ANGGOTA masyarakat meletakkan harapan cukup tinggi kepada agensi penguatkuasaan di negara ini sebagai badan yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang demi melindungi rakyat dan negara.
Justeru, agak sukar untuk kita berkompromi soal rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa.
Mutakhir ini kita didedahkan dengan tangkapan membabitkan anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi penguatkuasaan yang dilaporkan menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa sehingga mencemarkan imej agensi yang berkaitan.
Antara kes terkini ialah siri tangkapan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa negeri yang terlibat dalam sindiket melindungi pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.
Mereka dipercayai menerima sogokan bulanan antara RM150 hingga RM3,000 sejak 2019. Hasil kegiatan dalam tempoh dua tahun, iaitu 2019 dan 2020 dianggarkan membabitkan nilai rasuah diterima kumpulan itu mencecah RM1.64 juta.
Antara kes lain yang menarik perhatian khalayak ialah penglibatan empat pegawai polis dan seorang kakitangan Jabatan Imigresen di Pulau Pinang yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah dengan melepaskan suspek Macau Scam.
Ironinya, masalah rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa di negara ini bukanlah isu baharu sebaliknya sudah lama diperdebatkan termasuk dengan pelbagai cadangan penambahbaikan.
Namun, sehingga kini kita belum mampu membendung mahupun menghapuskan rasuah dalam kalangan mereka secara menyeluruh.
Hakikatnya, sekelompok daripada mereka yang diberikan kuasa dan kepercayaan terus mengkhianati amanah umpama harapkan pagar, pagar makan padi.
PELUANG
Jelas sekali rasuah mula menghantui agensi penguatkuasaan sekali gus mencemarkan nama baik agensi dan juga imej anggota penguat kuasa. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap penguat kuasa akan semakin merudum.
Pada dasarnya kita akui majoriti anggota penguat kuasa yang ada melakukan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, malah integriti mereka tidak perlu dipertikaikan.
Namun sekelompok kecil yang membuat onar ini mula mencemarkan nama baik keseluruhan anggota penguat kuasa, umpama nila setitik rosak susu sebelanga.
Malah kita juga risau, kelompok kecil ini jika terus dibiarkan akan mula meracuni pemikiran rakan setugas yang lain sekali gus menarik lebih ramai lagi anggota untuk terlibat dengan rasuah.
Rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa berpunca dari beberapa keadaan, antaranya kedudukan dan kuasa yang diberikan, kelompangan dalam sistem serta peluang yang wujud.
Kuasa untuk mengenakan denda mahupun menangkap mana-mana individu yang melakukan kesalahan sememangnya akan membuka peluang untuk aktiviti sogokan.
Anggota tidak amanah akan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengugut atau bersekongkol dengan pelaku jenayah demi meraih keuntungan peribadi. Mereka anggap ini sebagai peluang terbaik untuk menambah pendapatan sampingan.
Jadi, agensi penguatkuasaan kena ambil iktibar dan perlu ada inisiatif dan usaha berterusan untuk memperkasakan nilai integriti anggota masing-masing. Adalah menjadi tanggungjawab setiap agensi untuk memelihara nama baik sekali gus meraih keyakinan dalam kalangan rakyat.
Antara langkah segera yang perlu diambil adalah, kenal pasti anggota yang bermasalah dan disyaki terlibat dengan rasuah, ambil tindakan pembetulan dan pencegahan melalui hukuman serta bersihkan agensi daripada parasit yang merosakkan imej.
PEMUTIHAN
Untuk itu, setiap agensi perlu mendapatkan maklumat daripada anggota masing-masing terutamanya yang dikenali dengan imej bersih serta memiliki nilai integriti tinggi tentang apa yang berlaku dalam agensi mereka.
Dorong individu seperti ini tampil memberikan maklumat dengan jaminan keselamatan yang sewajarnya. Di samping itu, sediakan juga ruang secukupnya kepada orang awam untuk tampil membuat aduan tentang salah laku anggota penguat kuasa.
Selain itu, anggota penguat kuasa yang bertugas di bahagian yang sensitif dan lebih terdedah kepada peluang untuk terlibat dengan rasuah perlu digilirkan dengan lebih kerap.
Dengan cara itu, mereka tidak dapat membina hubungan ‘mesra’ atau bersekongkol dengan penjenayah sekali gus dapat menidakkan kewujudan ‘tali barut’ dalam agensi.
Manakala, bagi proses pemutihan secara keseluruhan dari peringkat akar umbi, sistem dan kaedah pemilihan serta pelantikan anggota penguat kuasa baharu perlu diteliti semula.
Hal ini penting kerana statistik keseluruhan tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2015-2020 menunjukkan, kategori umur 21 hingga 40 tahun menjadi kumpulan paling ramai terlibat rasuah.
Maka, sudah sampai masanya sistem pelantikan dirombak dan dibuat penambahbaikan, misalnya pelantikan anggota penguat kuasa perlu ada syarat tambahan yang memberi fokus kepada aspek sikap, tingkah laku serta nilai integriti yang dimiliki sejak zaman sekolah, universiti serta amalan kehidupan dalam masyarakat.
Hal ini penting kerana rasuah membabitkan soal sikap dan kebiasaannya sikap terbentuk sejak kita kecil. Jadi pelantikan anggota baharu perlu diperketatkan dengan memasukkan elemen yang boleh mengukur sikap dan nilai integriti yang membentuk keperibadian calon sejak kecil hingga dewasa.
Semoga kita dapat melahirkan anggota penguat kuasa yang mempunyai nilai integriti dan jati diri yang kental sekali gus membersihkan imej yang semakin tercalar angkara sekelompok anggota yang tamak dan mengkhianati amanah.
PENULIS ialah penganalisis isu semasa dan Timbalan Ketua Panel Pemikir Malaysia Corruption Watch (MCW).










