KUALA LUMPUR: Peperiksaan sekolah rendah yang juga peperiksaan awam paling lama dalam sejarah pendidikan negara ini, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menggantikan Ujian Penilaian Darjah Lima sejak 1967 dimansuhkan.
UPSR diperkenalkan pada 1988.
Kementerian Pendidikan semalam turut membatalkan Pentaksiran Tingkatan 3 tahun ini (PT3 2021).
Keputusan mengenai UPSR itu melibatkan seramai 446,321 murid Tahun Enam yang sepatutnya menduduki peperiksaan tahun ini selepas ditiadakan tahun lalu berikutan penularan Covid-19 manakala PT3 membabitkan 378,501 calon sekolah menengah.
UPSR merupakan ujian untuk menilai pencapaian kognitif murid pada akhir sesi pendidikan sekolah rendah yang menjadi penanda aras untuk murid-murid yang mahu memasuki tingkatan satu ke sekolah berasrama penuh kerajaan.
Sehubungan pemansuhan dan pembatalan kedua-dua modul peperiksaan yang signifikan kepada sistem pendidikan negara itu, Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bermula tahun ini, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan diperkasa bagi tujuan pentaksiran murid Tahun Enam.
“Pencapaian murid tahun enam akan diukur berdasarkan PBS manakala Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan digunakan bagi kemasukan tingkatan satu ke sekolah berasrama penuh.
“Pemansuhan itu telah dibentangkan menerusi memorandum Jemaah Menteri semalam dan ia diputuskan setelah mengadakan libat urus pelbagai pihak seperti guru, persatuan ibu bapa dan murid dengan membabitkan 1,804 peserta di seluruh negara dalam memberikan maklum balas teliti pelaksanaan UPSR,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Beliau berkata, dalam sesi libat urus ini, para guru menyebutkan bahawa apabila tumpuan diberikan kepada UPSR, maka banyak masa sekolah ditumpukan kepada mata pelajaran yang murid menduduki peperiksaan.
“Apa dilaksanakan di sekolah adalah guru pada kebiasaannya cuba menghabiskan silibus secepat mungkin membolehkan melaksanakan latihan tubi untuk menduduki peperiksaan.
“Guru besar dan guru-guru ada menceritakan bagaimana terpaksa menyusun kembali jadual dan mencuri masa pelajaran lain yang tiada peperiksaan bagi membolehkan murid membuat persiapan. Ini juga mengurangkan ruang guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah memandangkan masa difokuskan bagi persediaan peperiksaan,” katanya.
Mengulas pembatalan PT3 2021, Radzi menambah, antara asas dipertimbangkan adalah mengambil kira masa untuk murid membuat persediaan secara bersemuka dengan guru dan keadaan penularan pandemik Covid-19 yang belum ditangani sepenuhnya.
Katanya, selaras pembatalan PT3, pentaksiran pelajar tingkatan tiga adalah seperti tahun lalu menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) manakala PKSK untuk kemasukkan tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh.
Sementara itu, pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 disambut baik penganalisis dan pengamal pendidikan.
Bekas Pengarah Pusat Genius@pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Noriah Mohd. Ishak berkata, perkara itu sudah dijangka dari awal lagi kerana kedua-dua modul peperiksaan tersebut tidak lagi sesuai kerana ia berkonsepkan ‘satu saiz padan semua’.
“Sepatutnya sudah lama keputusan ini dibuat dan penilaian harus lebih fleksibel dan bersifat ‘berpusatkan pelajar’, malah ia tidak relevan dan fungsinya yang sangat minimal dalam memupuk pembangunan diri murid masa kini.
“Kita sepatutnya membuat keputusan ini lebih awal lagi dan bukan hanya tunggu bila pandemik Covid-19 ini berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Penganalisis Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad pula menyifatkan tindakan tersebut sebagai tepat pada masanya dan merupakan kemenangan besar kepada perjuangan mentransformasikan pendidikan negara.
Ini kerana jelas beliau, adalah tidak wajar mengkategorikan keupayaan murid-murid pada peringkat yang terlalu awal hanya berdasarkan peperiksaan tersebut.
“Setiap tahun dianggarkan 500 ribu murid-murid menduduki UPSR. Secara purata 10 peratus murid-murid akan mencapai tahap cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran UPSR. Mereka diraikan dan diberikan pujian dengan berbagai penghargaan oleh pihak sekolah. Apa yang pihak sekolah lakukan pada 90 peratuslagi murid-murid yang lain?
“Pada kumpulan 90 peratus murid-murid yang tidak cemerlang, hasil dari keputusan UPSR menyebabkan mereka mula membina konsep kendiri yang lemah, tidak percaya pada kebolehan diri dan melihat mereka adalah insan yang tidak berjaya. Sebab itu UPSR hanya menjayakan 10 peratus murid-murid tetapi mengetepikan potensi 90 peratus murid-murid yang lain,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN










