MUKADIMAH
ACAP kali negara digemparkan dengan penemuan bom-bom lama dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua. Ada bom yang digugurkan oleh pesawat udara pada zaman itu tidak meletup ketika menjejak bumi lalu tertimbus puluhan tahun sehinggalah ia ditemui oleh orang awam.
Namun, jangan sangka ia tidak lagi aktif kerana selama mana pun ia tertanam, bahan letupan yang terkandung di dalamnya masih mampu menghancurkan persekitaran.
Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Unit Pemusnah Bom (UPB), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, ASISTEN KOMISIONER MOHAMMAD RAFEE ABU BAKAR berkata, kalau menjumpainya, jangan disentuh, diketuk atau dialihkan ke tempat lain.
Nasihatnya, laporkan terus kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan biarkan pihak berkuasa khususnya UPB mengendalikannya. Ikuti temu bual Mohammad Rafee bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
SIRI 1
Kenapa banyak bom lama ditemui?
MOHAMMAD RAFEE: Negara ini pernah melalui era Perang Dunia Kedua bermula 1939 sehingga 1945, zaman darurat dan ancaman pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) serta konfrontasi dengan Indonesia, Malaysia telah sekian lama terdedah kepada ancaman bom dan bahan letupan.
Bermula 1970-an, negara kita mengorak langkah pembangunan pesat dengan banyak kawasan diterokai. Semasa kerja-kerja penerokaan dijalankan, ketika inilah bom-bom peninggalan zaman perang sering ditemui.
Pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan untuk memusnahkan bom-bom lama ini atau dikenali sebagai unexploded explosive ordnance (UXO).
Pada pertengahan 1970-an, ancaman bom lama semakin memuncak dan kejadian merebak sehingga ke bandar-bandar utama. Justeru, pada masa itulah kerajaan memutuskan penubuhan UPB dalam PDRM. Bom-bom yang dilancarkan semasa zaman perang ini ada antaranya tidak meletup dan lama-kelamaan tertimbus jauh ke dalam tanah.
Adakah penemuan bom lama melibatkan lokasi tertentu sahaja?
Kemungkinan lokasi penemuan ini merupakan kawasan peperangan dan markas tentera. Contohnya, penemuan bom-bom lama dalam kuantiti yang banyak, kemungkinan kawasan tersebut dahulunya tempat simpanan amunisi atau ordnans letupan tentera.
Bagi penemuan bom dalam kuantiti sedikit dan dalam jarak dekat pula, mungkin kawasan peperangan. Bom tersebut dilancarkan tetapi tidak meletup. Contohnya, kes penemuan bom lama di Terminal Kargo Ipoh, Perak.
Sejauh mana risiko kepada masyarakat setempat?
Saya tidak menafikan bom-bom peninggalan zaman perang mewujudkan perasaan takut dan bimbang kepada masyarakat. Bagaimanapun, PDRM mempunyai UPB yang terlatih dan mahir dalam aspek pengurusan pemusnahan bom-bom lama.
Tindakan pemusnahan bom-bom lama ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan. Ini bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap penduduk, harta benda awam atau petugas UPB sendiri.
Justeru, sebarang penemuan objek yang disyaki bom, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyentuh atau mengalihkannya. Maklumkan kepada PDRM dalam kadar segera.
Ada lokasi ‘panas’ bom lama?
Hampir semua negeri mempunyai kes penemuan bom lama. Namun, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Sabah adalah antara negeri yang menyumbang jumlah tertinggi penemuan bom lama. Bagaimanapun, lokasi terperinci tidak boleh didedahkan atas dasar kerahsiaan dan kepentingan awam.
Biasanya, lokasi penemuan bom lama merupakan kawasan pembangunan yang dahulunya adalah hutan atau tidak berpenduduk. Ia kemudian dibangunkan bagi tujuan perladangan atau perindustrian dan semasa proses inilah, bom-bom tersebut ditemui. Begitu juga di kawasan atau pesisir pantai.
Pun begitu, kita tidak boleh menganggap ia sudah tidak aktif kerana di dalam bom tersebut masih lagi mengandungi bahan letupan. Pada bila-bila masa sahaja ia boleh meledak.
Boleh perinci bom-bom tersebut?
Terdapat pelbagai jenis bom lama yang dijumpai seperti hand grenade, mortar, artillery shell, periuk api, aerial bomb dan pelbagai bentuk lain.
Saiz yang paling besar dijumpai adalah jenis Aerial Bomb 1000 lb yang digugurkan dari pesawat pada zaman Perang Dunia Kedua. Bom-bom ini kebanyakannya milik tentera British, juga tentera Jepun. Ada juga bom-bom lama yang pernah digunakan oleh pasukan keselamatan kita semasa darurat dahulu.
Berapa radius kesan letupan yang boleh dihasilkan?
Kesan letupan yang terhasil daripada bom-bom lama ini bergantung kepada saiz dan kuantiti bahan letupan yang ada pada bom tersebut.
Sebagai contoh, kesan letupan Aerial Bomb 1000 lb boleh mencapai sehingga 1.5 hingga dua kilometer (km). Bagaimanapun, dalam tindakan pemusnahan bom, UPB akan memastikan kesan letupan yang terhasil dapat dikawal seterusnya mengelak berlaku kesan sampingan seperti kerosakan harta benda, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Bagaimana UPB menjalankan kerja-kerja pemusnahan bom lama?
Dalam proses pengendalian bahan letupan, sudah tentu ia melibatkan keselamatan nyawa dan harta benda. Bukan sahaja kepada orang awam dan kawasan sekitar, malah petugas UPB sendiri. Dalam mengambil tindakan pemusnahan bom-bom lama ini, petugas UPB telah dilatih dalam mengendalikan bahan letupan dan menjalankan proses pemusnahan.
Di mana pemusnahan dijalankan?
Dalam sesuatu tindakan pemusnahan, UPB akan menjalankan penilaian terlebih dahulu. Jika ia masih dalam keadaan belum dilancarkan, UPB akan memindahkannya ke kawasan lain yang lebih selamat seperti tapak pemusnahan atau lokasi lain yang sesuai dan jauh daripada orang awam.
Kebanyakan bom lama yang ditemui adalah dalam keadaan berkarat dan tiada pengenalan. Jika bom tersebut dipercayai telah dilancarkan dan tidak selamat untuk dialih, tindakan pemusnahan akan dijalankan secara in-situ iaitu di lokasi sama ia ditemui tanpa sebarang pengalihan dilakukan.
Proses pemusnahan dijalankan secara terkawal dan selamat dengan memastikan kawasan tersebut dikawal sepenuhnya daripada dimasuki oleh orang awam atau hidupan lain.

Adakah UPB berperanan mencari bahan letupan lama?
Ia tidak ditugaskan mencari. UPB hanya mengambil tindakan pemusnahan terhadap objek atau ordnans letupan yang dijumpai dan dilaporkan oleh mana-mana pihak.
Saranan saya, bagi projek pembangunan sesuatu kawasan yang dipercayai terdapat ordnans letupan, pihak pemaju boleh melantik syarikat pembersihan keselamatan untuk menjalankan proses pencarian ordnans letupan tersebut. Di negara ini terdapat beberapa syarikat yang menjalankan kerja-kerja mencari ordnans letupan ini dengan mematuhi beberapa prosedur keselamatan yang ditetapkan.
Sejauh mana keseriusan pihak berkuasa dalam perkara ini?
UPB amat menitikberatkan soal bahaya bahan letupan dan penemuan bom-bom lama. Pihak berkuasa sedaya upaya ingin menyalurkan maklumat dan nasihat kepada orang ramai tentang bahaya bahan letupan dan tindakan yang perlu diambil jika terjumpa bom-bom lama di kawasan awam.
Pelbagai aktiviti kesedaran UPB dijalankan seperti latihan atau ceramah berkenaan penemuan bom-bom lama kepada orang awam melalui pameran atau media sosial, aktiviti kesedaran keselamatan melalui televisyen, media cetak ataupun radio.
PDRM juga menjalin kerjasama rapat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk dalam memberi kesedaran berkenaan tindakan yang perlu diambil.
Nasihat tuan kepada orang ramai?
Pernah berlaku kes orang awam menjumpai bom lama. Mereka mengusik, menyentuh dan mengetuk bom tersebut dan tiba-tiba bom tersebut meletup. Ada juga kes melibatkan orang awam menghantar bom-bom lama ini ke kedai besi buruk untuk dijual. Nasihat saya, jangan lakukan.
Masyarakat tidak perlu bimbang kerana UPB mempunyai kepakaran. Lapor sahaja dengan segera kepada polis dan serah kepada kami untuk tindakan selanjutnya.
Bersambung minggu depan.










