Kenang jasa pereka Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Kenang jasa pereka Jalur Gemilang

PENULIS memegang buku Mohamed Hamzah Pereka Cipta Jalur Gemilang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDANG saya tekun menelaah mata pelajaran Sains, bunyi loceng rumah memecah kesunyian.

Tiba-tiba saya dipanggil kakak. Sebaik sahaja turun, ibu dan kakak memaklumkan ada kejutan sambil menghulurkan sebuah bungkusan yang baru diterima. Dalam kehairanan saya cuba meneka hadiah istimewa itu.

Sebaik sahaja membuka balutan bungkusan, saya seperti tidak percaya. Sudah lama saya mencari buku Mohamed Hamzah Pereka Cipta Jalur Gemilang di kedai-kedai buku, namun gagal. Rupanya, dalam diam ibu dan kakak berusaha mendapatkannya sehingga berjaya.

Veksilologi atau kajian bendera adalah bidang yang sangat saya minati. Semuanya bermula saat kami menunggu pesawat ke Chicago, Amerika Syarikat (AS) pada ambang Hari Kemerdekaan pada 2005. Saya yang berumur dua tahun ketika itu begitu tertarik melihat helaian Jalur Gemilang menghiasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sejak itu saya meminati bendera.

Saya mengagumi reka bentuk Jalur Gemilang serta makna di sebaliknya lebih-lebih lagi setelah mendalami sejarah penciptaannya. Maka, apabila mengetahui panji negara kita direka cipta oleh Allahyarham Mohamed, saya teruja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai insan hebat ini.

MAJAPAHIT

Ada pihak mendakwa reka bentuk Jalur Gemilang ditiru daripada bendera AS. Namun, reka bentuk asal daripada bendera Johor dan bendera Majapahit. Malah, dalam reka bentuk asal yang dihasilkan Mohamed, pengaruh bendera Johor amat besar dan jelas.

Banyak fakta penting tentang sejarah penciptaan bendera negara diceritakan dalam buku ini. Rupa-rupanya reka bentuk Jalur Gemilang telah mendapat sentuhan ilham daripada Almarhum Sultan Badlishah, iaitu Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda telah mencadangkan lambang bulan dan bintang diwarnakan kuning iaitu warna diraja. Dalam rekaan asal, kedua-dua elemen penting ini berwarna putih seperti pada bendera Johor.

Mohamed bukan sahaja mereka bendera Malaysia, bahkan jata negeri Johor. Beliau juga sering diminta Sultan Johor melukis pingat-pingat darjah kebesaran, lambang diraja, kad jemputan majlis diraja dan pelbagai grafik penting lain.

Berikutan jasanya yang besar, beliau dianugerahkan beberapa pingat kebesaran negeri Johor. Beliau juga menerima empat bintang Pingat Pertahanan Perang Dunia Kedua atas perkhidmatan cemerlang dalam pasukan tentera negeri Johor ketika mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan Jepun.

Arwah atuk mengajar saya kepentingan menghayati sejarah bangsa serta menghargai perjuangan tokoh-tokoh negara. Amalan ini dapat membentuk kita menjadi patriotik serta sayangkan negara. Tanpa prinsip kenegaraan yang teguh, kita akan menjadi ibarat lalang ditiup angin, mudah keliru dan senang dipengaruhi unsur luar.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN