Hatta Dolmat cipta sejarah - Utusan Malaysia

Hatta Dolmat cipta sejarah

Hatta Dolmat bersama model menggayakan HD Manogram, suatu koleksi dedikasi terhadap isu lambakan sisa pepejal plastik dan tekstil di tapak pelupusan sampah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pereka fesyen pertama menghasilkan koleksi kelestarian alam, menyuntik semangat pereka fesyen Hatta Dolmat untuk berkongsi ilmu berkaitan bersama pelajar aliran fesyen di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hatta berkata, beliau mahu merubah persepsi fesyen hanya berkaitan indah dan glamor semata-mata, sebaliknya dalam lingkungan lebih luas.

“Dunia fesyen merupakan antara penyumbang terbesar pencemaran di daratan dan lautan dalam setiap proses penghasilannya. Ia berlaku setiap hari.

“Pereka fesyen perlu tahu mereka ada tangungjawab besar perlu di mainkan ke arah itu. Saya akan terus menghasilkan produk kelestaraikan alam sekitar dan berkongsi mengenainya dalam kalangan generasi muda, khususnya pereka fesyen,” katanya.

Pereka berusia 38 tahun itu sebelum ini pernah dinobatkan sebagai salah seorang penerima Successful People in Malaysia oleh British Publishing House Ltb.

Hatta atau nama penuhnya Muhammad Hatta Dolmat, menerima perkhabaran itu dengan rasa terkejut dan menyifatkan ia pencapaian terbaik selepas 15 tahun bergelumang dalam industri fesyen

“Saya bersyukur atas rezeki Allah pada Jumaat di bulan Ramadan,” katanya.

SOKONGAN RAMAI

Lulusan ijazah Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata, apabila mendalami penghasilan produk lestari, beliau hanya fikirkan mengenai tanggung jawab, bukannya untuk mengejar mana-mana pengiktirafan.

“Saya buat atas dasar minat dan sayangkan alam. Saya belajar sedikit demi sedikit sejak 2015 hingga ke hari ini. Daripada mengumpulkan perca kain hinggalah mengumpulkan botol plastik terbuang.

“Saya gembira kerana usaha saya ini mendapat sokongan daripada pelbagai media, agensi dan kementerian berkaitan dan berharap sokongan ini akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Model dalam koleksi lengkap HD Manogram.

Dalam pentas digital Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2020, pereka kelahiran Melaka ini memukau ramai dengan menampilkan HD Manogram yang terhasil daripada beribu-ribu bekas plastik terbuang.

Bagi mendapatkan fabrik, botol plastik dimampatkan, dihancurkan, dicairkan serta dibentuk kepada ketulan plastik lebih kecil, sebelum ia sekali lagi dihancurkan serta diputar bagi menghasilkan benang viscose.

Idea menggabungkan elemen fesyen dan kemampanan alam sekitar ini, hasil kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SwCorp) serta Kloth Cares.

Ia mengandungi 60 peratus bahan kitar semula plastik botol (rPET) dan digabungkan bersama 40 peratus kapas (bahan organik).

“Bila saya keluarkan produk kelestarian alam pada KLFW, saya dapat banyak contact. Sebenarnya di Malaysia ada banyak usaha ke arah kelestarian alam. Namun saya tidak boleh berjuang sendiri. Saya perlukan sokongan.

“Bagi saya, membangkitkan kesedaran bukanlah, matlamat tetapi ia adalah suatu perjalanan. Saya akan teruskan dari semasa ke semasa melalui kerjasama dengan banyak pihak terutama badan dan agensi kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN