MUKADIMAH
TERPAKU seketika memasuki ruang pejabat tokoh budayawan ini di Bangunan Parlimen, ibu negara. Kemas. Logo Zoroastrian pada dinding yang memberi deskripsi istimewa mengenai kepentingan keadilan. Dan sedikit sebanyak menjelaskan keperibadian beliau.
Nilai pengalaman dan pengetahuan Yang Dipertua Dewan Negara, TAN SRI RAIS YATIM, 78, terutama dalam politik tanah air amat berharga kerana beliau berpeluang berada dalam zaman kepimpinan kesemua tujuh Perdana Menteri.
Kebolehannya untuk mengingati tarikh-tarikh penting dan bersejarah tidak boleh disangkal, malah wajar disegani.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan jurufoto, MOHD. FAUZI BAHARUDIN, Rais berkongsi pengalaman berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri pertama sehingga kini kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tunku pemimpin untuk semua
Mula dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, saya berkhidmat dengan beliau bukan sebagai anggota pentadbiran tetapi sebagai setiausaha dan juga Timbalan Yang di-Pertua Parti Melayu Semangat 46 pada 1987.
Kekuatan yang ada pada Tunku adalah keikhlasannya sebagai pemimpin. Beliau tidak mempunyai agenda yang terselindung dalam mengutarakan keutamaannya sebagai Perdana Menteri.
Beliau sangat terbuka, seorang manusia biasa dan tidak ada sikap-sikap yang membawa ketelanjuran. Ini juga mungkin merupakan kelemahan Tunku tetapi pada saya, kebolehan beliau mendapat minat orang bukan Melayu dan juga orang Melayu sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia sangat tinggi nilainya.
Tun Razak penuh kebijaksanaan
Tun Abdul Razak Hussein pandai membawa diri sebagai orang nombor dua. Bak kata pepatah Melayu, pemimpin yang seranting tinggi dan selangkah di hadapan diamalkan oleh Tun Razak dan beliau tidak ada gara-gara untuk menumbangkan atau mengatasi pemimpin utama.
Ini menyebabkan keharmonian antara Tunku dan Tun Razak sangat intim dan dekat jika dilihat dari pandangan orang ramai.
Tun Razak adalah pemimpin yang cekal dan tidak banyak meluahkan perasaan khusus yang berkait dengan permasalahan peribadinya sehinggakan ketika menghidapi leukemia, beliau tidak menceritakannya pada sesiapa pun. Itulah bukti betapa berahsianya Tun Razak.
Beliau adalah pemimpin yang pendiam, namun dalam diam-diam itu, beliau sangat cekal, bijak dan sangat mengutamakan orang miskin.
Tun Razak wujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), tidak lama selepas itu Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra). Berbudi kepada tanah adalah cara Tun Razak.
Saya pernah buat kesilapan mengenai ura-ura menubuhkan bank belia. Beliau berkata saya tidak patut membuat pengumuman berkaitan bank belia itu dan saya menjelaskan rasional mewujudkan bank itu kerana kita ada belia peladang, belia sukan dan sebagainya.
Namun katanya, saya perlu belajar lagi. Jangan umum dasar sebelum hal itu dibawa ke Kabinet. Beliau beri saya satu pengajaran, iaitu orang yang di bawah seperti timbalan menteri atau setiausaha Parlimen tidak sepatutnya membuat pengumuman dasar kerana ia haruslah dibawa menerusi menteri.
Sekarang, saya tidak dapat ajaran seperti itu lagi dan itu juga membuatkan ramai orang berpendapat, Tun Razak seorang yang mampu untuk membimbing. Kami rasa seperti ada guru, seolah-olah ada payung.
Tun Hussein teramat teliti tetapi UMNO mula berbelah-bahagi
Ketika zaman Tun Hussein Onn, saya merupakan Timbalan Menteri Undang-Undang. Menteri saya pada ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Yusof yang juga bertindak sebagai Peguam Negara. Pada ketika itu, timbalan menteri boleh hadir dalam mesyuarat Kabinet, tetapi selepas Tun Salleh Abbas membuat interpretasi Perlembagaan, timbalan menteri tidak lagi menjadi anggota Kabinet, hanya menteri. Maknanya, ketika zaman Tun Hussein bermulanya sejarah timbalan menteri tidak menjadi anggota Kabinet dan ia kekal sehingga sekarang.
Tun Hussein ini saya boleh beri markahnya sebagai individu yang sangat teliti. Beliau kalau membaca, selalu menggunakan pembaris dan menggariskan perkara-perkara penting menggunakan pen berdakwat merah dan perkara tidak penting menggunakan pen berdakwat hitam.
Dengan Tun Hussein ini, kita akan berwaspada dengan tutur kata. Beliau akan membuat catatan untuk setiap perkara yang dilaporkan dalam satu buku kecil yang disimpan dalam poket. Saya juga mengikut jejak langkah itu dan sehingga hari ini, perangai itu masih dengan saya.
Mahathir tegas, bawa arus politik terus terang
Sejarah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sangat banyak. Beliau mengangkat Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi tidak lama. Dahulu disebut bermacam-macam slogan mengenai mereka berdua. Bersih, Cekap, Amanah adalah slogan Dr. Mahathir dan Musa yang pada ketika itu dan mereka disebut juga dengan jolokan The Two M atau Dua M. Pada November 1981, Dr. Mahathir berbalah dengan Musa dan terus beliau tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Ketika itu, UMNO adalah teraju utama. Setiap apa yang UMNO putuskan tentu akan selesai dan setiap apa yang UMNO mahukan sudah tentu akan dapat. Perjuangan Melayu ketika itu sangat kuat. Rakan-rakan lain iaitu MCA, MIC dan Gerakan percaya pada UMNO.
Raja-raja Melayu, ramai yang kecewa ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Pada 1993, Perkara 182 Perlembagaan dipinda yang membuatkan raja atau sultan boleh didakwa di mahkamah di bawah Undang-Undang Khas atau Mahkamah Khas.
Selama 22 tahun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, sumbangan besar beliau kepada negara tidak boleh dinafikan terutama berkaitan industri berat, Wawasan 2020, Dasar Ekonomi Baru yang diterjemah dalam bentuk memperkaya beberapa individu Melayu yang diharapkan akan memberi sumbangan kepada industri perdagangan Melayu yang jelasnya kurang menjadi dan tidak berjaya.
Sumbangan beliau yang besar juga termasuk membawa arus politik yang berterus-terang. Semasa itu, dengan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum itu dijaga dan dibelai dengan baik semenjak 1982 sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sehingga 1998. Pada waktu itu berlaku pergolakan politik tanpa kira apa sahaja yang berlaku, Dr. Mahathir akan pastikan situasi memihak padanya. Nilai pimpinan beliau terletak pada ketegasannya dan juga jelasnya manifestasi perjuangan yang hendak beliau capai.
Abdullah hidupkan budaya tanah air
Saya lihat Tun Abdullah Ahmad Badawi banyak mempunyai sifat seperti budayawan. Budaya banyak dihidupkan semula ketika zaman beliau menjadi Perdana Menteri. Dari 2003 hingga 2009, banyak peristiwa berlaku tetapi saya rumuskan sifat Abdullah sebagai seorang individu yang sentiasa tidak suka menggunakan perkataan kasar. Beliau sangat berwibawa termasuk sentiasa mengawal sentimen bahasa dan politik sehingga dianggap sebagai seorang yang tidak suka menimbulkan masalah.
Ada pihak mengambil peluang mengutamakan diri dengan sikap Perdana Menteri yang begitu lemah-lembut tetapi saya mendapati, sokongan isterinya yang juga merupakan budayawan maka zaman beliau adalah zaman kebudayaan Malaysia diangkat.
Apa sahaja perkara dibawa yang memerlukan peruntukan untuk budaya akan lulus. Batik muncul sebagai tekstil nasional, industri batik dijaga baik, ukiran termasuk emas dan perak terus hidup dan kraftangan muncul dengan baik serta Akta Warisan dan Jabatan Warisan diwujudkan.
Saya sebagai seorang budayawan berasa teruja dan berterima kasih lantaran pembangunan industri budaya pada ketika itu.
Namun. wujud pada ketika itu adalah isu dalam UMNO yang mahukan Abdullah ditukar. Apabila sampai pada pengetahuan Presiden UMNO, maka memahami budi bahasa dalam UMNO yang mahukan Presiden undur, tetapi sebaliknya berlaku pada zaman ini. Zaman kesemua Perdana Menteri sehingga zaman Abdullah, mereka amat menghormati kehendak parti.
Jasa besar Najib
Pada 2009, Najib muncul dan peranan kekeluargaan beliau menyebabkan wujud kritikan terhadap dirinya. Kes-kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kekeluargaan dan Dr. Mahathir muncul semula sebagai ‘jaga lama.’ Sahabat musuh seperti Lim Kit Siang dan lain-lain menjadi satu kumpulan meminta supaya Najib undur.
Bagaimanapun, saya terhutang budi kepada beliau kerana telah mengiktiraf saya sebagai budayawan dan meletakkan saya di Kementerian Komunikasi serta Kementerian Budaya, Warisan dan Seni. Najib selalu mengiktiraf kebolehan individu lain. Beliau bukan seorang yang garang, kasar atau boleh dikritik.
Kita juga terhutang budi kerana dalam zaman Najib, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan. Itu adalah sumbangan besar daripada Najib yang kita sudah mulai lupa. Beliau telah menjelaskan sebab-sebab ISA harus diketepikan. Kita harus mengiktiraf sumbangan itu.
Politik Muhyiddin berteras survival Melayu
Dalam bab ini, saya boleh kata Dr. Mahathir adalah punca masalah itu kerana beliau telah melepaskan jawatan. Sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu sudah tentu perlu bertindak selepas Dr. Mahathir bersikap tidak matang dan ‘cabut lari.’
Perspektif ini tidak ramai boleh fikir iaitu politik Muhyiddin adalah politik survival orang Melayu yang sekurang-kurangnya untuk mencerminkan majoriti orang Melayu. Ambil kawan-kawan dalam Pas dan UMNO.
Dalam Perkara 43, kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan boleh melantik sesiapa yang pada pandangannya mendapat sokongan majoriti Parlimen. Mahathir pada 28 Februari 2020 bersetuju dengan keputusan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sekarang, setelah Perhimpunan Agung UMNO, ramai bertanya, kekalkah Muhyiddin dengan pengisytiharan darurat? Pada saya, persoalan ini tidak sepatutnya timbul asalkan Yang di-Pertuan Agong masih yakin asas-asas darurat disebutkan itu boleh dilangsung buat satu ketika yang munasabah.
Mengenai boleh atau tidak Parlimen berfungsi hanya boleh diputuskan oleh pemegang kuasa iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri setelah berbincang dengan Kabinetnya. Kita mempunyai kepercayaan bahawa pilihan itu adalah pilihan undang-undang, bukannya pilihan politik.
Sehari dua ini, penularan Covid-19 menunjukkan penurunan dan itu mungkin merupakan sebab kenapa Parlimen boleh ditimbang semula untuk diberi kuasa asasnya tetapi apa yang harus ditekankan di sini adalah Perlembagaan lebih berkuasa daripada Parlimen.










