KUALA SELANGOR: Kira-kira 500,000 penduduk Puncak Alam bakal menikmati kemudahan Hospital Pengajar Universiti Teknologi Mara (HPUiTM) Puncak Alam, yang bakal beroperasi secara berperingkat mulai 5 April ini.
Hospital 10 tingkat dengan kapasiti 400 buah katil itu mempunyai 98 klinik pakar, 17 buah dewan bedah, 17 wad dan 16 kerusi dialisis serta fasiliti pembelajaran yang boleh memuatkan 750 pelajar pada satu-satu masa.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, hospital yang dibina dengan kos RM599 juta memulakan proses pembinaan pada 11 April 2017 dan siap dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pembinaan hospital pengajar ini dalam tempoh yang ditetapkan merupakan hasil gandingan mantap antara pihak kerajaan dengan swasta.
“Inisiatif pembiayaan swasta melalui kaedah Build-Lease-Maintain-Transfer (PFI-BLMT) harus diakui merupakan kaedah terbaik dalam pembangunan projek infrastruktur berimpak tinggi,” katanya ketika berucap majlis penyerahan Projek Pembangunan HPUiTM Puncak Alam di UiTM Puncak Alam di sini, semalam.
Menurut Noraini, UiTM mengunjurkan pulangan pelaburan (ROI) daripada segi perbelanjaan perubatan pesakit dalam dan luar mencecah RM56 bilion untuk tempoh 30 tahun.
“Antara perkhidmatan yang disediakan di HPUiTM adalah pembedahan perut dan otopedik, pembedahan khusus (plastik dan rekonstruksi), perubatan geriatrik serta lain-lain lagi.
“Dengan adanya hospital ini, kerajaan berharap ia dapat menambah akses masyarakat setempat untuk mendapatkan apa-apa rawatan sekiranya memerlukan dalam masa genting,” katanya. – UTUSAN










