Emosi, kurang komunikasi punca konflik rumah tangga - Utusan Malaysia

Emosi, kurang komunikasi punca konflik rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dialog suami isteri kepada kaunselor rumah tangga:

KES A
SUAMI: “Isteri sibuk main telefon sampai malam, bergayut sampai pukul 3 pagi, tak layan saya. Kemudian, senyum dan ketawa dengan jantan lain.

“Siap kunci pintu bilik sebab nak melayan lelaki lain”.

ISTERI: “Suami saya mula-mula berkahwin dalam setahun sahaja dia ‘ok’. Selepas masuk tahun kedua, ketiga, keempat dan seterusnya, saya tidak dilayan lagi.

“Tapi kalau dia nak lepaskan nafsu sahaja dia akan layan saya. Jadi, saya rasa sunyi. Bila saya sunyi, saya carilah kawan-kawan di media sosial Facebook, Instagram dan lain-lain.

“Ada pula seorang lelaki ini dia sangat good listener. Saya pun layanlah dia untuk meluahkan perasaan. Saya layan bukan nak buat apa pun tapi sebab sunyi, sekurang-kurangnya ada juga orang yang nak bercakap dengan saya. Suami malam-malam sibuk dengan telefon, melayan video game ‘PUBG’, kadang-kadang main saham sehingga langsung tiada masa dengan saya”.

KES B
SUAMI: Isteri tak pandai layan saya. Macam ‘patung’ sahaja. Jadi, saya tak gembira. Saya dah biasa tonton video lucah. Jadi, saya nak lebih pada itu”.
ISTERI: Suami ketagih melayan video lucah sejak umur lapan tahun. Bila berkahwin, dia hilang minat pada saya. Sedangkan usia perkahwinan baharu enam bulan. Hubungan kelamin pun sekejap sahaja. Kadang-kadang permintaan suami mahu seperti dalam video lucah. Bagaimana saya nak buat? Kita masyarakat Timur, mana boleh buat macam dalam video”.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————–

Ini adalah kisah benar yang diceritakan kepada Kaunselor Berdaftar dan Pakar Kaunseling Perkahwinan, Hushim Salleh kepada Utusan Malaysia.

Hushim berkata, perasaan suami isteri yang berbolak-balik walaupun sudah memeterai rasa kasih dan cinta seawal pernikahan berpunca daripada makan hati dengan perkara kecil yang dipendam.

Namun lama-kelamaan tidak dapat ditampung lagi.

HUSHIM SALLEH

Katanya bermula daripada terasa, tidak mahu bercakap dan memendam rasa, maka timbullah pergaduhan yang membawa kepada sentuhan fizikal.

“Malangnya kawalan emosi kita sekarang tidak stabil seperti zaman dahulu. Hari ini kebanyakan pasangan banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding dulu menyebabkan kurang masa bersama dalam menguruskan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata demikian, mengulas mengenai jenayah dilakukan antara pasangan suami isteri, hingga membawa maut.

KURANG KOMUNIKASI

Situasi berkenaan umumnya boleh berlaku kepada setiap pasangan. Tidak kira baharu bernikah hinggalah ke berpuluh-puluh tahun mendirikan rumah tangga.

Walaupun ramai menganggap ia sebagai perkara kecil dan boleh diselesaikan, namun apabila sudah tinggal sebumbung, tidur sekatil dan makan sepinggan dengan ikatan perkahwinan yang sah ia tetap memberi impak yang tidak baik daripada segi emosi dan mental.

“Kurang komunikasi antara suami isteri menjadi penyebab utama konflik rumah tangga. Bukan itu sahaja, ada juga isteri apabila siap menyediakan hidangan makan tengah hari atau malam, mengajak suami melalui hantaran di WhatsApp. Jom datang ke dapur, makanan dah siap!,” kata Hushim.

Merujuk kepada kes dikendaliannya, pada kebiasaannya pasangan suami isteri yang mengadu mereka kurang komunikasi, malah apabila bercakap pasti meninggi suara.

Susulan itu, ujar Hushim, suami isteri yang tidak berkomunikasi ini pasti akan mempunyai masalah rumah tangga.

KURSUS PASCA PERKAHWINAN

Hushim turut menyarankan kerajaan terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) atau Jabatan Agama Islam di setiap negeri mewajib dan melaksanakan kursus pasca perkahwinan.

Katanya kursus berkenaan dapat membuka peluang suami isteri wajib mengenali semula pasangan masing-masing walaupun sudah bertahun mendirikan rumah tangga.

“Negara kita hanya ada kursus praperkahwinan. Apabila ada masalah selepas berkahwin tidak tahu untuk mengadu dengan siapa.

“Itu yang boleh berlaku pergaduhan melampau sehingga boleh terjadi kes bunuh-membunuh kerana tidak ada ilmu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku selepas berkahwin.

“Dengan adanya kursus pasca perkahwinan dan juga kaunseling perkahwinan secara tidak langsung dapat memperbaiki hubungan suami isteri. Kursus pasca perkahwinan ini lebih kepada pencegahan. Begitu juga kaunseling iaitu lebih kepada program pendidikan.

“Jika kursus ini tidak dilaksanakan, jangan terkejut selepas ini lebih banyak kes yang tidak diingini boleh berlaku.

“Kita perlu sedar, kadar penceraian cukup tinggi berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita sekarang banyak kursus pemulihan. Sudah teruk, nak cerai-berai baru datang,” katanya meluah rasa.

Jenayah keluarga membabitkan perkara kecil yang dipendam hingga menjadi parah.

BILA PERLU BERTINDAK

Tegas Hushim, setiap pasangan suami isteri ada kelebihan dan kelemahan masing-masing.

“Jadi, dari situ kita akan mengenali antara satu sama lain. Suami sibuk mencari rezeki dan mahu masa dia manakala isteri pula manja mahu dibelai, nak dipegang dan dipeluk. Jadi, perlu ada sesi meluahkan perasaan dan perbaiki kekurangan itu,” katanya.

Tambah Hushim, tidak dinafikan persepsi masyarakat jika mendapatkan khidmat kaunseling mulalah berfikiran negatif kerana menganggap pasangan itu mempunyai masalah.

TIDAK BERKAIT DENGAN MENTAL

Hushim tidak sama sekali bersetuju kes pembunuhan yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini dikaitkan dengan masalah mental.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Kalau difikirkan tidak logik, bagaimana seorang suami yang penyayang akan bertindak luar biasa.

“Sebenarnya, tidak semua berkait dengan masalah mental. Manusia apabila berdepan dengan kemarahan memang sukar untuk dikawal. Ada sesetengah orang, akan marah secara menjerit manakala ada yang berani menggunakan senjata,” katanya.

Tambahnya, mental bukanlah salah satu punca namun lebih kepada serangan emosi. Pendam dan kurang komunikasi serta tidak mencari alternatif untuk keluar daripada masalah menyebabkan manusia bertindak di luar jangkaan.

BERTAHAN KERANA ANAK

Jelasnya, konflik rumah tangga dihadapi oleh suami isteri ini biasanya telah lama berlaku namun dipertahankan demi anak-anak.

“Apabila komunikasi sudah tiada, kasih sayang juga luntur. Masih tinggal serumah tetapi tidak bercakap antara satu sama lain seperti orang asing.

“Ada satu kes ini, hari-hari suami isteri bergaduh. Jika suami isteri hari-hari bergaduh, maknanya rumah tangga itu tidak tenteram lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN