Lompat parti perbuatan 'tidak bermoral' - Utusan Malaysia

Lompat parti perbuatan ‘tidak bermoral’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat terus mencetuskan kekecewaan dan kemarahan rakyat khususnya pengundi termasuk pemimpin parti yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak bermoral’.

Selain menghakis amalan demokrasi, tindakan tersebut secara tak langsung dikaitkan dengan persepsi habuan duit dan pangkat sebagai ‘hadiah’ kepada yang melompat parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan, sikap tidak bermoral itu bukan sahaja melibatkan wakil rakyat melompat parti sebaliknya membabitkan pihak atau individu yang menawarkan ruang mereka berbuat demikian.

Untuk itu beliau mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti sekiranya wujud tawaran habuan sama ada melibatkan wang atau jawatan.

“Malah pihak yang menawarkan habuan juga perlu disiasat kerana perbuatan tawar-menawar merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang di bawah Akta SPRM. Adakah tawaran ini melibatkan kedudukan jawatan Kabinet atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan atau sebagainya. SPRM perlu siasatan hal ini segera,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan beberapa Wakil Rakyat termasuk dua Ahli Parlimen iaitu Larry Sng Wei (Julau) dan Steven Choong Shiau Yoon (Tebrau) mengambil keputusan untuk meninggalkan PKR dan kemudian menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, secara umumnya amalan melompat parti adalah ‘tidak baik’ meskipun tiada peruntukan undang-undang untuk menghalangnya berbuat demikian.

Malah katanya, perbuatan itu dipandang serong sekiranya berlaku tawaran habuan tertentu termasuk membabitkan bagi mereka mempunyai kes mahkamah.

“Namun ia terpulang kepada wakil rakyat itu sendiri sama ada beliau melakukannya demi kebajikan dan pembangunan di kawasan diwakilinya. Terserah kepada pengundi menilai (tindakan mereka) pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Polisi Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan iaitu membabitkan kebebasan persatuan perlu dilakukan semua pihak serius menggubal undang-undang bagi mengekang wakil rakyat lompat parti.

Katanya, sekiranya Akta Anti Lompat Parti digubal, ia akan terbatal kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana amalan melompat parti adalah sah di sisi undang-undang tersebut.

“Sebenarnya tiada undang-undang yang boleh menghalang wakil rakyat untuk melompat parti pada masa sekarang kerana mereka dilindungi peruntukkan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10 yang memberikan kebebasan untuk berpersatuan termasuk menukar parti.

“Jadi dalam hal ini sebarang undang-undang dibuat bagi menghalang melompat parti tentunya akan terbatal disebabkan bertentangan dengan Perlembagaan melainkan jika ada pindaan, jadi maka boleh diwujudkan undang-undang untuk menghalang lompat parti.

“Malah saya beranggapan bahawa sekiranya ada tindakan pengundi memfailkan saman kepada Wakil Rakyat melompat parti adalah sukar untuk diterima oleh mahkamah memandangkan tiada halangan segi undang-undang mereka melompat parti. Oleh itu, buat masa ini jika ada rakyat melakukan demikian (fail saman) mereka boleh satu mencuba tetapi berdasarkan tindakan undang-undang, ia adalah sukar diterima,” katanya.

Muhammad Fathi mencadangkan agar sistem pilihan raya negara ini ditukar dengan pemilihan wakil rakyat bukan lagi berdasarkan calon sebaliknya mengikut parti sekiranya mahu amalan demokrasi negara ini lebih dihormati.

Katanya, sistem pilihan raya masih berdasarkan pertandingan antara calon manakala parti sekadar menjadi lambang untuk digunakan mereka untuk bertanding mewakili pertubuhan walaupun hakikatnya para pengundi memilih seseorang itu bukan kerana faktor calon tetapi atas asas parti atau gabungan parti politik.

“Sekiranya kita berhasrat untuk menghalang ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menukar parti ketika mereka memegang jawatan, maka pindaan perlu dilakukan terhadap undang-undang pilihan raya iaitu daripada pemilihan calon kepada berteraskan parti, itu cara terbaik supaya sistem pilihan raya kita sesuai dengan hasrat kebanyakan pengundi yang memilih parti,” katanya.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, keazaman politik dalam kalangan ahli Parlimen untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan amat diperlukan jika mahu menggubal Akta Anti Lompat Parti.

Katanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen dan ia adalah mustahil sekiranya perkara itu berlaku pada masa kini memandangkan masing-masing blok parti tidak mempunyai sokongan padu.

“Saya berpandangan untuk gubal akta itu kerana pinda Perlembagaan Persekutuan iaitu berkaitan kebebasan berpersatuan. Jika digubal akta lompat sekalipun, ia akan terhalang dengan undang-undang tersebut.

“Justeru itu, kerana pinda dahulu Perlembagaan. Selepas itu, barulah kita boleh bentangkan undang-undang anti lompat parti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×