MUKADIMAH
KERUSI Parlimen Pagoh antara yang bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana melibatkan penyandangnya iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebagai parti pemerintah, sudah tentu Bersatu berkelebihan untuk mempertahankan Parlimen tersebut berbanding lawan mereka. Namun, tidak semudah itu. Parti yang pernah menjulang Muhyiddin sejak menjadi ahli Parlimen di situ pada 1978, UMNO melaungkan keazaman merampas semula kerusi tersebut.
Kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Pagoh, ISMAIL MOHAMED berkongsi suasana politik di situ termasuk pandangan akar umbi terhadap kerjasama dengan Bersatu.
Ikuti temu bual wartawan akhbar ini, MUHAMAD AIMY AHMAD dan NUR ALINA HASSAN bersama Ismail yang pernah memangku jawatan itu selama dua tahun susulan pemecatan Muhyiddin daripada UMNO pada Jun 2016.
CAWANGAN MAKIN BERTAMBAH
UTUSAN: Apakah gerak kerja UMNO di Pagoh ketika ini?
ISMAIL: Enam bulan pertama Pakatan Harapan (PH) memerintah, kita ambil tempoh bertenang. Pada masa itu, kita lihat mereka gagal menguruskan rakyat.
Jadi, kita ambil sikap bergerak lebih agresif khususnya untuk menjaga ahli di peringkat akar umbi. UMNO Pagoh masih ramai dan saya lihat cawangan-cawangan dan ahli tidak lari daripada perjuangan dan kesetiaan kepada parti.
Jadi, sebab itu kami bergerak dengan lebih agresif iaitu turun ke bawah untuk terus mengenali mereka secara lebih dekat. Kita sudah ada gerak kerja yang strategik seperti mengenal pasti profil pengundi dan kerja-kerja membantu masyarakat.
Contohnya, program Kembali Ke Sekolah, bantuan kepada orang susah dan usahawan yang terkesan melibatkan pelbagai lapisan umur dan kaum. Kita juga mengukuhkan lagi kumpulan Jalinan Rakyat (JR) yang sebelum ini memang sudah ada. Malah, kita telah kenal pasti ‘ahli putih’ atau penyokong UMNO dan masyarakat terdiri daripada kira-kira 17,500 pengundi yang masih setia dengan UMNO.
Hasil gerakan bersemuka oleh kira-kira 900 petugas JR, kita minta setiap daripada mereka menjaga seramai 30 orang dalam soal kebajikan dan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan termasuk khidmat nasihat.
Bilangan cawangan UMNO di Pagoh?
Di Pagoh, cawangan kini ada 104, walhal masa sebelum pilihan raya umum dahulu ada sekitar 98 cawangan sahaja. Nampaknya, tiada yang bubar malah bertambah lagi cawangan kerana mereka nampak kita menyantuni masyarakat. Walaupun kita kalah, patutnya cawangan banyak yang bubar tetapi di Pagoh ternyata tidak begitu.
Ahli UMNO di Pagoh ada kira-kira 16,000 orang, sama ada mereka duduk dalam kawasan ataupun berada di luar. Selain itu, kita tengok pengundi bukan dalam kalangan ahli UMNO juga ada lebih 1,000 yang kita dapat tarik setakat ini.
Cawangan-cawangan ini juga membantu gerakan mendaftar pengundi iaitu mengenal pasti orang Pagoh sudah mendaftar atau tidak. Harapan kita, semua pengundi Melayu khususnya mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tak kira dia menyokong atau tidak UMNO kerana yang penting, orang Melayu berdaftar.
Ini kerana di peringkat awal kita bergerak, kita mendapati ada individu yang sudah berumur 60 tahun pun tidak mendaftar sebagai pemilih.
Pendirian UMNO Pagoh untuk PRU-15?
UMNO Pagoh dalam mesyuarat perwakilan sudah putuskan bahawa kita akan pertahankan keputusan bertanding di ketiga-tiga kerusi iaitu Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong serta Bukit Pasir.
Ini keputusan perwakilan yang sebulat suara tetapi pada masa sama, kita menghormati pandangan negeri yang kata UMNO akan bertanding di 25 kerusi kecuali di Pagoh. Keputusan negeri kita hormati.
Apa-apa pun, negeri boleh beri pandangan tetapi pokok pangkalnya kita tengok pada Majlis Tertinggi dan akar umbi semula. Kalau negeri kata bagi Tan Sri Muhyiddin bertanding tapi akar umbi tidak mahu, kita tak boleh buat apa-apa. Itu semua kena ambil kira.
Apa pandangan akar umbi?
Setakat ini akar umbi tak mahu bersama Bersatu. Perkara ini sudah jelas kerana saya sudah buat tiga kali perjumpaan dengan ketua cawangan yang memutuskan mereka menolak bekerjasama dengan Bersatu.
Selain itu, saya ada berjumpa dengan wakil pusat daerah mengundi (PDM) yang hampir 80 peratus semua menolak dan masa mesyuarat perwakilan walaupun tiada usul mereka bangun minta usul tergempar bahawa tak nak bekerjasama dengan Bersatu.
Usul tergempar itu bukan kita rancang. Jadi, saya tiada pilihan kerana akar umbi tetap tak nak Bersatu.
JANGAN TIPU RAKYAT
Hubungan dengan Pas?
Kita tiada masalah dengan Pas, cuma nak pertahan kerusi Bukit Pasir kerana pengundi kita ramai di situ. Kita pun banyak cawangan di sana. Kita faham, mereka menang hari itu sebab undi Bersatu dan PH kerana calon mereka tidak layak bertanding masa itu.
Kita pun sudah beritahu untuk urus undi Melayu ini ramai dan kita risau mereka kurang berkemampuan dan akhirnya kita kata biarlah UMNO duduk situ untuk bantu masyarakat termasuk orang Pas. Selain itu, memang Pas di Johor agak kurang tapi di negeri lain dia kuat.
Di Johor, peranan atau kerusi Pas tak banyak, tiada pun sampai 10,000 ahli. Jadi, sebab itu mengapa perlunya beri kepada UMNO. Tetapi di negeri lain nanti adalah perlu untuk UMNO beri kepada Pas pula.
Strategi untuk PRU-15?
Kita tahu Perdana Menteri mempunyai kekuatan tetapi dari sekarang lagi kita sudah tunjukkan politik khidmat kepada masyarakat. Kekuatan kita adalah berada di seluruh tempat yang kita penuh yakin boleh memberi tentangan.
Malah, kalau dulu masa saya bersama masyarakat, boleh kata agak kurang kerana ketika itu bergelar Exco tetapi tumpuan saya sekarang banyak bersama masyarakat dan kita cuba selesaikan isu yang dihadapi mereka. Misalnya orang sakit yang perlukan khidmat nasihat dan sebagainya.
Dari segi kepercayaan bagi menarik pengundi, dapat dilihat sebelum ini kita sudah tunjukkan semasa di bawah Barisan Nasional (BN), kita tepati janji. Tetapi Bersatu pernah dalam PH dan mereka gagal.
Mereka juga kata negara kita bankrap dan tiada duit, tetapi apabila bergabung dalam Perikatan Nasional (PN), ada pula duit untuk melabur dan sebagainya yang itu menunjukkan dahulu mereka menipu rakyat.
DAP kata Muhyiddin berdepan laluan sukar untuk mendapat undi bukan Melayu. Komen?
Saya melihat waktu kita dalam Muafakat Nasional (MN), orang Cina sedia bersama dengan kita tetapi dalam PN saya tinjau di bawah dan jumpa kepimpinan, nampaknya mereka tak bersedia untuk undi dan beri sokongan kepada Perdana Menteri.
Masa beliau buat perjumpaan dengan masyarakat Cina sebelum ini pun boleh tengok tidak ramai yang hadir kecuali orang-orang yang membantu menganjurkan majlis itu. Jadi, saya lihat orang Cina memang tak sedia sokong beliau.
Saya katakan itu kerana masa beliau jadi Timbalan Perdana Menteri semasa PRU-13, kawasan Cina memang beliau kalah teruk. Itu masa dalam BN dan jadi orang nombor dua dalam kerajaan lagi.
Sekarang walaupun dia Perdana Menteri, orang Cina tak ambil kira hal itu. Apa Liew Chin Tong (Pengerusi DAP Johor) cakap ada kebenarannya kerana dalam PRU-14, sebanyak 17 kawasan Tan Sri dapat undi besar daripada orang Cina yang melihat kepada sokongan PH semasa itu.
RAMAI MINAT BERTANDING
Jika pertembungan tiga penjuru?
Saya pun secara peribadi tak nak pertembungan tiga penjuru kerana risau perpecahan orang Melayu semakin merebak dan berlarutan.
Kita harap tidak berlaku tiga penjuru, tetapi kalau tiada pilihan iaitu jika akar umbi mahu kita tetap bertanding juga dan kemudian mendapat restu daripada pihak atasan, maka kita akan letak calon macam biasa.
Kalau tak berlaku tiga penjuru antara UMNO, Bersatu dan pembangkang pun, saya dengar sudah ramai yang minat bertanding sebagai calon Bebas, apatah lagi kalau UMNO tak dapat tempat. Jadi, dah ada calon-calon yang sedia nak lawan Tan Sri Muhyiddin.
Ibaratnya, calon Bebas ini kita tahu dia sukar nak menang tetapi pada masa sama mereka boleh buat Tan Sri Muhyiddin pun tidak menang. Jadi, mungkin PH yang berpeluang untuk menang walaupun orang tak mahu perkara itu terjadi.
Faktor lain Bersatu ditolak?
Apabila Tan Sri Muhyiddin dipecat daripada UMNO, beliau sanggup bekerjasama dengan musuh parti itu khususnya DAP. Orang Melayu tak boleh terima hal itu.
Malah, kalau kita lihat semasa Tan Sri di Kementerian Dalam Negeri, beliau gagal menguruskan soal-soal yang menyentuh hal agama dan hak orang Melayu seperti ISIS (kumpulam pengganas), Statut Rom dan isu-isu penghinaan terhadap orang Melayu yang tidak diambil tindakan. Jadi, di situ timbul kemarahan orang Melayu khususnya di Pagoh.
Jadi, hari ini beliau jadi Perdana Menteri, mereka masih ingat kegagalan-kegagalan itu. Sekarang pun banyak isu tak selesai termasuk kes Adib Mohd. Kassim (anggota bomba). Kita UMNO hanya bantu cukup korum jadi kerajaan dan sebagai Perdana Menteri isu yang berlegar masa zaman PH patut dah boleh selesai.
Isu pendakwaan terpilih juga menjadi perhatian. Akar umbi mempersoalkan kenapa pemimpin tertentu tiada tindakan lanjut diambil? Bila mereka masuk Bersatu, terus tiada kes. Jika libat pemimpin UMNO, kononnya ada kes.
Bagaimana boleh timbul isu pembinaan dewan RM35 juta di Pagoh?
Kita tahu waktu Tan Sri jadi Timbalan Perdana Menteri ada perancangan untuk keperluan pembangunan. Apabila buat kajian, perkara utama kita kena perjuangkan adalah soal perumahan.
Kedua, soal dewan. Bukan untuk kegunaan masyarakat sahaja tetapi bila berlaku musibah, dewan itu nanti kita boleh dijadikan pusat penempatan mangsa bencana. Pelengkapnya adalah tiga dewan yang jadi perhatian baru-baru ini.
Sekarang bila berlaku Covid-19, saya faham itu bukan lagi jadi keutamaan. Apabila sudah tersebar, ramai yang marah di luar. Cuma sebagai pemimpin, kita mengalu-alukan pembinaan dewan itu tetapi perlu ada keutamaan dengan menyelesaikan isu-isu lain dahulu.

Sudah ada bayangan calon PRU-15?
Insya-Allah, ada calon yang sesuai yang kita dah tengok. Walaupun saya sendiri sebut dengan peringkat kepimpinan bahawa saya sedia untuk tidak dicalonkan tetapi saya sudah ada calon lain yang lebih baik.
Saya lebih selesa memimpin UMNO dan menguruskan parti. Itu yang saya luahkan kepada pemimpin atasan. Bila saya tak jadi calon, tetapi sebagai orang yang nak pastikan UMNO menang, itu lebih mudah.
Kita memang sudah ada calon yang bersesuaian. Kriterianya, kita gariskan orang yang mudah rakyat dampingi. Tak nak calon hebat tetapi tak dapat menyantuni akar umbi, sebaliknya kita mahu calon diketengahkan dekat dengan rakyat.
Macam hari ini, orang nak telefon Tan Sri Muhyiddin secara terus tak boleh. Biarlah orang ini mudah mendekati masyarakat. Kalau hebat macam mana pun tetapi jentera tak mendekati masyarakat, susah juga.
AKAR UMBI CADANG CALON
Sedia jadi calon sekali lagi?
Saya serah kepada akar umbi kerana pemilihan kali ini bukan ketua bahagian tentukan. Jadi, saya akan libatkan pimpinan akar umbi untuk cadang beberapa nama dahulu. Contohnya, di Pagoh kita senaraikan lima nama. Akar umbi mahukan siapa, barulah kita bawa ke peringkat atasan untuk membuat penilaian.










