Beri tender secara adil - Utusan Malaysia

Beri tender secara adil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PENDEDAHAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung wujudnya kartel projek yang menguasai kontrak atau projek kerajaan adalah suatu yang mengejutkan.

Tambahan pula, jumlah nilai projek RM3.8 bilion yang dimonopoli oleh seorang ahli perniagaan bergelar Datuk menerusi lebih 100 syarikat yang didaftarkan atas nama individu seperti ahli keluarga dan sekutunya tidak sepatutnya berlaku.

Ini jelas menunjukkan kegiatan seumpama itu merupakan suatu isyarat yang tidak sihat kepada sistem ekonomi negara ini.

Berkongsi pandangan mengenai permasalahan ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, DATUK SERI AHMAD KHUSAIRI YAHAYA mendedahkan kepada wartawan Utusan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN, mengapa ia perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

GULUNG TIKAR
Tindakan membongkar sindiket kartel projek tidak harus dilihat dari sudut penguatkuasaan semata-mata tetapi perspektif lebih luas iaitu kesan kepada pembinaan persekitaran perniagaan yang berintegriti, adil dan saksama.

Analogi terbaik ialah sebiji kek harus dibahagi dan dikongsi secara adil kepada semua pihak. Jika tidak dibendung aktiviti monopoli projek ini, lebih ramai kontraktor berkelayakan akan gulung tikar dengan taktik kotor seumpamanya.

Bagaimana ekonomi dapat dibangunkan jika wujud kartel yang mengawal dan memonopoli sektor-sektor ekonomi tertentu?

KORUPSI
Kes ini boleh dijadikan bukti wujudnya korelasi antara monopoli dan korupsi. Kartel wujud disebabkan penglibatan orang dalam bagi memastikan ruang dan peluang mereka berkembang tanpa sebarang kawalan dan persaingan.

Malah, kelemahan dalam sistem dan prosedur sistem perolehan di agensi kerajaan dijadikan faktor untuk memudahkan kartel melaksanakan aktiviti melangkaui undang-undang dan peraturan sedia ada.

Monopoli projek ini bukan suatu isu baharu kerana sebelum ini ia lebih dikenali sebagai ali baba yang mana seorang individu yang merupakan kontraktor bukan bumiputera mengawal lima hingga 10 kontraktor kecil bumiputera untuk memasuki projek-projek kecil khususnya Kelas F (G1) di satu-satu jabatan.

Ketidakupayaan kita mengekang budaya ali baba menyebabkannya semakin berkembang dan membesar hingga menjadi sebuah kartel.

Di sini, seorang individu mempunyai ratusan syarikat dikawalnya yang menggajikan anggota keluarga dan proksi untuk digunakan nama mereka bagi membuka syarikat-syarikat tersebut.

Kartel ini kemudiannya bukan hanya membolosi dan memonopoli sebuah agensi tetapi menembusi hampir keseluruhan projek kementerian dan agensi dengan nilai projek mencecah bilion ringgit.

PEROLEHAN
Berdasarkan analisa dan penemuan daripada siasatan kes kartel dan lain-lain kes melibatkan perolehan kerajaan, didapati beberapa kelemahan yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Antaranya, individu bebas menggunakan syarikat-syarikat lain untuk membida sebut harga atau sesuatu tender seterusnya mengembangkan budaya broker projek yang mana wujud aktiviti individu menggunakan pengaruh bagi melobi projek di kementerian atau agensi menggunakan syarikat orang lain.

Selain itu, tiada kawalan dan pengesahan bahawa syarikat yang membida benar-benar berkelayakan dan memenuhi syarat tender.

Dalam pada itu, banyak syarikat yang ditubuhkan hanya bertujuan mendapat komisen selain syarikat-syarikat ini ditubuhkan tanpa sebarang kepakaran, kewangan yang kukuh, jumlah staf mencukupi, namun mendapat komisen antara lima hingga tujuh peratus bagi digunakan nama syarikat.

DAFTAR SYARIKAT
Mudah menubuhkan dan mendaftar syarikat serta mendapatkan lesen tanpa kawalan dan pemeriksaan pengesahan yang ketat juga termasuk dalam salah satu kelemahan melibatkan perolehan kerajaan.

Tambahan pula, tiada proses pemeriksaan dan penilaian syarikat seperti keupayaan kewangan, latar belakang pengarah dan alamat pejabat mewujudkan syarikat-syarikat dengan nama yang berbeza tetapi alamat yang sama memasuki tender atau sebut harga.

Selain itu, tiada sistem pangkalan data berpusat yang boleh dirujuk oleh kementerian atau agensi untuk membuat pengesahan dan penilaian ke atas sesebuah syarikat juga menyebabkan kartel ini mudah mengemukakan maklumat palsu berhubung kelayakan syarikat dan staf, keupayaan kewangan, bilangan projek dan nilai projek yang sedang dilaksanakan.

TIADA HAD
Ketiadaan had ditetapkan kepada sesebuah syarikat berhubung jumlah projek atau tender yang diperolehi turut menyebabkan syarikat cenderung untuk menjual projek atau melantik subkontraktor kerana tidak berupaya membiayai projek-projek yang diperolehi tanpa had.

Ini jelas menunjukkan terdapat syarikat-syarikat bermasalah dan mempunyai rekod prestasi yang buruk masih mendapat projek.

Lebih memburukkan keadaan, syarikat-syarikat ini tidak disenaraihitamkan dan dinyahkan daripada membida sebarang projek.

Sepatutnya, maklumat mengenai syarikat-syarikat yang disenaraihitam wajar dipaparkan dalam portal atau pangkalan data berpusat untuk rujukan semua kementerian atau agensi.

3 ELEMEN PENTING
Peraturan perolehan kerajaan dilihat tidak menekankan tiga elemen penting iaitu kriminaliti (criminality), tugas tadbir (administrative) dan pemulihan (recovery).

Sepatutnya tindakan jenayah perlu diambil ke atas syarikat-syarikat yang terlibat dalam rasuah, pemalsuan dan kegagalan melaksanakan projek.

Tindakan menyenaraihitam dan menyahkan syarikat bermasalah selain mendakwa syarikat-syarikat menerusi tindakan jenayah atau sivil untuk pemulihan kerugian di atas kegagalan syarikat melaksanakan projek.

NYSC
New York School of Construction (NYSC) ialah agensi pengawal yang ditubuhkan bagi mentadbir, mengawal dan memantau projek-projek pembinaan sekolah-sekolah di bawah pentadbiran New York. Antara matlamat penubuhan NYSC ialah menghapuskan amalan monopoli projek-projek pembinaan dalam kalangan kumpulan mafia ketika era 1940-an.

Menerusi sistem ini, semua agensi di New York diwajibkan merujuk kepada pangkalan data bagi proses tapisan ke atas syarikat.

Selain itu, NYSC turut mewujudkan sistem rating syarikat iaitu lima bintang (paling cemerlang) ke satu bintang (paling kurang cemerlang). Rating akan menjadi salah satu kriteria penting dalam merit pemilihan kontraktor.

Tindakan senarai hitam tidak hanya terhadap syarikat tetapi termasuk pengarah yang terlibat. Ini bermakna pengarah yang telah disenaraihitam tidak boleh menyertai tender walaupun menggunakan syarikat lain di mana beliau memegang apa-apa jawatan dalam syarikat.

Selain itu, mereka juga menguatkuasakan polisi yang mana syarikat yang sedang menjalankan projek tidak dibenarkan untuk memida projek baharu sehingga kerja-kerja selesai dijalankan. Dalam erti kata lain, satu syarikat untuk satu projek dalam suatu masa.

Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat perlu mendaftarkan subkontraktor dan pembekal mereka dengan NYSC kerana kesemuanya akan tertakluk kepada lawatan, pemeriksaan dan pemantauan ketat pasukan khas dalam mendapatkan sesuatu kontrak atau tender.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×