Aduhai,macam-macam cerita sampai ke telinga Cik Bunga kebelakangan ini tentang sebuah keluarga selebriti yang namanya memang bukan calang-calang. Dengar-dengar, sudah ada yang mula bercakap-cakap di belakang tentang gaya hidup sesetengah ahli keluarga yang dikatakan semakin membimbangkan.
Ada pula cerita tidak enak berkaitan gejala menghidu bahan berbahaya dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Namun, Cik Bunga ingatkan awal-awal, cerita yang berlegar di belakang tabir tetaplah cerita selagi tidak disahkan. Jangan pula kita terlalu ghairah menjadi hakim hanya kerana terdengar satu dua khabar daripada mulut orang.
Tetapi kalau benar ada ahli keluarga yang sedang bergelut dengan masalah seperti itu, janganlah dibiarkan berpanjangan. Kemasyhuran, kemewahan dan kehidupan glamor bukan jaminan seseorang itu terlepas daripada masalah.
Tentang si penyanyi pula, namanya turut dikait-kaitkan dengan pelbagai cerita. Entah benar atau tidak, Cik Bunga tidak berani kata lebih. Cuma kalau seseorang sudah menjadi figura yang dipandang ramai, jagalah diri dan nama baik.
Jangan sampai satu hari nanti, khabar angin yang selama ini sekadar menjadi buah mulut bertukar menjadi penyesalan yang tidak boleh diputar kembali.
Apa pun, Cik Bunga percaya setiap orang berhak untuk berubah dan mendapatkan bantuan jika sedang melalui jalan yang salah. Yang penting, jangan ego, jangan terlalu selesa dengan dunia sendiri dan jangan tunggu keadaan menjadi semakin parah.
Kepada orang ramai pula, berpada-padalah ketika bercakap. Menegur itu boleh, mengambil berat itu bagus, tetapi jangan sampai menyebarkan sesuatu yang tidak pasti. Kalau benar ada tersasar, lebih baik kita berharap mereka kembali ke jalan yang betul daripada seronok melihat kehidupan orang lain hancur.









