‘Pas tak macam dulu’ - Utusan Malaysia

‘Pas tak macam dulu’

KHALID ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Kebiasaannya kita melihat presiden akan lebih vokal dalam menetapkan keputusan dan pendirian parti. Namun, Parti Amanah Negara (Amanah) mengambil pendekatan berbeza apabila KHALID ABDUL SAMAD yang berperanan sebagai Pengarah Komunikasi lebih lantang bersuara dan berani menjawab apa sahaja soalan ketika diasak mengenai isu politik.

Begitulah pendirian Ahli Parlimen Shah Alam itu sejak 2008 ketika berkongsi pandangannya mengenai isu-isu politik kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan jurugambar ZULFADHLI ZAKI, baru-baru ini.

Dalam temu bual di Shah Alam, Selangor itu, Khalid turut mengimbau pengalamannya bersama Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum parti itu keluar membentuk Amanah yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

PAS YANG DAHULU OKEY

Saya berada dalam Pas selama 32 tahun dari 1983 hingga 2015, di mana kita nak bina Pas yang lebih terbuka dan membawa imej perjuangan Islam secara menyeluruh. Tetapi bila sampai pada kepimpinan (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang, dia telah merosakkan segala apa yang diusahakan arwah (Datuk) Fadzil Mohd. Noor dan arwah (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya tak boleh berpura-pura dengan dia (Abdul Hadi). Pengorbanan saya dalam perjuangan Pas selama 32 tahun dipersiakan. Saya kecewa kerana dulu kita punyai pimpinan yang berprinsip, tapi sekarang apa dah jadi? Dulu cakap lain, dulu dia (Abdul Hadi) bela DAP, sekarang dia bela UMNO sampai tahap jika Islam akhirnya masuk syurga. Jadi, ini merosakkan imej Islam sebenarnya.

Senang cerita, perjuangan Pas tak dapat mendatangkan satu perasaan kagum dan hormat seperti dahulu.

UTUSAN: Amanah berperanan seperti Pas yang dahulu?
KHALID: Kita akan berusaha ke arah itu. Sejauh mana kita mampu atau tidak, tanggungjawab kita adalah mencuba dan berusaha.

Bagaimana hubungan Yang Berhormat (YB) dengan ahli-ahli Pas lain sekarang?
Tengok mood, kalau saya rasa nak tegur, saya tegur. Tengok oranglah. Kalau dengan Abdul Hadi, saya memang tak tegur.

Presiden Amanah dilihat sering membisu dalam banyak isu. Berbeza dengan Abdul Hadi yang terkenal dengan sikap kepemimpinan dan ditaati oleh ahlinya. Komen YB?
Dalam Pas tak semua orang tahu pendirian Pas kecuali Abdul Hadi. Sampailah Abdul Hadi keluarkan kenyataan, barulah orang faham.

AMANAH ‘PAK TURUT’ DAP?

Amanah sering kali dilabelkan sebagai kuda tunggangan DAP. Komen?
Amanah memang parti politik yang perjuangannya berdasarkan prinsip ajaran Islam. Kita cuba laksanakan dan sekiranya DAP ada pandangan sama dari sumber perspektif yang lain, ia tidak menghalang untuk bekerjasama dengan DAP. Contohnya, DAP memperjuangkan tatakelola kerajaan yang bersih, maka kita setuju, tetapi tidak bererti kita ikut kehendak DAP secara keseluruhan.

Cuma secara kebetulan kehendak DAP selaras dengan dasar perjuangan kita.

Tindakan DAP membantah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 selari dengan Amanah?
Kita tak pernah menolak malah kita dah berhujah dan kita telah usahakan dalam kerajaan PH untuk menaik taraf Mahkamah Syariah dan itu usaha (Datuk Seri) Dr. Mujahid (Yusof) termasuklah peguam syariah itu yang beri pengiktirafan dari segi profesionalisme.

Sehingga hari ini, kita menunggu penjelasan dan apa sebenarnya yang nak dikemukakan. Kalau nak cakap DAP menolak RUU 355, MCA pun menolak. Ini bermakna Pas gagal kemukakan cadangan mereka dengan cara yang baik dan jelas akan memberikan jaminan kepada bukan Islam bahawa RUU 355 tidak akan mendatangkan akibat lebih buruk kepada mereka.

DAP tidak diberi penjelasan pasal RUU 355?
Itu usul Pas. Pas pun tak terangkan kepada kita dengan baik, jadi macam mana nak kita jelaskan kepada DAP? Dalam Parlimen pun sekadar dibentang, tak dibahas. Kita nak tanya pun tak boleh.

Jika perjuangan Pas tidak selari dengan DAP, bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan PR?
Pas sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Dalam konteks menegakkan keadilan sosial, kita melihat satu kerajaan yang lebih telus dan mempunyai tanggungjawab. Pas berusaha tingkatkan pemahaman rakyat terhadap Islam dalam konteks keinginan kepada sebuah negara yang makmur dan aman dan bersatu bebas daripada perkauman. Kalau kita lihat ucapan dasar menentang kezaliman, gempur pemikiran assabiyah, ini merupakan agenda Pas selari dengan agenda PR. Tetapi semua ini telah diketepikan.

Mesej Pas sekarang adalah kesatuan Melayu Islam, noktah. Yang lain, nombor dua. Sebab itu dia keluar kerana berubah haluan di mana sekarang ini mereka anggap asal bersatu sahaja, maka perjuangan mereka tercapai.

Pada bacaan saya, pimpinan Pas telah dipengaruhi Datuk Seri Najib Tun Razak dan pakar strategik UMNO Barisan Nasional (BN) sehingga menyebabkan mereka keluar dari PR dan bertanding secara sendirian. Walaupun secara logiknya orang akan kata bertanding sendirian merugikan, tapi mereka terpengaruh, masuk dalam perangkap UMNO/BN.

Strategi UMNO/BN ialah kalau di Pantai Barat, bila Pas bertanding bersendirian, maka undi PH akan pecah. Dan kerana itu BN akan menang, Pas menjadi alat untuk memecahkan undi PH di Pantai Barat. Tetapi BN gagal kerana kesan Bersatu dan pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Di Pantai Timur pula, bila undi PH berpecah, Pas akan kalah, sebab undi Pas akan kurang kerana penyokong PR dulu takkan undi Pas. Jadi, strategi dia akan untungkan UMNO BN di Pantai Barat dan Pantai Timur. Tetapi strategi BN gagal.

Pada ketika itu juga, mereka mungkin menggunakan (Datuk Dr.) Nasharuddin Mat Isa yang dilihat sentiasa menjalin hubungan UMNO-Pas serta meyakinkan Abdul Hadi supaya lebih baik bersama UMNO. Ketika itu jugalah istilah Anwarinas, khadam DAP timbul dan mereka menggunakan golongan asatizah muda dan bersemangat tinggi untuk berada di saf hadapan menyokong kepimpinan Abdul Hadi.

Kita cuba lawan balik pada Muktamar 2015 tetapi Dewan Ulama keluarkan cai 18 daripada 24 pimpinan Pas Pusat telah digugurkan kerana nakkan senarai pimpinan yang menyokong Abdul Hadi sahaja yang dilihat cenderung berdamping dengan (Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid Hamidi.

KERETAKAN UMNO, PAS, BERSATU

Pas dan UMNO di Kelantan dan Terengganu tak baik. Kerana Pas kerajaan negeri tidak beri ruang kepada UMNO, maka istilah Muafakat Nasional di Pantai Timur hanya kata-kata kosong. Masalah Pas pula, UMNO nak kuasai Pas dan mereka tidak pun selesa dengan UMNO yang nak jadi big brother, sebab itu Pas selesa dengan Bersatu. Maka hubungan antara mereka amat sukar kerana mereka bertiga nak kongsi kerusi yang sama. Mereka nak bertanding di kerusi Melayu, rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti amat sukar kerana UMNO terpaksa menyerahkan banyak kerusi kepada Bersatu, ini menjadi masalah yang besar.

Dalam soal pilihan raya kecil (PRK), kebetulan kebanyakan diadakan di kawasan yang pernah dimenangi UMNO, hanya kerusi yang kehilangan adalah Tanjung Piai serta Semenyih. Kerusi yang dimenangi pada PRU-14, maka menang balik bukanlah perkara pelik kerana Pas serah kerusi kepada UMNO dan pengundi Pas sokong calon UMNO.

Dalam hal kerjasama ketiga-tiga parti itu, Pas cuba mencari formula untuk menyatupadukan Islam. Di situ mereka harap akan dapat repsresentasi bukan sekadar di Pantai Timur tetapi di peringkat nasional. Tindakan sebegitu adalah sukar kerana hilang mesej mereka, orang dah tanya Pas berjuang untuk apa? Islam yang ingin dimartabat akhirnya hancur, nak menyatupadukan Islam, akhirnya kabur. Akhirnya kita akan lihat pada masa ini UMNO bersaing dengan Bersatu dan Pas. Sudah pasti akan berlaku tiga penjuru.

Ini menjadi kelebihan kepada PH?
Kita tengoklah nanti. Secara umumnya kita memang suka lihat perpecahan dalam kalangan saingan kita. Itu lebih mudah untuk PH berbanding jika mereka bekerjasama.

STRATEGI PH PLUS PRU-15

Pendekatan satu lawan satu adalah yang kita inginkan bersama. Soal rundingan kerusi telah kita mulakan di semua negeri dengan kefahaman kemungkinan pada saat pilihan raya akan ada kemungkinan permohonan daripada parti pembangkang lain didaftarkan seperti Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bekerjasama sama ada sertai PH atau PH Plus.

Permohonan belum diterima masa ini, cuma untuk sekarang kerusi sudah diagihkan antara tiga parti, tetapi kita perlu bersedia untuk hadapi sebarang kemungkinan selaras dengan matlamat satu lawan satu.

Parti-parti baharu tidak seharusnya diberikan jumlah kerusi yang besar, tetapi bagi Warisan, mereka lebih di Sabah. Jadi, kita tak nampak ia satu masalah. Keadaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sememangnya kancah berbeza dengan yang dulu kerana sebelum ini Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berada dalam tahanan. Oleh kerana itu Dr. Mahathir diangkat sebagai calon walaupun parti baharu. Disebabkan dia merupakan calon Perdana Menteri, adalah tidak munasabah diberi jumlah kerusi yang sedikit. Tetapi dalam PRU-15, suasananya sudah berubah. Anwar bebas, dia diangkat menjadi calon perdana menteri. Dalam keadaan itu, Pejuang dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak perlu diberi jumlah kerusi yang besar sepertimana pada PRU-14,

Saya rasa Pejuang dan Muda memahami dan menyedari hal ini. Saya yakin mereka mempunyai pendekatan pragmatik dan menerima jumlah kerusi yang munasabah bagi parti mereka jika dapat didaftarkan.

Masih ingin bekerjasama dengan Dr. Mahathir?
Ramai tak faham kalau Dr. Mahathir letak jawatan, (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) tak lompat, kerajaan tak jatuh kerana kita masih ada 130 kerusi. Dan kita boleh duduk sama dan bincang siapa perdana menteri untuk menggantikan Dr. Mahathir pada ketika itu dalam PH.

Jadi, punca jatuhnya kerajaan PH kerana hilangnya majoriti. Walaupun ada yang menyatakan jika Dr. Mahathir tak letak jawatan, dan mereka lari sekalipun, kita boleh pegang kuasa seperti Muhyiddin yang memegang kuasa sekarang. Tapi kita tak buat macam cara Muhyiddin. Walaupun tak ada majoriti tapi dia masih nak kekal sebagai Perdana Menteri.

Kita melihat walaupun Dr. Mahathir letak jawatan tapi dia tak lompat, itu kita kena hargai dan akui. Ini terbukti bila mereka bersama dalam 108 untuk menentang bajet dalam sidang Parlimen terakhir.

Kehendak kita untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri diketahui Dr. Mahathir. Dia boleh datang dengan apa-apa syarat untuk tentukan kerjasama dalam PH atau PH Plus. Politik dikatakan art of the possible, iaitu seni untuk mencapai suatu yang boleh dilaksanakan. Tak guna kita bergaduh, akhirnya pihak lawan yang menang.

KEKAL DI P.108

Itu keputusan parti. Kalau parti minta kita pertahankan, saya akan buat. Bagi kami (Amanah), kerusi P.108 Shah Alam diberi kepada Amanah masa PRU-14. PKR ambil dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam. Ia merupakan kerusi selamat, berpotensi dimenangi PH. Itu pun kalau PH kekal bersatu termasuk Pejuang.

Saya akui Dr. Mahathir ada sumbangan tapi ini pandangan Amanah. Ahli parti lain ada pandangan berbeza di mana ia belum dibahas secara mendalam. Pejuang sendiri pun sehingga kini belum didaftarkan dan buat permohonan untuk bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×