Ajar anak sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat - Utusan Malaysia

Ajar anak sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat

Perhatikan siapa teman anak-anak anda termasuk teman maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Seramnya tengok macam-macam kes pedofilia yang menakutkan. Ada tu memperkosa saudara terdekat dan anak sendiri. Kita bukannya sentiasa bersama anak. Binggung bagaimana nak ajarkan supaya mereka pandai melindungi diri daripada jadi mangsa gangguan seksual kanak-kanak ini ya?”

Ini merupakan sebahagian contoh kes gangguan seksual berlaku dalam masyarakat hari ini. Jika diamati, kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak semakin bertambah setiap tahun di negara ini.

Lebih membimbangkan apabila kes jenayah seksual ini didapati meningkat mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 membabitkan 1,065 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes gangguan seksual fizikal (amang seksual fizikal) pada kanak-kanak sepanjang tahun lalu (2020) adalah sebanyak 993 kes iaitu meningkat berbanding 732 kes pada 2019 dan 591 kes (2018).

Manakala kes gangguan seksual bukan fizikal (amang seksual bukan fizikal) meningkat kepada 51 kes tahun lalu (2020) berbanding 13 kes pada 2019 dan 18 kes pada 2018.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Shamsuriani Md Jamal berkata, gangguan seksual merupakan sesuatu perlakuan serius, sensitif, mengaibkan dan mengganggu keadaan psikologi dan emosi mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Malaysians Against Pornography (MAP) berkata, gangguan seksual ada dua jenis sama ada secara memaksa atau secara sukarela.

“Seperti kes yang pernah tular dalam aplikasi Tiktok baru-baru ini tentang seorang lelaki dewasa mencium mulut seorang kanak-kanak autisme, itu juga boleh dianggap sebagai gangguan seksual. Walaupun kejadian nampak seperti sukarela.

“Kes tersebut lebih kepada seperti personal grooming kerana kanak-kanak tersebut diajar mencium mulut lelaki lain tidak salah. Kanak-kanak itu telah diajar nilai yang salah. Mulut, bahagian dada, bahagian punggung, kemaluan adalah bahagian peribadi yang tidak boleh disentuh sesuka hati oleh orang lain,” katanya.

Tambah beliau, akta perlindungan kanak-kanak telah wujud namun penguatkuasaan akta tersebut yang menjadi isu kerana masih tidak cukup ketat.

“Kes seperti ini juga kian meningkat kerana masih ada budaya masyarakat kita mengamalkan konsep jangan jaga tepi kain orang atau jangan buka pekung di dada.

“Sebenarnya, setiap daripada kita harus melaporkan sekiranya merasakan berlakunya gangguan seksual, sekiranya kita benar-benar serius menanganinya,” katanya.

TIPS IBU BAPA:
• Ambil tahu masalah anak anda.
• Bersikap terbuka dan bercakap dengan anak-anak.
• Perhatikan siapa teman mereka secara fizikal dan maya. Sekarang gangguan seksual siber berleluasa seperti menghantar gambar lucah.
• Perhati dengan siapa mereka ditinggalkan. Tidak boleh ditinggalkan sewenangnya-wenangnya walaupun ahli keluarga sendiri. Kebanyakan gangguan seksual dilakukan oleh kenalan rapat atau orang yang dipercayai dan bukan orang asing.
• Pendidikan seksualiti dan reproduksi harus diajar sejak kecil oleh ibu bapa.
• Ajar anak-anak tentang pendidikan rahsia peribadi atau sentuhan selamat dan tidak selamat.
• Pastikan anak tahu nombor perlu dihubungi sekiranya diganggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×