.

Walau apapun sebenarnya yang berlaku, Masjid al-Aqsa adalah masjid yang sangat bernilai kerana antara pembina awalnya adalah Nabi Sulaiman a.s sendiri. Maka tidak peliklah apabila pahala mendirikan solat di sana menyamai 500 solat di masjid-masjid selain Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

-habis-

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN