Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menubuhkan Tamar Kafe di sini yang membolehkan pelanggan membeli sambil beramal.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selain membantu peniaga Muslim tempatan, kafe itu ditubuhkan untuk membantu rakyat Palestin dan 16 negara Islam yang sedang bergolak melalui Tabung Kemanusiaan Mapim.
“Kafe ini memfokuskan kepada penjualan makanan sejuk beku dan produk berasaskan kurma. Kita berharap hasil keuntungan daripada perniagaan di sini dapat membantu rakyat Palestin dan lain-lain negara Islam.
“Sehubungan dengan itu kita ingin mewujudkan satu bisnes profesional, yang mana produk-produk Muslim boleh dipasarkan bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, malah menembusi pasaran luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Hi-Tea sempena Pelancaran Hari Amal Ramadan 1442/2021 dan pembukaan kafe tersebut di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Wakil Pengarah Merpati World Berhad, Muhamad Izzudin Zainal Abidin dan Pengarah Eksekutif Operasi Merpati Food and Trading Sdn. Bhd., Muhammad Nur Izzat Norizan.
Mohd.Azmi berkata, pada saat ini ribuan warga Palestin masih berada di penjara di bawah rejim Zionis dan keluarga mereka di luar masih memerlukan bantuan negara-negara Islam.
“Maka kita berpandangan bidang bisnes sahaja yang mampu menampung dana untuk membantu golongan memerlukan.
“Justeru kami mengalu-alukan pengusaha makanan Muslim untuk menjual produk mereka di kafe ini. Datanglah ke sini dan berbincang bagaimana kita boleh berniaga sambil beramal.
“Pihak kami menyasarkan sebanyak 40 peratus keuntungan hasil jualan dari kafe tersebut akan disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Mapim,”katanya.

Jelasnya lagi, dana daripada tabung tersebut akan digunakan untuk disumbangkan kepada Yaman, Palestin dan Kashmir untuk bulan Ramadan dan bulan seterusnya.
Mengenai hala tuju Tamar Cafe, beliau berharap, kafe tersebut akan menjadi pusat pertemuan ilmuan dan aktivis badan bukan kerajaan.
“Di sini kita akan kumpulkan ilmuwan Islam untuk duduk santai sambil membincangkan isu-isu umat Islam,” katanya.










