Iftar sambil menelusuri Sungai Melaka - Utusan Malaysia

Iftar sambil menelusuri Sungai Melaka

Orang ramai menikmati juadah yang ditawarkan melalui pakej Iftar Mendam Berahi sepanjang bulan puasa ini. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ingin merasai pengalaman unik berbuka puasa di atas bot sambil menikmati suasana kedamaian Sungai Melaka?

Untuk merasai pengalaman itu, Arang Cafe Kampung Hulu dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menawarkan pakej Iftar Cruise Mendam Berahi bermula 16 April ini.

Satu kelainan baharu diperkenalkan bagi membolehkan orang ramai merasai sendiri pengalaman berbuka puasa di atas bot Mendam Berahi sambil menyusuri Sungai Melaka selama lebih 45 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemilik Arang Cafe, Asfa Danny berkata, pakej menaiki bot Mendam Berahi adalah untuk 25 orang pada satu masa dengan menawarkan set ikan bakar.

Set ikan bakar pembuka selera yang ditawarkan melalui pakej Iftar Mendam Berahi sepanjang bulan puasa ini.

Set tersebut katanya, merangkumi menu ikan siakap atau pari bakar sambal, ikan siakap tiga rasa, sotong goreng tepung, udang goreng mentega, telur dadar dan kailan goreng.

“Turut ditawarkan ialah cendol Kampung Hulu, jeli kepala, air buah, kurma, kuih-muih, nasi putih dan nasi lemak,” katanya dalam majlis prapelancaran pakej Iftar Mendam Berahi di Jeti Kampung Hulu, Melaka.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Hussin.

BOT Mendam Berahi menawarkan pakej iftar sambil menyusuri Sungai Melaka.

Asfa yang juga bekas pemain gitar Briged Seni Melaka berkata, sewaktu pelanggan menikmati juadah berbuka, pelanggan akan diiringi oleh alunan muzik ghazal di atas bot tersebut.

Ujarnya, mereka boleh menunaikan solat Maghrib di beberapa buah surau dan masjid yang terdapat di sepanjang sungai Melaka.

Menurutnya, harga pakej Mendam Berahi yang ditawarkan adalah RM111 bagi seorang dan tempahan awal perlu kerana hanya satu sesi berbuka puasa setiap hari.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Promosi, Pemasaran dan Acara PPSPM, Mohd. Fitri Banan berkata, bagi pakej Iftar Cruise untuk kumpulan yang kecil iaitu dua atau empat orang pula harga yang ditawarkan ialah dewasa RM40, kanak-kanak (RM30), warga emas dan pelajar sekolah (RM35).

“Bagaimanapun, pakej ini menunya tidak sama dengan Mendam Berahi.

“Menunya berubah-rubah setiap hari dan kita akan maklumkan kepada mereka yang menghubungi kami untuk tempahan,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan melalui talian 06-2814322.

Bagi tempahan pakej Mendam Berahi pula di talian 012-9951337 atau 017-2360453.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini