Kealiman Sheikh Qurra Mesir, Sheikh Ali Dabba’ - Utusan Malaysia

Kealiman Sheikh Qurra Mesir, Sheikh Ali Dabba’

SHEIKH ALI MUHAMMAD AL-DABBA'
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap al-Quran yang dicetak perlu mendapat pengesahan ayat-ayat yang ditulis adalah benar dan sahih mengikut ia diturunkan. Amalan mentashih nas al-Quran ini sudah bermula pada zaman Nabi SAW.

Setiap kali wahyu diturunkan Nabi SAW memanggil penulis wahyu dalam kalangan para sahabat r.a untuk menulis wahyu tersebut.

Zaid Ibn Thabit adalah antara penulis wahyu yang selalu menulis di hadapan Rasulullah SAW. Beliau berkata: Aku pernah menulis wahyu di hadapan Rasulullah SAW dan Baginda SAW membacakan kepadaku.

Apabila aku habis menulis Baginda SAW bersabda: Bacalah apa yang kamu tulis lantas aku membacanya. Dan jika ada huruf yang tersilap tulis maka Baginda SAW membetulkanya. Kemudian aku bawakan wahyu yang ditulis itu keluar untuk dibaca kepada orang ramai. (riwayat al-Tabarani)

Penjagaan nas al-Quran yang dijanjikan Allah bahawa Dia yang menurunkan al-Quran dan Dialah yang menjaganya berlaku melalui menghafaz al-Quran dalam dada penghafaz dan penulisan dalam mushaf.

Sepanjang zaman akan ada tokoh-tokoh yang menghafaz al-Quran dengan sempurna dengan ingatan yang kuat.

Mereka mengajar hafazan al-Quran kepada generasi muda dan bersambung sanad sampai kepada Rasulullah SAW.

Salah seorang tokoh yang mempunyai keilmuan yang tinggi dalam ilmu al-Quran ialah Sheikh Ali Muhammad al-Dabba’.

Beliau lahir di Kaherah pada 1886 dan menghafaz al-Quran semasa usianya masih kanak-kanak. Kepintarannya yang luar biasa mendapat perhatian Sheikh Qurra ketika itu iaitu Sheikh Muhammad al-Mutawali (meninggal 1313 Hijrah).

Beliau memberi wasiat kepada menantunya iaitu Sheikh Hasan Ibn Yahya al-Kutbi agar mengambil berat dan memberi perhatian kepada Sheikh Dabba’. Mengajarnya ilmu qiraat, ulum al-Quran dan mewasiat juga supaya diberi semua kitabnya kepada Sheikh Dabba’ selepas beliau meninggal dunia.

Sheikh Dabba’ mendalami ilmu qiraat dan ulum al-Quran sehingga mencapai ke peringkat alim. Beliau memegang jawatan Sheikh Maqari di Masjid Sultan Hasan di Kaherah dan kemudian berpindah ke Masjid Sayyidah Zainab r.ha bertugas bersama dengan Sheikh Qurra Mesir ketika itu Sheikh Muhammad Ibn Ali Khalaf al-Husaini (meninggal dunia 1357 Hijrah).

Pada 1368 Hijrah bersamaan 1949 Masihi, Raja Mesir ketika itu al-Malik Faruq melantik Sheikh Dabba’ sebagai Sheikh Qurra negara Mesir.

Sheikh Ali Dabba’ amat masyhur dalam ilmu qiraat dan menjadi tumpuan untuk mengambil sanad dan bertalaqqi dengannya. Muridnya di Mesir amat ramai.

Antaranya, Sheikh Ibrahim Atwah yang juga tenaga pengajar di Universiti al-Azhar dan anggota pengajian tinggi. Muridnya yang lain ialah Sheikh Abdul Aziz al-Zayyat dan Sheikh Abdul Halim Badr Ahmad Ata Allah.

Ramai yang datang dari luar Mesir untuk bertalaqqi qiraat dengannya. Antaranya ialah Sheikh Abdul Aziz ‘Uyun al-Sud dari Syria yang kemudian memegang jawatan Sheikh Qurra di Hims, Syria.

Beliau adalah guru kepada Dr. Aiman Suwaid dan Sheikh Tamim al-Zu’biy. Antara yang datang dari kota Hijaz bertalaqqi al-Quran dengannya di Mesir ialah Sheikh Ahmad Ibn Hamid al-Tiji.

Beliau adalah Sheikh Qurra di Mekah dan guru kepada Datuk Sheikh Mohamad Nor Ibrahim, bekas Mufti Negeri Kelantan dan pengasas kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara yang kini dikenali sebagai Darul Quran.

SUMBANGAN SHEIKH DABBA’

Pelantikan Sheikh Ali Dabba’ sebagai Sheikh Qurra Mesir disaksikan para ulama dan qurra yang mana mereka memperakui kealimannya. Menariknya, Sheikh Ali Dabba’ banyak menghasilkan penulisan berkaitan al-Quran dengan perbahasan yang memberi banyak manfaat.

Dalam mukadimah kitabnya Samir al-Talibin, beliau berkata, rujukan ilmu rasm dan dabt yang muktamad adalah kitab al-Muqni’ oleh Abu Amru dan kitab al-Tanzil oleh Abu Daud.

Memandangkan perbahasan dalam kedua-dua kitab itu amat tinggi dengan penggunaan bahasa yang sukar difahami dan ditambah buku tersebut tidak dijual di kedai buku maka beliau meringkaskan dua kitab tersebut dengan susunan yang mudah difahami lalu dinamakan dengan Samir al-Talibin fi Rasm Wa Dabt Kitab al-Mubin.

Kitab ini masih digunakan sebagai sukatan pengajian hingga sekarang.

Beliau juga dilantik ketua panel semakan al-Quran. Dalam hal ini, beliau amat mengambil berat dengan menyemak dan mentashih al-Quran yang hendak dicetak dengan teliti. Memastikan semua nasnya tepat dan sahih menepati hukum yang berkaitan sehingga ia dicetak dengan sempurna.

Peranannya amat besar. Bukan hanya memastikan mushaf yang dicetak di Mesir adalah betul tetapi negara-negara Islam ketika itu juga menghantar mushaf kepada beliau untuk ditashih sebelum ia dicetak. Ini termasuklah mushaf Mekah yang ditulis oleh Tahir al-Kurdi pada awal tahun 50-an.

KITAB al-Ida’ah Fi Bayan Usul al-Qiraah adalah antara karangan Sheikh Ali Muhammad al-Dabba’ yang masih jadi rujukan hingga hari ini.

Sebuah majalah di Mesir menerbitkan artikel bertajuk Seorang lelaki yang diiktiraf semua muslim dengan tandatangannya dalam al-Quran menceritakan setiap tahun, empat juta mushaf diterbitkan di Mesir.

Ia dihantar ke negara-negara luar tanpa sekatan dan syarat. Mushaf tersebut yang sampai ke Rusia dan China mestilah mendapat pengesahan Sheikh Ali Dabba dan tandatangannya untuk menjadikannya diiktiraf.

Khidmat Sheikh Ali Dabba’ dalam mentashih al-Quran ialah selama 52 tahun. Beliau terus membaca al-Quran, menyemak dengan teliti setiap baris, huruf, tulisan dan yang berkaitan agar tidak berlaku kesilapan sebelum ia dicetak.

Pada akhir usianya, Sheikh Ali Dabba’ masih mentashih mushaf walaupun beliau sakit dan berada di atas katil.

Artikel tersebut juga melaporkan sehingga kini, Sheikh Ali Dabba’ mentashih 380 mushaf. Salinan naskhah yang disemak disimpan dalam satu almari di rumahnya.

Syarat penerbitan mushaf ketika ialah mestilah mendapat pengesahan pejabat Sheikh Qurra Mesir bahawa semua teks al-Quran adalah sahih dan menepati Rasm Uthmani.

Syarat berikutnya ialah kertas yang digunakan untuk mencetak mushaf mestilah bersih, suci dan dakwat yang digunakan juga adalah berkualiti, baik dan tidak mengaibkan.

Naskhah mushaf hendaklah diletak di tempat yang tinggi menjaga kesuciannya dan tidak boleh diletak sesuatu di atasnya. Selain itu naskhah tersebut mesti ada tandatangan Syeikh Ali Dabba’ kerana ia diperakui oleh kerajaan.

Karya penulisan Sheikh Dabba’ dalam Qiraat, Tajwid, Ulum al-Quran dan lain-lain berjumlah kira-kira 70 kitab. Kitab-kitab tersebut banyak manfaat kepada pelajar dan guru.

Sebahagian besar kitab karangannya masih digunakan hingga hari ini. Antara kitabnya ialah Irsyad al-Murid iaitu syarah kepada matn Syatibiyyah, Bulugh Umniyyah, Taqrib al-Naft, Samir al-Talibin dan lain-lain.

Selepas khidmatnya kepada al-Quran dalam tempoh lebih setengah abad iaitu pada 1961, Sheikh Ali Dabba’ meninggal dunia.

  • Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN