PASTI kita pernah tonton filem Tiga Abdul?
Dalam babak filem itu, saudagar unta bernama Husin Lempoyang dari Kaherah selepas menjual Abdul Wahab dan Abdul Wahib di pasar Isketambola, sambil tersengih-sengih mengira wang di tangan bercakap sendiri: “Hihihihi, dunia…dunia, berniaga manusia lebih bagus daripada unta…”
Filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memberi banyak sindirian tajam kepada realiti masyarakat kita sehingga hari ini.
Ada banyak lagi yang tersirat, banyak moral kalau diteliti setiap filem P.Ramlee jika diadunkan dalam politik Malaysia.
Matlamat politik yang utama ialah mahukan kestabilan. Mahu tidak mahu, anchor kepada kerajaan kita pada masa ini mesti bertunjangkan Melayu-Islam. Apa lagi dalam cabaran masa kini yang berkisar ‘isu kalimah Allah’, tuntutan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan banyak lagi.
Bila saya turun padang berkongsi isu sama dengan rakan-rakan termasuk kalangan yang berniaga di gerai dan food court, mereka nyatakan sudah muak dan meluat dengan tindak tanduk politikus. Antaranya apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan buat ‘kejutan’ mengatakan lompat parti tak salah.
Rakyat, saya andaikan tak mahu tahu soal tak bercanggah atau tidak dengan Perlembagaan Persekutuan. Atau susah untuk kerajaan perkenal akta antilompat parti. Yang rakyat maklum secara akal warasnya adalah lompat parti suatu pengkhianatan terhadap amanah yang telah diberikan pengundi.
Mahu tak mahu juga kita akui politik Malaysia hari ini lebih tertumpu kepada kemelut kerjasama UMNO-Pas-Bersatu. Dan sesuatu yang agak ‘pelik dan janggal’ di sini adalah UMNO dan kebelakangan ini Pas pula seperti sudah menjadi ‘jurucakap’ kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam membidas atau menyindir sesama rakan dalam Muafakat Nasional (MN).
Mana perginya suara Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) atau pun Ketua Penerangan gabungan itu dalam isu-isu kemelut UMNO-Pas membabitkan agihan kerusi dan saingan dua/tiga penjuru? Atau setidak-tidaknya membidas UMNO yang dikatakan mahu bergerak solo sedangkan sebilangan pemimpin kanannya berada dalam Kabinet Perdana Menteri?
Langkah yang cukup bijak iaitu senyap dan sekadar ‘tunggu dan lihat’ oleh Setiausaha Agung Bersatu inilah yang wajar dicontohi UMNO-Pas. Bukan sahaja untuk ‘menyelamatkan’ imej parti-parti Melayu dari pandangan serong masyarakat bukan Melayu, bahkan sekali gus menampakkan kematangan dengan tidak mencampuri urusan parti tetangga. Maka lebih elok perkiraan Bersatu untuk UMNO misalnya ‘diperbetulkan’ oleh orang sendiri yang acap kali dilakukan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasionalnya.
Maka Pas terutamanya, harus peka pada perasaan rakyat termasuklah penyokong dan ahli tentang soal prinsip dan imej partinya. Contohnya, belum selesai lagi soal menyegerakan usaha-usaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau disebut RUU 355 yang terbantut tempoh hari, timbul pula hal mempertahankan si pelompat parti seperti dinyatakan Takiyuddin.
Padahal RUU 355 pernah menjadi peluru berharga kempen Pas sebelum Pilihan RayaUmum Ke-14. Mengapa tiada desakan daripada ahli Parlimen Pas berhubung pindaan RUU 355? Selepas setahun Pas duduk dalam kerajaan, masih tiada kertas Kabinet untuk melaksanakan RUU 355 dibentangkan oleh menteri agama atau menteri undang-undang kerajaan PN. Bukan Takiyuddin menterinya kah?
Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli Parlimen parti Islam itu terutama daripada Presiden Pas sendiri yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
RUU 355 satu perkara, bab mempersoalkan fungsi presiden Pas sebagai duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah pun satu hal lagi. Mengapa kelibat peranan Abdul Hadi belum jelas terpapar lagi dalam menggerakkan kerjasama yang konkrit antara Malaysia dengan negara-negara Arab lain? Yemen, Qatar, Iran atau Oman? Yang terampil di sana semasa kunjungan Perdana Menteri ke Arab Saudi beberapa hari lepas ialah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Abdul Hadi buat apa?
Rakyat sudah meluat dengan tindak tanduk sebilangan wakil rakyat Melayu kita. Ahli-ahli perniagaan dan pelabur tidak lagi bersikap ‘tunggu dan lihat.’ Malah sebilangan mereka ada yang sudah ‘kemas kain baju’ berlabuh di negara lain.
Saya ingin tanya, ada ahli parlimen DAP keluar parti? Di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri ada lah satu dua dari DAP berbuat demikian seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam. Masing-masing menjadi ADUN Bebas dan Gerakan sebelum ini. Tetapi sebaik sahaja baru-baru ini mereka yang sebelum ini antara yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak bertindak menyertai Bersatu, rakyat mula ‘buka mata’. Apa lagi ‘mata rakyat’ semakin menjengil lagi terhadap Paul Yong yang didakwa atas tuduhan merogol. Apa kata Pesuruhjaya Pas Perak dalam isu ini?
Ketika orang selalu menguar-uarkan ‘kluster mahkamah’ membabitkan beberapa pemimpin UMNO, jangan ingat rakyat tidak cerdik. Bukan hanya yang disabitkan waktu ini ada skandal dan penyelewengan, tetapi yang lebih dibimbangi, adakah terdapat ramai lagi yang tidak didakwa? Ini apabila mereka tiba-tiba dilihat beralih arah menyokong parti tertentu?
Pemimpin politik Melayu jangan lagi terperangkap dalam politik Machiavelli yang bertunjang matlamat menghalalkan cara.
Dan saya terus tertanya-tanya apa yang ingin terus disampaikan oleh seorang pemimpin sebuah parti baru-baru ini.
Antaranya, kalau orang Melayu bersetuju dengan (semangat) kebangsaan, pergilah kepada UMNO. Tetapi jika terarah prinsip Islam, boleh datang ke Pas.
Ingatlah, dakwah tanpa pernah melakukan sendiri apa yang disampaikan, biasanya pihak pendengar mengajukan kritik dengan mengutip surah As-Saff Ayat 3: “(Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”
Demikian pula Rasulullah SAW dalam sekian hadisnya memperingatkan, nikmat dan kesenangan duniawi merupakan ujian bagi hamba sebagaimana kesengsaraan hidup juga dijadikan cubaan.
Ibnu Abbas r.a menafsirkan ayat ini: “(Kami menguji kalian) dengan kesusahan dan kesenangan, dengan sihat dan sakit, dengan kekayaan dan kefakiran, serta dengan yang halal dan yang haram. Semuanya adalah ujian.”
Tiga Abdul, filem arahan P. Ramlee banyak mesejnya – antara politik terpimpin dan tersirat.
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis Isu-isu semasa.










