Warga emas dan gangguan kesihatan mental bukan perkara asing. Laporan American Association of Geriatric Psychiatry (2008) menganggarkan 20 peratus daripada populasi dunia berumur 55 tahun dan ke atas mengalami masalah kesihatan mental.
Masalah paling biasa dihadapi ialah kebimbangan, kemerosotan daya ingatan yang teruk atau dementia.
Antara puncanya adalah penyakit Alzheimer dan gangguan pemikiran seperti tekanan perasaan dan kemurungan.
Berdasarkan senario berkenaan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menginovasi makanan berfungsi, Nutrisoup bagi mengatasi isu berkenaan.
Penyelidiknya, Dr. Mazlan Kasran berkata, produk sup campuran ubi dan sayuran itu diperkaya dengan ekstrak pegaga dan sedia dimakan. Ia dibangunkan untuk membantu masyarakat terutamanya warga emas dalam mengekalkan kehidupan yang sihat.
Menurutnya, ekstak pegaga dipilih berdasarkan kandungan sebatian aktif di dalamnya iaitu iaitu kumpulan triterpenoid seperti Asiaticoside, madecassoside, asid asiatik dan asid madecassic.
Kajian klinikal dilakukan oleh ramai penyelidik ke atas ekstrak pegaga atau nama saintifiknya Centella Asiatica mendapati ia mampu mengurangkan masalah gangguan berkaitan dengan perasaan cemas selain mengurangkan gangguan tekanan.
“Sup ini dihasilkan dengan campuran ubi keledek oren, cendawan tiram kelabu dan 500 miligram (mg) ekstrak pegaga sebagai bahan utama.
“Ia menyumbang kepada ciri organoleptik, nutrisi dan kefungsian untuk kesihatan mental warga emas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MUDAH DIMAKAN
Dalam pada itu, Dr. Mazlan menjelaskan, inovasi dalam bentuk sup sedia dimakan dipilih kerana ia bersesuaian untuk dikonsumsi oleh golongan warga emas.
Teksturnya yang lembut memudahkan ia untuk dimakan, ditelan dan dicerna oleh golongan yang sudah berusia. Ia juga dapat mengurangkan risiko tersedak ketika menelan makanan.
Selain didatangkan sebagai produk sedia dimakan, pengguna hanya perlu panaskan ia sebelum dihidang. Ia boleh dimakan bersama nasi atau roti mengikut selera masing-masing.
“Mungkin ramai yang risau adakah sup pegaga ini pahit atau mempunyai rasa sayur yang kuat. Apa yang saya boleh beritahu ialah ramuan istimewa yang telah kita adunkan menjadikan rasanya enak. Pengguna harus mencubanya sendiri.
“Paling penting, ia merupakan salah satu variasi makanan berfungsi tempatan yang bukan sahaja enak dimakan tetapi mempunyai khasiat membantu mengekalkan kehidupan sihat terutamanya kesihatan mental,” katanya.
Lebih menarik, produk ini stabil dan selamat untuk disimpan pada suhu bilik sehingga tempoh dua tahun lamanya.
POTENSI PASARAN
Dalam pada itu, MARDI turut menjalankan penilaian penerimaan warga emas terhadap produk inovasi berkenaan dan hasil kajian mendapati produk ini mempunyai potensi untuk dipasarkan.
Kajian pengesahan pasaran terhadap 491 responden daripada pelbagai kumpulan umur menunjukkan majoriti daripadanya berminat membeli produk berkenaan apabila ia tersedia di pasaran kelak.
Ia berikutan sup campuran diperkaya ekstrak pegaga itu mengandungi jumlah tenaga, kandungan karbohidrat dan lemak yang rendah.
“Produk ini berpotensi sebagai sumber beta karotena, vitamin B9, dan zat galian seperti potasium dan kalsium serta serat diet,” tambah Dr. Mazlan.

MARDI turut menjemput usahawan yang berminat untuk memasarkan produk makanan berfungsi berkenaan di seluruh negara.
Maklumat boleh didapati dengan menghubungi Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan MARDI yang menguruskan pengkomersilan teknologi.
KEISTIMEWAAN PRODUK
- Sup campuran sedia dimakan dihasilkan dari keledek oren, cendawan tiram kelabu, bayam dan ekstrak pegaga sebagai bahan utama yang menyumbang kepada ciri organoleptik, nutrisi dan kefungsian
- Satu pek sup seberat 200 gram (g) mengandungi 60 kcal tenaga, 12g karbohidrat , 3.2g protein, 0.2g lemak, 4g serat diet dan 46.5mg beta karotina.
- Kajian pra-klinikal menunjukkan ekstrak pegaga dapat membantu meningkatkan fungsi kognitif dan mengurangkan masalah kebimbangan atau tekanan.
- Mempunyai ciri anti oksida yang dapat membantu merencat radikal bebas daripada merosakkan sel. Kandungan antik oksida ini stabil untuk penyimpanan sehingga dua tahun pada suhu bilik.










