SUHU politik dalaman UMNO nampaknya tidak surut. Awan mendung yang menyelubungi cuaca Kuala Lumpur setiap petang sekalipun tidak mampu mendinginkan suhu politik dalaman parti pasca Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Melihat kepada perkembangan terkini, mengingatkan berkenaan peristiwa besar yang melanda UMNO dan kepimpinan negara suatu ketika dahulu. Persis keadaan sekarang, tetapi ketika itu, UMNO diperlihat sebagai parti yang mendengar hasrat dan suara ahli serta rakyat.
Itulah saat kejadian yang menimpa Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah atau mesra dengan panggilan Pak Lah mengemudi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pasca era Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Amat sukar dan sangat-sangat terkesan dengan serangan bertali arus dari dalam dan luar UMNO, akhirnya Pak Lah membuat keputusan yang amat mengejutkan kesemua pihak.
Beliau mengetepikan kepentingan peribadi dan keluarga mahupun pengikut-pengikut. Beliau mengutamakan kelangsungan hayat parti dan perjuangan dengan tindakan sangat berani dan berjiwa besar memberikan laluan kepada timbalan dan pemimpin-pemimpin baharu dalam UMNO untuk mengemudi parti.
Langkah itu agar UMNO tidak karam dek kerana persepsi negatif terhadap kepimpinan beliau walaupun faktanya boleh disanggah dan tidak terkecuali faktor tekanan luar yang membangkit sentimen kebencian terhadap keperibadian beliau oleh Dr. Mahathir ketika itu.
Kesan dari tindakan beliau, merupakan satu lembaran baharu. Malah UMNO ketika itu terus melayari bahtera dengan gagah dan terus diterima menjadi pemegang taruh utama kepercayaan rakyat.
WAJAH BAHARU
Sukar untuk menterjemahkan hayat dan naluri politik dalam UMNO ketika ini. Tetapi bagi pemerhati luar dan rakyat kebanyakan, UMNO masih lagi dipandang sebagai harapan untuk membawa Malaysia ke jalan keluar dari belenggu kontroversi dan kemurungan ekonomi berjangka panjang.
Pemerhatian kebanyakan ahli dan rakyat merasakan UMNO harus dipandu oleh mereka yang berwajah baharu. Barangkali sudah tiba saat dan masanya juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merenung, melihat ke hadapan dan menoleh ke belakang peristiwa yang menghimpit Pak Lah ketika zamannya.
Bukan mudah untuk membuat keputusan yang besar apatah lagi berhadapan dengan pengikut-pengikut setia yang menaruh harapan dan impian peribadi masing-masing.
Ahmad Zahid harus serius melihat perkembangan semasa ini dengan penuh teliti dan berjiwa terbuka.
Andai jalan penyelesaian bagi meneruskan hayat dan kelangsungan nyawa UMNO ini melalui pengunduran beliau secara terhormat, maka jadikanlah ia satu pilihan daripada puluhan pilihan cadangan untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO.
Benar, bukan mudah untuk melakukan sesuatu yang bukan datang dari hati kita. Tetapi lihatlah kelangsungan hayat parti yang memerlukan lebih dari pengorbanan seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada parti dan negara.
Presiden UMNO ketika ini perlu segera mencari jalan yang amat sesuai dan terhormat agar tindakan beliau nanti akan dipandang tinggi dan mulia di sisi ahli-ahli parti.
Pengunduran Ahmad Zahid bukan bermaksud tewas atau kalah. Tetapi dalam permainan catur, pengunduran bererti mara. Berundur selangkah bermaksud membenarkan pasukan mengatur langkah ke hadapan untuk memenangi pertarungan hebat dan sengit.
Inilah saat dan masa melakar nama dan jasa dengan cara membawa UMNO ke satu landasan baharu dengan mengetengahkan pimpinan-pimpinan baharu yang boleh menjadi muka dan wajah baharu bagi UMNO.
TAWARAN
Tidak keterlaluan kalau dicadangkan, agar Presiden UMNO di saat pengunduran dan pengumuman bersejarah berjiwa besar itu juga mengumumkan “tawaran baharu UMNO untuk rakyat Malaysia” dengan membariskan muka-muka yang boleh dipertaruhkan untuk kepercayaan rakyat.
UMNO tidak pernah tandus mahupun kontang pemimpin. Nama-nama besar yang popular harus segera dipertaruhkan demi memberi rakyat harapan dan wajah sebenar dalam menghadapi pertarungan dan memberikan harapan baharu kepada rakyat meletakkan semula kepercayaan kepada UMNO.
Antara pemimpin yang sangat wajar diangkat ketika dan saat ini sebelum terlewat adalah seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Shahril Suffian Hamdan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, Datuk Halimah Saddique, Datuk Zahida Zarik Khan dan beberapa lagi pemimpin yang menjadi perhatian rakyat ketika ini.
UMNO juga telah melahirkan ramai pimpinan baharu yang tidak kurang hebatnya di lapangan masing-masing yang walaupun belum berjawatan tinggi tetapi mempunyai kebolehan dan kecekapan dalam bidang-bidang tersendiri.
Antara nama yang boleh diberikan perhatian untuk diketengahkan sebagai taruhan adalah seperti Khairul Azwan Harun, Datuk Dr. Fathul Bahari dan Datuk Norliza Abdul Rahim yang mempunyai kebolehan dan telah berjaya di bidang masing-masing.
BELUM TERLEWAT
Malahan ramai lagi pemimpin muda di dalam UMNO yang kurang menonjol tetapi berkebolehan amat luar biasa dalam pelbagai bidang. Antaranya, lapangan perniagaan, ekonomi, kewangan, pengurusan, pentadbiran awam, agama, alam sekitar dan kesihatan.
Nama mereka tidak begitu menonjol di dalam persada perdana pentas politik UMNO tetapi sangat-sangat berkebolehan dalam menawarkan harapan dan tawaran baharu kepada UMNO dan rakyat.
Kerana itu jugalah, bukan hanya presiden, tetapi UMNO secara keseluruhannya perlu segera memanggil kesemua mereka ini dan ditonjolkan sebagai tawaran baharu bagi segera mengubah imej UMNO yang semakin suram dan semakin hilang kepercayaan dalam kalangan rakyat.
Masih belum terlewat untuk UMNO mengubati luka yang berdarah ini. Jawapannya ada pada Presiden dan pimpinan UMNO sendiri.
Jika hayat kelangsungan UMNO menjadi prioritas dan keutamaan, maka sahutlah cabaran dan nukilan ini. Pemimpin datang dan pergi, tetapi biarlah parti yang telah menunjangi kehendak rakyat dan aspirasi Malaysia ini terus bernyawa dan menjadi pilihan dalam kalangan rakyat.
Usahlah kerana ego, kemahuan mahupun hasutan pengikut setia serta keluarga terdekat, kita membiarkan UMNO mati dan tidak bernisan serta hanya menjadi bingkisan sejarah yang tidak lagi diingati akan jasa dan baktinya kepada rakyat dari zaman sebelum kemerdekaan hingga hari ini.
Realitinya, perpecahan sudah nampak dalam UMNO – kluster menteri lawan ahli Majlis Tertinggi (MT) dan hendak menjunjung kehendak ahli-ahli bawahan.
Fantasinya, angan-angan dengan jajaran baharu yang didakwa lebih nampak ‘cahaya di hujung terowong’…Hidup UMNO!
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










