Kembar usahakan pizza kayu api - Utusan Malaysia

Kembar usahakan pizza kayu api

Che Ku Nasir Che Ku Maidin (kiri) dan Che Ku menawarkan empat pilihan pizza iaitu pepperoni daging dan ayam selain daging salai serta menu istimewa, ayam uli di Ulicafe, Kuala Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPENGALAMAN hampir 10 tahun sebagai pengurus restoran mendorong anak jati Marang, Che Ku Basir Che Ku Maidin, 40, memberanikan diri membuka perniagaan pizza dengan sentuhan asli Itali menerusi Ulicafe.

Kafe yang baru beroperasi awal Februari lalu di Jalan Datuk Isaacs di Kuala Terengganu, Terengganu itu diusahakan bersama abang kembarnya, Che Ku Nasir dengan modal hampir RM100,000.

Che Ku Basir berkata, idea untuk membuka kedai pizza yang dimasak secara tradisional menggunakan ketuhar kayu api itu tercetus selepas melihat konsep sama diketengahkan saudaranya di Kuantan, Pahang.

Katanya, bertitik-tolak daripada situ dia mula mempelajari teknik pembuatan pizza di samping kaedah membakar dan mengawal api.

“Saya belajar asas membuat pizza selama dua minggu di kedai milik saudara dan sekembalinya ke Kuala Terengganu, saya mengambil masa kira-kira sebulan untuk berlatih memasak hidangan itu sebelum Ulicafe beroperasi sepenuhnya.

“Saya memang peminat piza dan konsep perniagaan hidangan tradisi sebegini bagi saya mempunyai keunikan tersendiri kerana jarang dilihat di mana-mana,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Che Ku Basir, ada empat pilihan pizza di Ulicafe iaitu pepperoni daging dan ayam di samping daging salai serta menu istimewa, ayam uli.

Pelanggan menggemari pizza yang dimasak secara tradisional di Ulicafe di Jalan Datuk Isaacs, Kuala Terengganu, Terengganu.

Anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, pizza yang dijual terdiri daripada empat saiz iaitu S, M, L dan XXXL dengan harga bermula antara RM16 hingga RM63.

Katanya, di sebalik keterujaan untuk memulakan operasi kafe sulung itu, hakikatnya mental mereka sedikit terganggu dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. yang secara tidak langsung menjejaskan segala perancangan yang diatur.

Bagaimanapun, katanya, sangkaan itu meleset apabila dalam tempoh hanya empat hari beroperasi sejak 6 Februari lalu, tempahan pizza yang diterima mencecah sehingga 100 sehari.

Che Ku Basir tidak menolak kemungkinan sambutan luar jangkaan itu disebabkan orang ramai menggemari hidangan pizza yang dimasak secara tradisional.

Ini kerana aromanya lebih asli di samping turut menggabungkan cita rasa tempatan.

Dalam pada itu, katanya, penggunaan ketuhar kayu api agak rumit berbanding ketuhar moden kerana menuntut kecekapan mengawal api agar suhu kekal 300 darjah Celsius bagi memastikan pizza masak dengan sempurna.

“Jika ada rezeki kami berharap untuk mengembangkan perniagaan pizza kayu api ini ke cawangan lain pada masa akan datang,” katanya.

KONSEP KLASIK PUKAU PELANGGAN

Selain tarikan pizzanya yang istimewa, Ulicafe turut memukau pelanggan dengan hiasan dalaman kafe yang berkonsepkan klasik.

Konsep klasik yang diutarakan di Ulicafe berjaya memikat pelanggan

Pemiliknya, Che Ku Basir berkata, dekorasi kafe dua tingkat itu diilhamkan bersama kembarnya, Che Ku Nasir memandangkan mereka berdua mempunyai minat sama mengumpul barangan antik.

Katanya, antara barangan yang dipamerkan termasuk beberapa basikal lama di samping lampu dan alatan muzik cello.

“Saya fikir dekorasi sebegini bersesuaian dengan konsep menu kita yang merupakan hidangan klasik.

“Pemilihan warna hijau gelap dengan hiasan bunga menyerikan lagi Ulicafe yang berada di tengah bandar Kuala Terengganu,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN