MUKADIMAH
Bagi Timbalan Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), SENATOR DATUK MARZUKI YAHYA, biarlah kalah dalam gelanggang politik disaksikan seluruh rakyat, asalkan caranya betul.
Di mata bekas Timbalan Menteri Luar ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas sudah hilang moralnya. Dahulu pernah bermusuh, kini bekerjasama kononnya demi Melayu, Islam dan rakyat.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurufoto, FARIZ RUSADIO, beliau meluahkan pandangan berhubung senario politik semasa.
Ikuti temu bual di pejabatnya di Yayasan Sedar, Putrajaya, baru-baru ini.
PEMECATAN
Datuk dipecat daripada Setiausaha Agung Bersatu dan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, tahun lalu. Boleh ulas?
MARZUKI: Bagi saya, pemecatan itu lebih bermotifkan politik daripada mengikut peraturan sebenar. Sepatutnya dalam perlembagaan parti, melantik atau memecat seseorang harus dirujuk kepada pengerusi tetapi waktu itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat keputusan sendiri hanya kerana saya tidak menyokongnya.
Waktu itu kita sudah menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Saya sebagai Setiausaha Agung harus berpegang kepada keputusan parti.
Berkenaan kerjasama dengan UMNO dan Pas, kita tidak pernah pun membuat keputusan dalam parti untuk bekerjasama. Kita cuma cakap soal penyatuan dan maruah orang-orang Melayu.
Siapa Muhyiddin di mata Datuk?
Saya menganggap beliau sebagai seorang abang, orang dewasa dan masih menghormatinya kerana pernah berjuang bersama-sama dengan saya dalam Bersatu.
Boleh komen pendapat prinsip dan integriti tidak menjamin kemenangan sebaliknya yang penting strategi untuk melawan parti lain?
Apa yang diuar-uarkan dahulu oleh semua parti adalah sistem cash is king tetapi kami sebagai pemimpin Pejuang meletakkannya di belakang. Bagi kita, wadah perjuangan itulah yang akan disampaikan. Walaupun kalah, kita kena terima hakikat.
KRISIS POLITIK
Pergolakan antara Pejuang, Bersatu, UMNO dan Pas. Apa pendapat Datuk?
Kalau bergolak pun, ke mana kita sebenarnya? Kita sering melaungkan perjuangan ‘Melayu Islam’ tetapi akhirnya negara kita terpaksa serahkan kepada orang asing, apa gunanya? Kita terbelah kepada ideologi dan kesombongan kita sendiri.
Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Apa jua pergolakan yang wujud harus fikirkan kaedah bagaimana untuk menjadikan politik orang Melayu Islam masih kekal dominan.
Selaku ‘orang luar’ yang melihat parti politik lain, masih adakah moral dan integriti dalam parti seperti Bersatu, UMNO dan Pas?
Mereka sudah hilang hala tuju. Semasa saya dalam Bersatu, kita mahu melawan kleptokrat, membasmi rasuah secara besar-besaran, menjadikan kerajaan yang ada kedaulatan undang-undang, bukan kerajaan yang mengikut kehendak pemimpin. Ini yang kita lakukan dan berjaya.
Tetapi, disebabkan kepentingan tertentu telah membawa pengkhianatan kepada Pakatan Harapan (PH) dan ini memberi kesan besar. Sebahagian besar dalam Bersatu beranggapan semua ini adalah demi Melayu dan Islam. Hakikatnya hari ini, sebagai kerajaan Melayu Islam yang disebut dia terpaksa bergantung kepada beberapa kerat orang sahaja dalam ahli Parlimen di dalam kerajaan.
Relevan lagikah konsep perjuangan bangsa Melayu dan Islam?
Relevan atau tidak, kita kena berusaha ke arah menyatukan orang Melayu dan Islam. Dalam Pejuang, yang penting asas perjuangan kita iaitu menentang rasuah dan menjadikan pemimpin Melayu bersih, fikirkan negara dan rakyat. Bukan politikus yang hanya gunakan Melayu Islam untuk kepentingan peribadi. Kita tidak boleh rasa malas dan leka memperjuangkan nasib masyarakat kita.
Ungkapan ‘Melayu Islam’ ini hanya dari segi politik. Untuk menubuhkan kerajaan, kita harus mempunyai dasar terbuka kepada semua bangsa. Jangan jadikan Melayu Islam itu sebagai sandaran untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi mengundi kita dalam pilihan raya.
PRU-15
Apa perancangan Pejuang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Jika berlaku PRU-15, Pejuang akan pastikan mengambil bahagian. Setakat ini, kita berjaya menubuhkan jawatankuasa di peringkat tertinggi, peringkat negeri dan menggerakkan semua sukarelawan untuk bersama-sama mengembangkan Pejuang serta memastikan penglibatan parti dalam PRU-15 menjadi kenyataan.
Sejauh mana keyakinan Pejuang menghadapi PRU-15?
Pejuang ialah parti yang ditubuhkan berlatarbelakangkan Melayu Islam. Perlunya parti Melayu Islam ini bertujuan menjaga kepentingan dan nasib orang Melayu. Itulah agenda perjuangan Pejuang dan kita maklum, parti ini akan melalui jalan yang sukar kerana UMNO dan Pas juga mempunyai agenda sama seperti kita.
Bersatu juga dahulunya adalah parti Melayu tetapi akhirnya dijadikan sebagai parti pelbagai kaum. Yang penting sekarang bagi Pejuang adalah mendapat dukungan yang kuat untuk memastikan politik Melayu sentiasa mendominasi dalam landskap politik negara. Kita kena tahu apa wadah perjuangan kita.
Adakah Datuk akan bertanding semula di Parlimen Tasik Gelugor setelah tewas sebelum ini dengan perbezaan 81 undi?
Sekarang belum ada keputusan lagi. Waktu saya bertanding dahulu, senarionya berbeza dengan sekarang. Matlamat saya bukan untuk menjadi calon pun tetapi kalau dipilih menjadi calon nanti, saya bertandinglah.
Banyak yang dikorbankan termasuklah diri sendiri dan harta benda semata-mata untuk melawan Barisan Nasional (BN). Sebab itulah, apabila saya masuk ke dalam parti bukan mahu mengejar pangkat atau menjadi calon, sebaliknya ingin memastikan agenda perjuangan parti mencapai matlamatnya.
Sasaran kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pejuang dalam PRU-15?
Sama seperti sebelum ini iaitu 50 sehingga 60 kerusi. Apapun, ia akan diputuskan apabila PRU-15 yang boleh berlangsung pada bila-bila masa.
Di peringkat akar umbi setakat ini bagaimana?
Pengukuhan parti adalah bergantung kepada agenda perjuangan. Jika ramai sokongan akar umbi pun seperti UMNO yang diuar-uarkan mempunyai 3.5 juta ahli, hakikatnya mereka kalah juga pada pilihan raya lalu.
Jadi, boleh disimpulkan kekuatan parti bukan bergantung kepada ahlinya, tetapi kepada agenda perjuangan. Kalau masyarakat tidak menerima mereka tidak boleh juga.
BLOK KETIGA
Pejuang, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dikatakan akan membentuk kerjasama baharu pada PRU-15?
Pejuang belum berbincang soal itu. Kita ialah blok bebas tidak bersama-sama PH cuma belum ada satu gabungan dalam Pejuang yang benar-benar dilihat nyata seperti PH.
Ada usaha ke arah itu?
Sudah pastilah. Kalau bertanding secara sendirian kita akan mencari jalan bagaimana untuk membentuk satu pasukan dalam menghadapi PRU-15.
SOKONGAN GOLONGAN MUDA
Kewujudan parti Muda dilihat sebagai persaingan?
Kena tahu bahawa Muda adalah parti berlatarbelakangkan pelbagai kaum, tidak seperti Pejuang yang berlandaskan kaum Melayu dan Islam. Sudah pasti, agenda atau perjuangan parti itu yang akan membawa kepada sokongan daripada kumpulan anak muda.
Pastinya, dalam Pejuang tidak akan meninggalkan pemimpin muda. Kita mahu mereka membawa obor perjuangan yang diilhamkan untuk sama-sama memastikan negara kita bebas daripada rasuah. Kita mahu menjatuhkan kerajaan yang hari ini lebih menumpukan kepentingan peribadi daripada rakyat. Maka inilah yang akan menarik anak-anak muda bersama dengan perjuangan kita.
Datuk setuju cadangan ahli Parlimen berumur lebih 65 tahun tidak perlu bertanding dalam pilihan raya?
Umur bukan ukuran dan batasan. Kita pernah mencipta pemimpin berumur 93 tahun menjadi Perdana Menteri seperti Dr. Mahathir. Usia muda pun jika tidak amanah, menyeleweng, salah guna kuasa, tiada guna juga.
Sebab itu, kalau mahukan perubahan, kita memerlukan gandingan antara kedua-dua golongan ini. Kita tidak mahu ada jurang antara mereka sebagai satu ancaman sebaliknya kita harus menerimanya sebagai cabaran.
PEJUANG
Berapa keahlian Pejuang?
Saya hanya boleh katakan terdapat 20,000 orang yang menunjukkan minat menyertai Pejuang jika merujuk kepada laman web rasmi Pejuang secara dalam talian.
Memandangkan Pejuang belum didaftarkan secara rasmi, saya tidak boleh katakan berapa ahli yang berada di dalam Pejuang.
Ada permintaan daripada Sabah dan Sarawak?
Ada, terutama daripada Sabah. Tetapi kita belum membuat sebarang keputusan lagi.
Pejuang bertanding atas tiket siapa pada PRU-15?
Semasa PRU-14 lalu, Bersatu dan PH belum didaftarkan secara rasmi. Maka, formula yang digunakan adalah bertanding atas tiket PKR.
Sekarang, Pejuang menghadapi masalah serupa. Cuma, kita belum ada keputusan lagi tetapi kita ada perancangan. Saya tidak boleh beritahu apa tapi kita sudah ada pilihan tertentu untuk dibincang.
KESAL TIDAK DAPAT BERHUJAH
Khidmat Datuk sebagai Ahli Dewan Negara bakal berakhir Julai ini di tengah-tengah Proklamasi Darurat. Komen?
Saya sedih kerana Dewan Negara dan Dewan Rakyat tidak dibenarkan bersidang. Saya amat kesal kerana tidak dapat lagi menyumbang buah fikiran atau berhujah dalam Dewan Negara. Bagi saya, keputusan menggantung Parlimen adalah keputusan tidak demokrasi dan bermotif politik berbanding darurat Covid-19.
Sebagai Senator, apa yang Datuk sumbangkan pada negara?
Fokus saya adalah mempromosi dan mempertahankan kedaulatan negara. Sebagai seorang yang pernah diberikan mandat atau tugas di Kementerian Luar di bawah PH, itulah yang saya lakukan walaupun bukan berhubung secara terus dengan rakan-rakan.
Apa pencapaian Datuk setelah menjadi Senator?
Kita belum berhasil lagi kerana hanya 22 bulan PH menjadi kerajaan. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Dr. Mahathir (ketika itu Perdana Menteri) dengan memberi tugas yang besar iaitu bertemu dengan pemimpin-pemimpin besar seperti Pakistan, Turki, Qatar dan beberapa negara lain untuk mempromosikan Malaysia.
Di situ, kita berjaya menarik pelaburan ke dalam negara yang telah nampak hasilnya terutama dari aspek teknologi pertahanan yang pada saat akhir 2019 Malaysia telah menandatangi perjanjian dengan Turki, Qatar dan Pakistan. Tetapi, belum lagi diimplementasikan, kita sudah terkena Langkah Sheraton pada tahun lalu. Semuanya hancur!
Siapa Datuk jika bukan ahli politik?
Politik bukanlah satu-satunya kerjaya saya. Saya ahli perniagaan dalam bidang perkapalan.
Bagaimana boleh terlibat dalam politik?
Pada 1998, apabila berlaku krisis UMNO. Waktu itu arwah ayah saya seorang yang berpengaruh dalam kawasan Bagan. Jadi, ayah meminta saya serta Pemuda UMNO waktu itu untuk membantu mengukuhkan UMNO yang terbelah oleh krisis pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di situlah saya berkecimpung dalam Pemuda UMNO Bagan, sebagai Bendahari dan kemudian dipilih sebagai Ketua Pemuda, Exco Pemuda sehingga sampai satu tahap saya melihat perjuangan UMNO sudah tidak relevan lagi kerana banyak ketirisan sehingga kita di peringkat rundingan bahagian pun tidak boleh bersuara.










