Mesti berani berubah - Utusan Malaysia

Mesti berani berubah

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI cukup bersemangat berbicara soal menangani keresahan rakyat ketika temu bual di pejabatnya di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Walaupun persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di tingkat bawah menara itu tidak semeriah seperti sebelum Barisan Nasional (BN) ‘tumbang’ dan ketika pelbagai persepsi negatif ‘ditembak’ terhadap presiden parti, Asyraf masih yakin pengundi akan terus memberi sokongan jika pemimpin tidak asyik berebut jawatan dalam parti.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM dan jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH, beliau meminta pihak yang cuba membandingkan parti itu dengan DAP yang dikatakan lebih mudah memberi laluan kepada pemimpin muda supaya sedar bahawa UMNO sudah menunjukkan keberanian untuk berubah.

UTUSAN: Benarkah Presiden UMNO membuat jajaran baharu yang cenderung kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)?

ASYRAF: Satu perkara penting yang kita kena ingat, UMNO ialah parti yang sifatnya demokratik dan bukan macam sesetengah parti yang autokratik. Keputusan tidak boleh ditentukan oleh satu dua orang pemimpin, hatta presiden sekalipun.

Ia ditentukan melalui satu proses iaitu cawangan, bahagian dan diangkat ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Proses ini masih berjalan sehingga sekarang.

Sebab itu, mana mungkin keputusan dasar melibatkan hala tuju parti ditentukan oleh individu tertentu dalam parti.

Contohnya, hubungan kita dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN). Proses itu berjalan kira-kira 18 bulan apabila cawangan dan bahagian melakukan lebih daripada 800 program penyatuan ummah dengan Pas di peringkat akar umbi sebelum diangkat ke MKT dan diputuskan di peringkat PAU. Barulah kita meterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Sebelum PAU 2020 ini, bermacam-macam persepsi (terhadap presiden) oleh suara-suara nyamuk. Musuh UMNO melagukan perkara itu dan kita sendiri pun melatah serta menari mengikut alunan lagu dimainkan mereka.

Saya ialah ahli MKT dan sebagai Ketua Pemuda saya berada dalam Biro Politik dan Jawatankuasa Pengurusan. Presiden tidak pernah bangkitkan perkara ini. Biro Politik pun tidak berbincang dan MKT tidak pernah memberi mandat kepada sesiapa untuk berunding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tidak malukah dengan DAP yang memberi banyak peluang kepada pemimpin muda?

Ini antara perkara yang saya sentiasa perjuangkan. Kita harus melihat demografi pengundi akan datang dan mengikut data terbaharu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk umur 21 tahun ke atas, ada 47 peratus pengundi dalam kategori usia 40 tahun ke bawah.

Mahu tidak mahu kita harus berani menampilkan calon muda yang segar. Tidak semestinya dalam kalangan Pemuda, tetapi Puteri dan juga Wanita muda. Muka baharu ini bukan ditampilkan sekadar barisan pelapis semata-mata tetapi harus ditonjolkankan sebagai barisan kepimpinan masa depan negara. Kita harus berani membuat ketetapan sedemikian.

Hari ini pun UMNO sudah mulai mengorak langkah dan mempunyai keberanian sedemikian. Contohnya, buat pertama kali Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO. Terdapat juga sekurang-kurang empat ahli MKT yang dilantik dalam kalangan Pemuda tidak termasuk saya, sedangkan sebelum ini tiada.

Untuk pilihan raya akan datang, Pemuda UMNO harapkan ditampil lebih ramai lagi ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan orang muda.

Kenapakah perubahan ini masih perlahan?

Realiti yang harus kita akui bahawa DAP tidak seperti mana UMNO kerana ia bukan parti yang berakar umbi. Ia parti populis. UMNO mempunyai kerangka yang terlalu besar dengan 24,500 cawangan, 191 bahagian dan negeri. Mereka (orang muda) perlu melalui proses ini (untuk naik dalam kepimpinan parti).

Apakah cara untuk mengatasi masalah ini?

Macam saya, tidak melalui proses itu. Saya terus dari atas apabila dilantik sebagai ahli MKT. Ini kali pertama saya bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan ditakdirkan menang, tetapi saya tidak pernah menjadi kepimpinan cawangan dan bahagian pun saya dilantik.

Oleh itu, bagi memintas proses ini, perlu ada kesediaan untuk UMNO berubah mengikut dinamika baharu dan landskap politik semasa. Anak muda mahu muka baharu yang segar. Kita tidak boleh hanya rigid dengan struktur yang bersifat regimental (diatur mengikut barisan) seperti mana dulu.

Dengan pertambahan 7.8 juta pengundi baharu kalau ditakdirkan undi 18 tahun mula efektif dan dibandingkan dengan 3.7 juta ahli UMNO. Parti tidak boleh lagi mendabik dada seperti mana dahulu dengan menyatakan kita boleh bergantung kepada undi ahli untuk menang pilihan raya.

Adakah ideal Pemuda UMNO ini boleh menjadi kenyataan?

Saya nampak sudah ada perubahan. Tanggungjawab dan peranan diberikan kepada Pemuda UMNO bukan lagi hanya sekadar memasang bendera dan poster serta menggerakkan jentera gerak gempur bermotosikal ketika pilihan raya.

Kita telah diberikan beberapa tugas tambahan, contohnya untuk berada di barisan hadapan ketika pilihan raya sebagai ejen tempat undi dan ejen kira undi. Tugas-tugas keselamatan dan logistik juga telah diberikan kepada Pemuda parti.

PERCAYA KERAMAT UMNO

Nasihat kepada mereka yang masih menyerang institusi presiden?

Jangan kita menjadi seperti api dalam sekam atau gunting dalam lipatan. UMNO ini sebenarnya ada keramat yang tersendiri. Mereka yang tidak ikhlas dan tidak jujur dalam perjuangan, akhirnya akan hanyut dan hilang begitu sahaja serta terkeluar (dari UMNO).

Kita boleh menyaksikan bagaimana apabila UMNO ditakdirkan hilang kuasa, siapa orang pertama melompat? Mereka ialah orang-orang yang berkepentingan diri. Kita sudah melalui proses penyaringan tersebut.

Sesiapa sahaja yang cuba melakukan sesuatu yang boleh mengkhianati perjuangan kita, saya ingatkan bahawa mereka tiada tempat di dalam parti. Masa akan menentukan mereka ditolak ahli buat selama-lamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×