Kalau bukan Muhyiddin siapa layak jadi PM? - Utusan Malaysia

Kalau bukan Muhyiddin siapa layak jadi PM?

Wan Saiful Wan Jan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

DILABELKAN sebagai sebuah parti yang mentah untuk menerajui sebuah pakatan seperti Perikatan Nasional (MN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat tidak mengambil endah kritikan itu termasuk ugutan UMNO untuk menarik sokongan.
Sebaliknya. Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan tenang dan yakin tidak ada calon lain lagi yang lebih untuk menjadi Perdana Menteri, selain Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam temu bual dengan wartawan Mingguan Malaysia, Aznan Bakar bersama jurufoto FAUZI BAHARUDIN dan Juruvideo MOHD. FIKRI FADZIL, beliau melontar kepada para pemimpin politik lain untuk menamakan siapa calon Perdana Menteri mereka?

MINGGUAN MALAYSIA:
Bersatu sebuah parti yang baru empat tahun bagaimana ia boleh bersaing dengan parti-parti lain yang lebih berpengalaman seperti UMNO, Pas, PKR dan DAP?
Wan Saiful: Memang betul Bersatu baru empat tahun lebih. Dalam keadaan umur yang masih muda itu sudah pasti banyak perkara perlu dilakukan. Tetapi pada masa sama Bersatu diterajui oleh mereka yang berpengalaman dalam politik negara. Tan Sri Muhyidin Yassin bukan orang baharu. Berpuluh-puluh tahun dalam politik negara. Begitu juga dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Faizal Azumu dan naib-naib presiden. Banyak pengalaman sebenarnya. Jadi ini membantu Bersatu dengan cepat menyesuaikan diri dengan suasana negara dan boleh memimpin negara dengan baik sekarang

Bersatu dikatakan sebuah parti mentah dan belum layak memimpin sebuah pakatan besar seperti PN untuk memimpin negara?
Realitinya Bersatu sekarang menunjukkan kita ada kebolehan untuk memimpin. Malahan pengurusan krisis kita baik. Kita masuk saja dalam kerajaan terutama kerajaan PN sekarang ini kita menguruskan satu krisis besar yang melanda seluruh dunia bukan Malaysia sahaja – Covid-19. Ini memberi kesan kepada ekonomi dan kesihatan rakyat. Dengan kejayaan kita mengurus situasi ini membuktikan kita walaupun dengan umurnya muda tetapi kebolehannya ada.
Sedikit kelebihan, kita tidak ada bebanan daripada masa lalu yang menghantui. Bersatu ditubuhkan dengan agenda jelas. Agenda kita adalah integriti, memerangi rasuah. Sebelum ini negara kita dilanda suasana kleptokrasi yang dilihat seluruh dunia. Kita tubuhkan Bersatu ini atas agenda untuk bawa kembali integriti negara dan baiki tadbir urus negara. Dengan agenda itu kita buktikan kita boleh memimpin.

Adakah Datuk maksudkan parti-parti lama seperti UMNO sudah tidak mampu lagi memimpin dengan berkesan kerana dihantui oleh bebanan masa lalu?
Apa yang berlaku dalam UMNO saya rasa biar UMNO uruskan. Tetapi kita ini bernasib baik, bila tidak ada beban seperti itu, tidak ada sejarah terlalu panjang, tidak ada masalah-masalah besar berlaku. Kita agak fleksibel boleh menyesuaikan diri dengan cabaran baharu. Apabila ada cabaran baharu kita boleh duduk bersama-sama, berbincang dan buat keputusan tanpa perlu fikir beban lama yang boleh menghantui kita.

Adakah dua pakatan berpihak kepada kerajaan sekarang Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) mengelirukan orang ramai? Kenapa tidak fokus kepada satu pakatan sahaja?
Sebenarnya kewujudan gabungan-gabungan ini kalau di negara-negara lain biasa sahaja. Dalam konteks Malaysia mungkin sebab baharu. Kita ada kerajaan yang kekal berpuluh tahun gabungan yang sama. Kemudian gabungan pembangkang berubah-ubah dari Barisan alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan – sentiasa berubah. Jadi sebelah pembangkang sudah ada kebiasaan, sebab itu saya pun pelik, kawan-kawan yang duduk dalam parti pembangkang bertanya mengenai gabungan yang berubah-ubah. Sejarah pembangkang berubah setiap masa, setiap pilihan raya berubah. Jadi sepatutnya di sebelah pembangkang sudah biasa, tapi bagi rakyat ia agak mengelirukan mereka. Dulu kerajaan lawan pembangkang, tetapi sekarang ada tiga gabungan – PN, PH dan Barisan Nasional (BN). Ini suasana baharu yang menyumbang ke aras proses kematangan demokrasi dalam negara.

Bagaimana pula dengan tuduhan PN sudah merampas MN?
MN tak dihijack oleh sesiapa. MN ditubuhkan semasa saya dan kawan-lain dalam PH. Agenda yang dibawa MN sebenarnya saya kagum kerana menyatukan kembali kuasa politik Melayu yang berpecah. PN adalah entiti berbeza daripada MN. Jadi isu merampas (hijack) ini tidak pernah berlaku.

Kenapa dari awal penubuhan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin tidak guna platform MN yang sememang sudah sedia ada. Kenapa tubuh PN?
Ada dua perkara di sini. MN bukan sebuah gabungan politik. Ia hanya kerjasama antara dua parti. MN tidak ada logo bersama tidak ada berpelembagaan bersama. MN tidak ada struktur organisasi yang membolehkannya memutuskan siapa calon dan logo. Logo berbeza-beza. MN tidak boleh bertanding dalam pilihan raya ia tidak berdaftar pun. Maka ada keperluan mewujudkan PN sebagai sebuah gabungan politik yang rasmi yang membentuk kerajaan. Masa itu UMNO dan Pas setuju. Sebab itu dua-dua dalam MN duduk dalam kerajaan PN.
MN itu bukan satu entiti yang boleh bertanding dalam pilihan raya. Ia gabungan yang tidak berdaftar. Yang kedua, kita kena ingat Bersatu ada terima jemputan menyertai MN. Apabila kita menerima, sehingga hari ini kita tidak dengar apa-apa jawapan. Bukan isu kita tak mahu bersama dalam MN isunya yang pertama MN bukan sebuah pertubuhan politik yang kedua Bersatu sudah bersetuju untuk masuk. Ibarat kita dijemput makan kenduri tetapi apabila sampai di depan pintu tuan rumah tak bagi masuk. Ini isu yang UMNO kena selesaikan sebab Pas nampak Ok saja.

Maknanya isu ini bukan masalah daripada Bersatu?
Saya kena sebut dengan jelas di sini dalam Bersatu dan dalam PN fokus kita adalah memperkukuhkan PN. Isu MN adalah isu yang kita jawab sebagai perbincangan akademik saja sekarang ini. Kita sudah sampai ke peringkat di mana PN akan ke depan dan akan bertanding dalam pilihan raya. Apabila bercakap tentang MN, sebenarnya Bersatu dan Pas tidak ada apa-apa pun. Kita setuju sangat untuk sokong kesatuan politik Melayu-Islam. Yang jadi masalahnya adalah UMNO. Isu dalam MN bukan isu MN sebenarnya, tetapi adalah isu UMNO. UMNO yang kena selesaikan. Kita menyokong kesatuan, UMNO kena buat keputusan. Hendak sokong perpaduan Melayu atau tidak mahu sokong. Itu yang UMNO kena tentukan.

Jadi bila bercakap soal penyatuan politik Melayu-Islam, kenderaannya adalah PN?
Ya, kenderaannya PN. Yang pertama ia entiti yang berdaftar. Dari segi falsafah yang dibawa oleh PN, ia merangkumi semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Model PN adalah menyatukan kuasa politik Melayu menjadi teras dalam negara kita dan matlamat penyatuan itu adalah untuk mewujudkan kestabilan kerana hanya dengan kestabilan politik sahaja boleh bawa kemakmuran. Matlamat akhir kita kekal, iaitu memastikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati kemakmuran yang dijana negara. Tetapi prasyaratnya kena ada kestabilan politik dalam kalangan orang Melayu. Sebab itu yang menjadi teras dalam negara. Ini bukan isu perkauman.

Kerjasama Bersatu, Pas dan UMNO dalam PN sudah terbukti dapat membentuk kerajaan tetapi tiba-tiba UMNO tarik diri, adakah ini disebabkan UMNO mahu jadi ‘abang besar’ atau kuasa yang lebih dominan dalam PN?
Bunyinya begitu. Kawan-kawan dalam UMNO merasakan mereka adalah parti besar, parti yang dah lama dan mereka ada ahli yang ramai. Itu memang betul. Dengan kedudukan begitu mereka merasakan perlu mendominasi politik negara. Ini adalah hak UMNO untuk menzahirkan sikap mereka. Kebimbangan kita ialah sekarang rakyat tengah susah, berfikir tentang kelangsungan hidup. Kalau kita tak habis-habis berfikir bahawa aku kuat dan sebagainya akhirnya rakyat akan benci dan mereka akan tolak habis orang politik sedangkan kuasa politik dan kebolehan mentadbir negara terletak pada kuasa politik. Untuk elak rakyat makin benci, saya rasa apa yang ditunjukkan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah yang terbaik. Fokus utama adalah tolong rakyat.

Adakah sikap UMNO yang suka menzahirkan sikap dominan, sikap mahu menjadi ketua akan menjadi punca rakyat menyampah dan akan menolak penyatuan politik Melayu- Islam?
Ini lah risikonya kalau kita tak habis-habis berpolitik. Ketika dalam PH saya selalu sebut bukan PH yang menang tetapi BN yang kalah. Sebab rakyat tolak BN dan undi PH. Dalam keadaan sekarang kebimbangan saya ialah apabila kita berterusan bertelagah, rakyat akan kata ‘semuanya sama saja’ sebab kita duduk dalam kerajaan yang sama. Rakyat akan kata duduk dalam kerajaan sama pun tidak boleh bawa berbincang hingga ada orang buat lawak tak ada `grup whatsapp ke’, jadi dalam dalam keadaan macam ini yang akan menang ialah PH. Saya tak mahu jadi penganalisis kepada UMNO, tetapi semua kena fikir. Kita nak supaya apa yang wujud sekarang diteruskan ke? Atau kita mahu bagi satu hidangan lazat kepada kawan-kawan dalam PH untuk mereka masuk ke Putrajaya?

Apa masalah jika PH yang kembali ke Putrajaya?
Sebab yang akan menjadi Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutu rapatnya adalah DAP. Itukah yang kita mahu? PKR dan DAP adalah dua parti yang datang dari aliran sebelah kiri. Bila kita kritik DAP mereka kata kita rasis sebab tak suka Cina. Jika kritik PKR akan kata ini rasis juga sebab tak suka parti berbilang bangsa.
Saya tidak tengok dari sudut itu. Saya tengok dari sudut dua-dua parti ini datang dari pemikiran politik. DAP kalau tengok perlembagaannya, objektif yang pertama mewujudkan negara yang berteraskan demokrasi sosial. Sosial demokrasi adalah haluan kiri yang menjurus kepada sosialisme.
Sama juga dengan PKR. Dulu Parti Keadilan Nasional bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia menjadi PKR – Parti Keadilan Rakyat. Parti Rakyat itu datang dari mana? Dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia masa sebelum merdeka dikenali sebagai Sosialis Front. Sedangkan negara kita diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman jelas. Beliau berkata, Malaysia terbina atas kebebasan dan keadilan. Itu prinsip yang datang dari aliran kanan.
Negara kita, ideologinya beraliran kanan. Adakah kita mahu parti-parti yang nak rebut jawatan itu tukar negara kita daripada aliran kanan jadi aliran kiri berteraskan sosialisme? Itu sebab apabila ada parti-parti yang hendak buat gabungan baharu, jajaran baharu selepas PRU15, yang mungkin membabitkan parti-parti aliran kiri ini saya bimbang. Betul nak move forward, move away dari politik perkauman, politik bangsa, tak nak rasis, tapi kita mahu ke negara ini keluar dari politik perkauman masuk ke politik sosialis? Ini kita kena jelas. Sebab itu pada saya mana-mana parti dalam negara kena umum sekarang gabungan mereka macam mana. Apa hendak bawa, hala tuju macam mana?

Bagaimana Bersatu dan rakan dalam PN menghadapi ugutan dari UMNO?
Saya rasa sekarang ini kita menguruskan perbezaan pandangan. Saya tak mahu guna perkataan ugutan. Dalam kita membentuk gabungan parti politik, perbezaan pandangan pasti akan wujud. Sekarang ini di peringkat kerajaan, pengurusan perbezaan itu berjalan dengan baik.

Bersatu boleh bertolak ansur dengan UMNO?
Kami boleh bertolak ansur secara berterusan dengan UMNO. Kalau tengok sekarang pun kita diasak hampir setiap hari. Tetapi ada kita respons? Kita tunjukkan reaksi negatif? Tidak ada. Malahan kita mahu kekalkan kestabilan yang ada. Sikap kita tidak berubah.

Bersatu yakin PN akan mampu bertahan di sebalik ugutan UMNO?
Soalan ini senang sahaja. Yang perlu difikirkan oleh rakyat, oleh kita semua yang terlibat dalam politik negara ialah siapa yang akan jadi Perdana Menteri? Sekarang kita tengok rekod Tan Sri Muhyiddin, beliau menjadi Perdana Menteri dengan fokus beliau adalah prihatin rakyat dan agenda kemakmuran bersama. Mereka yang perlukan bantuan dibantu. Saya rasa tidak ada sesiapa ketinggalan. Ketokohan Tan Sri Muhyiddin itu pada masa sekarang tidak ada sesiapa yang boleh tunjuk sampai ke tahap itu untuk saingi beliau. Kalau dibanding dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika zaman PH, mesej yang dibawa adalah tidak ada duit. Tapi Tan Sri Muhyiddin buktikan kalau ada keperluan untuk membantu rakyat, boleh dicari dana itu. Rekod beliau sukar dicabar.
Kalau PH mereka akan tawarkan Anwar yang akan datang bersama DAP. Kalau BN, siapa mereka akan tawarkan sebagai perdana menteri? Sampai hari ini mereka belum namakan calon perdana menteri mereka dan saya jangka sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi calonnya. Bila dibandingkan tiga-tiga ini, saya rasa rekod Tan Sri Muhyiddin menunjukkan beliau bukan sahaja layak malah patut meneruskan tanggungjawab sebagai perdana menteri.

Yakinkah Pas akan kekal bersama Bersatu dalam PN sebab ada kata mereka sokong PN disebabkan ada jawatan dalam kerajaan dan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)?
Ini berbalik kepada point saya kenapa kita masuk politik? Masuk politik sebab kita mahu berkhidmat. Kenderaan untuk membolehkan kita berkhidmat itu ialah jawatan dan amanah yang dipegang. Jadi sama ada jawatan itu mengikat mereka atau tidak itu perkara kedua. Yang mengikat kita adalah komitmen untuk membawa Malaysia kepada keadaan yang lebih baik. Ditadbir urus dengan baik. Itu komitmen dan itu dijelmakan melalui jawatan kita pegang. Jawatan hanya alat.

Ada kebimbangan Pas akan tarik diri dari PN seperti mana dilakukan UMNO?
Yang itu kita uruskan apabila sampai masanya. Setakat ini masalah itu tidak wujud.

Kemungkinan ada parti bertanding secara solo dalam PRU15 seperti mana yang dihasratkan oleh UMNO?
Saya rasa tidak ada mana-mana parti politik yang boleh menang dan mentadbir negara secara bersendirian. Mesti bentuk gabungan. Dalam keadaan kita memerlukan gabungan jadi lebih elok jika gabungan itu dimaklumkan kepada rakyat dari sekarang. Nanti rakyat bertanya siapa rakan gabungan kita?

Tanpa UMNO bagaimana PN mahu bentuk kerajaan?
Saya rasa itu UMNO sendiri kena jawab. Kita akan berunding dengan pelbagai parti dan yakin apabila sampai ke peringkat itu, maka kita boleh beri satu tawaran yang rakyat akan sokong kita. Kalau ada parti lain hendak bersama rasa lebih elok jika perbincangan itu dibuat dengan cara yang baik dari sekarang. Kalau UMNO nak bersama dengan kita, saya rasa elok kita tak payah bergaduh di khalayak ramai. Kesatuan politik Melayu penting, kalau dah tak nak, tak apa. Tetapi persoalannya siapa dia nak bawa jadi kerajaan? Tak kan nak bawa parti-parti aliran sosialis ke dalam kerajaan?

Adakah sedang mencari rakan pakatan baharu untuk sertai PN?
Permohonan (untuk jadi rakan gabungan) yang kita dapat banyak. Saya ada dihubungi oleh pemimpin-pemimpin parti yang berminat untuk sertai PN. Tetapi kena melalui proses.

Bagaimana dengan Amanah?
Amanah tidak dapat membina asas yang cukup kemas untuk mereka bergerak ke hadapan. Kalau tengok dalam perbincangan politik sekarang, orang sebut tentang Bersatu, UMNO, Pas, PKR DAP, tetapi Amanah tenggelam. Saya tak rasa Amanah berjaya menonjolkan diri dengan baik.

Kemungkinan PN akan bekerjasama dengan PKR dan PH tidak akan berlaku?
Kalau hendak kerjasama PKR dan DAP kena ubah kerangka kerja mereka. Mereka kena berubah dan ikut kita. Tak boleh nak kata kita tolak semua orang. Kita mengalu-alukan semua yang berminat untuk bersama mengikut perlembagaan kita dan setakat ini kita tidak pernah tutup pintu kepada sesiapa. Melainkan yang jelasnya setakat ini DAP dan PKR tak pernah masuk dalam senarai parti yang kita bincang.

PENGALAMAN POLITIK DI UK

Bagaimana Datuk boleh terlibat dengan politik ketika di United Kingdom (UK)?
Ketika di UK selama 18 tahun pernah terlibat dengan parti Konservatif. Saya bekerja di ibu pejabat, pernah pegang jawatan timbalan ketua bahagian di salah satu bahagian parti itu di UK dan pernah bertanding dalam pilihan raya kawasan.

Perbezaan pengalaman politik di UK dan di Malaysia?
Di negara macam UK, demokrasi mereka lebih matang. Apabila bercakap tentang politik, kita membahaskan dasar kerajaan dan polisi negara.
Di Malaysia benda yang bersifat politik pembangunan, politik tawaran, apa tawaran yang boleh diberikan kepada rakyat dalam bentuk fizikal, pembangunan fizikal atau bantuan fizikal. Itu sudah menjadi prasyarat untuk bergiat dalam politik.
Di UK kalau kita datang sebagai parti politik hendak beri bantuan makanan orang akan lihat ia sebagai pelik, sebab itu bukan budaya.  – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN