Memasuki bulan Ramadan pastinya ramai yang berlumba-lumba mahu mengejar pahala ibadat yang berlipat kali ganda berbanding bulan lain.
Apa kata jika ada ruang dalam rumah diubah suai menjadi ruangan solat agar amal ibadah dapat dijalankan dengan lebih selesa bersama seisi keluarga.
Pakar hiasan dalaman, Mohd. Adil Hakim Mohamad Jamal berkongsi tips dekorasi ruang solat minimalis dan praktikal.
Ruang lapang
Ruangan solat memerlukan kawasan lapang dan tidak bertingkat atau mempunyai paras lantai berbeza. Bilik kosong atau bilik lebihan antara ruangan sesuai dijadikan tempat beribadat yang lebih praktikal dan privasi.
Bagi yang memerlukan ruang lebih besar, boleh juga mengambil sebahagian daripada ruang tamu dengan mengadakan dinding pemisah sementara, khusus untuk ruangan solat.
Arah Kiblat
Elemen yang harus dititikberatkan untuk mana-mana ruang solat adalah mengenal pasti arah kiblat terlebih dahulu serta memastikan arah kiblatnya tidak berhadapan dengan pintu bilik.
Arah kiblat juga menentukan susun atur untuk mendapat ruangan persendirian ketika bersolat ialah dalam lingkungan paling minimum lima kaki.
Ini bagi memastikan posisi rukuk dan sujud boleh dilakukan dengan selesa. Selain itu, pastikan juga pengaliran pengudaraannya lancar dan pencahayaan di dalam ruangan solat tersebut.
Pastikan ruangan solat mempunyai tingkap atau bukaan yang memberikan kitaran udara dari dalam ke luar. Pencahayaan matahari juga penting bagi mengelakkan kelembapan. Lebih afdal sekiranya ruangan solat dalam keadaan terang dan menenangkan.
Tempat wuduk
Tempat mengambil wuduk juga merupakan elemen perlu diberi perhatian. Lokasi tempat mengambil wuduk sama ada bilik air atau pun pili air perlulah berdekatan atau bersebelahan dengan ruangan solat bagi mengelakkan lantai menjadi basah sepanjang perjalanan dari tempat mengambil wuduk ke ruang solat. Ia juga bertujuan menjaga aurat samada perempuan mahupun lelaki.
Pemilihan lantai
Lantai turut memainkan peranan penting dalam ruangan solat. Penggunaan lantai jubin atau lantai vinyl lebih praktikal dan baik dari segi kebersihan. Ia mudah dibersihkan, sekiranya ruangan solat tercemar dengan kotoran.
Elakkan menggunakan karpet kekal atau bersaiz besar kerana ia menyerap kelembapan yang boleh menyebabkan bau hapak. Cukup dengan dilapik sejadah atau menggunakan karpet bersaiz kecil untuk lebih selesa.
Pemilihan warna
Pemilihan warna menaikkan mood dan suasana ruang. Bagi ruang solat, pemilihan yang sesuai adalah rona menyejukkan mata bagi menghasilkan impak ketenangan ketika bersolat. Antaranya, warna hijau kerana ia berperanan menenangkan mata. Nuansa biru pula boleh menggalakkan ketenangan, manakala warna pastel, dapat membangkitkan suasana lebih aman dan harmoni.
Pemilihan perabot
Tidak perlu sarat, cukup dengan rak untuk meletak buku keagamaan, al-Quran dan rehal. Tempat menggantung sejadah, telekung dan kain pelikat juga perlu disediakan bagi memelihara kebersihan pakaian ibadah serta kekemasan ruangan ibadah.










