Hampir setahun lebih penularan pandemik Covid-19 melanda dunia dan tiada siapa yang dapat menjangka bahawa ia akan memberi impak besar terhadap landskap ekonomi dunia.
Ramai hilang punca pendapatan akibat di berhentikan kerja. Ramai juga peniaga gulung tikar kerana tidak mampu untuk meneruskan perniagaan.
Wanita, tidak terkecuali terkesan dek cabaran ekonomi dan sosial hari ini semakin sengit.
Dalam usaha membantu dan memperkasakan golongan wanita yang terkesan, Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) baru-baru ini melancarkan program platform perniagaan bersepadu, Burgernita.
Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, Burgernita menawarkan model perniagaan bersepadu.
Ia diwujudkan untuk memberi peluang kepada wanita menjalankan perniagaan menerusi konsep perkongsian sama rata antara geran daripada KWIM, peserta atau pinjaman daripada institusi kewangan dipilih.
Katanya selain pakej sokongan tersebut, peserta turut diberikan bimbingan oleh mentor daripada KWIM yang akan turun padang di setiap kawasan di bawah seliaan mereka.
“Kami ingin membuka peluang niaga ini kepada wanita, khususnya daripada kumpulan B40 dan golongan terpinggir seperti bekas banduan bagi menjalankan bisnes sendiri.
“Ia berkonsepkan perkongsian sama rata iaitu antara geran daripada KWIM bersama peserta atau pinjaman daripada institusi kewangan dipilih.
“Dalam masa sama peserta akan dibimbing oleh mentor daripada KWIM yang akan turun padang di setiap kawasan seliaan mereka,“ katanya dalam Majlis Pelancaran Burgernita di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Komersil Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri), Mohd. Jazri Ikmal Hijaz, Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Tekun Nasional, Yasir Salam. Pelakon Zarina Zainuddin adalah jurucakap projek.
Normaziah berkata, menerusi konsep ‘daripada wanita untuk wanita’, peserta akan menerima satu set gerai lengkap, pendaftaran perniagaan, suntikan tifoid, peruntukan modal pemasaran dalam talian untuk enam bulan pertama dan modal.
“Kami memilih perniagaan burger kerana kelestariannya, tahap kemampuan dan kesediaan peserta untuk menjana pendapatan secara berterusan,“ katanya.
Menurut Normaziah lagi, selain keunikan konsep model perniagaannya yang terdiri daripada pelan sokongan bersepadu dan menyeluruh, Burgernita turut mempunyai produk heronya tersendiri iaitu ‘Burger Sarang Burung’.

Resipi dan sos burger ini dicipta khas dengan sos lada hitam Mahsuri dan bakal menjadi tarikan orang ramai untuk mencuba produk ini.
Projek ini dilaksanakan mulai April ini secara berperingkat-peringkat bermula dengan Fasa Satu yang terdiri daripada 15 orang wanita daripada enam negeri (Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kedah) .
“Setakat ini, kami mempunyai 15 cawangan di enam negeri. Kami menyasarkan sebanyak 700 gerai burger dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.
MAMPU UBAH NASIB
Pandemik Covid-19 memberi impak berbeza buat individu sama ada kerja makan gaji atau berniaga sendiri.
Aminah Mat Yusof, 41, tidak terkecuali. Beliau mengharungi tempoh PKP cukup getir apabila hilang pekerjaan dan punca pendapatan sebagai peniaga katering.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu bagaimanapun tidak mahu terus mengalah lantas bangkit menyertai perniagaan Burgernita KWIM.
“Saya menyertai perniagaan ini selepas hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan PKP. Alhamdulillah, saya mampu menjual hingga 40 biji burger sehari sejak membuka gerai bulan lepas,” katanya.
Ibu tunggal, Junainah Juahil, 43, sebelum ini hanya bergantung kepada bantuan zakat sahaja dan berharap penjualan burger dapat membantunya menyara hidup bersama tujuh orang anak-anaknya.
“Hidup kami amat susah tetapi demi anak-anak saya tidak akan mengalah. Tapi dengan adanya Burgernita umpama memberi harapan kepada kehidupan kami.
“Saya dapat belajar banyak kemahiran baru. Kini saya ada sumber pendapatan lain,” katanya.

Aminah dan Junainah adalah antara 15 peserta Burgernita yang mula menjalankan perniagaan tersebut di Ampang, Selangor sejak bulan lepas.










