Dulu kekok kini Aznita berani - Utusan Malaysia

Dulu kekok kini Aznita berani

Prinsip berniaga Aznita Zainul Azman adalah suka bersaing cara sihat. Bukannya menjatuhkan jenama lain untuk berjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mula-mula dulu memang saya malu untuk ke depan, mempromosi produk di media sosial. Tetapi ayah selalu memberi dorongan. Berkat sokongan membentuk saya menjadi Aznita baharu,” kata Nita kepada Seri.

Nita atau Aznita Zainul Azman, 30 adalah Pengasas Jenama NITA Cosmetics. Jenama dibangunkan sejak 2017 itu menawarkan produk kecantikan khusus buat wanita. Ia merupakan perniagaan keluarga.

Katanya walaupun namanya perniagaan keluarga dengan status ayahnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Dimensi Eksklusif, Tan Sri Zainul Azman tetapi dia tidak boleh goyang kaki hanya kerana status anak bos.

“Mungkin orang fikir kalau ayah berniaga, laluan kerjaya anak senang. Tetapi saya sebaliknya. Saya kerah tenaga empat kerat saya untuk membangunkan perniagaan ini. Lebih-lebih lagi pada saat dunia sedang dilanda pandemik Covid-19, di mana waktu itu perniagaan mencatatkan penurunan jualan di pusat beli belah,” katanya.

Aznita memberitahu, membina sesuatu jenama bukanlah berlaku sekelip mata sebaliknya mengambil masa.

“Saya sering diejek, diperli dan dipandang rendah oleh orang sekeliling. Mentaliti masyarakat waktu itu sering menganggap jenama tempatan lebih rendah kualitinya, berbanding jenama import.

“Situasi itu menyebabkan saya rasa resah dan gelisah masa mahu membuat pelancaran produk. Tetapi bagi saya, kejayaan adalah bukti yang terbaik. Biarkan sahaja kejayaan kita yang menyerlah.

“Ketika berniaga pula, saya tidak gemar bersaing dengan menjatuhkan jenama lain. Sebaliknya saya lebih suka bersaing cara sihat.

“Hari ini saya lihat berlaku kecenderungan ‘perang’ antara pemilik jenama di media sosial.

“Itu bukan perkara yang baik kerana ia melambangkan diri kita sendiri. Jadilah wakil yang terbaik untuk jenama anda,” katanya.

Aznita berkata, sabar kunci utama ketika mengharungi pelbagai cabaran terutamanya pada tahun pertama perniagaan bermula.

“Meskipun orang ramai melihat pengasas wanita sebagai orang yang hebat dan kuat, tetapi saya ada kelemahan. Saya mudah rasa gementar selain selalu memikirkan perkara yang negatif,” katanya tersenyum.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini memberitahu, pada minggu pertama NITA Cosmetics dilancarkan, ada hari jualannya rendah sehingga ia mengundang rasa sedih dalam dirinya. Dia tidak senang duduk.

“Sampai bila kita perlu meratap sedihkan? Saya sedar jatuh bangun adalah asam garam perniagaan. Oleh itu saya berpegang kepada ayat ‘perubahan besar bermula dengan langkah yang kecil’.

“Bertitik tolak daripada itu saya jual produk saya dalam pelbagai laman web yang ada seperti Shopee dan Lazada bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewujudan produk ini sekali gus mengembangkan pasaran,” katanya.

Produk gincu dalam kotak menarik.

AYAH IDOLA

Ke mana kuah tumpah kalau tidak ke nasi. Nita menjadikan bapanya sebagai idola. Katanya, sifatnya yang penyabar dan berdaya saing itu diterapkan oleh bapanya sejak kecil.

Berkongsi pengalaman itu, katanya Nita, walaupun bapa seorang yang amat disegani dalam dunia perniagaan, tetapi beliau sarat dengan naluri kebapaan.

“Ayah seorang yang murah hati dan sentiasa menasihatkan anak-anaknya untuk tidak berputus asa. Sebaliknya perlu menjadi agresif dalam apa-apa bidang yang diceburi.

“Waktu kecil saya seorang yang sangat pemalu sehingga mahu lalu di koridor sekolah pun saya tidak berani untuk mengangkat kepala.

“Dengan didikan bapa, saya mula belajar untuk meningkatkan keyakinan diri dengan membuat tutorial solekan di media sosial dan berjumpa dengan pelanggan. Ia merupakan latihan yang bagus untuk orang pemalu macam saya,” katanya.

Menurut Nita, bapanya adalah ahli perniagaan yang sudah mengharungi pelbagai cabaran bisnes. Beliau seorang yang murah hati dan sentiasa menasihatkan anak-anaknya untuk tidak berputus asa dan perlu menjadi agresif dalam apa-apa bidang yang diceburi.

Mengulas lanjut tentang produk jualannya itu, Nita berkata, produk NITA Cosmetics merangkumi kira-kira 100 jenis produk dengan harga yang berpatutan dan mampu milik.

“Produk kami sesuai untuk pelajar dan wanita yang baru mulakan kerjaya. Ianya juga diperkayakan dengan Vitamin E, Aloe Vera, Cocoa & Shea Butter, SPF dan sebagainya.

“Kualiti adalah keutamaan jenama kami. NITA adalah satu-satunya jenama tempatan yang mempunyai bedak asas merangkumi 15 rona warna.

“Misi utama saya menubuhkan perniagaan itu adalah untuk membantu meningkatkan keyakinan diri wanita dengan pelbagai pilihan rona warna kulit,” katanya.

“Selain itu, bagi membantu pelajar-pelajar dan juga suri rumah menjana pendapatan, NITA Cosmetics kini mencari agen dropship. Jika berminat boleh daftar di www.nitacosmetics.com” jelas anak kelahiran Selangor itu.

TUKAR BIDANG

Siswazah Middlesex Universitiy London dalam bidang Pengajian Filem dan Animasi itu mengakui laluan kerjanya bertukar 360 darjah apabila menyertai perniagaan kosmetik.

Katanya, beliau beralih bidang kerana berasakan pada tahun 2015 industri kosmetik antarabangsa sedang meningkat.

Perkara itu memberikan buah fikiran buat dirinya untuk mulakan produk kecantikan tempatan yang pada waktu itu tidak ramai orang yang membuat jenama tempatan.

“Saya mempunyai minat dalam pelbagai bidang terutamanya kosmetik. Jadi, saya tidak rasa pelik bila bertukar bidang kerana pengajian filem dan animasi turut membantu saya dalam membuat reka bentuk jenama selain memberikan inspirasi,” jelasnya

Sebelum terlibat dengan perniagaan kosmetik, beliau terlebih dulu menyertai dunia fesyen yang dibangunkan bersama keluarganya, Umma and NITA.

Perniagaan sehingga kini menjual pakaian wanita dan lelaki yang merangkumi baju kurung, tudung, pelitup muka dan sebagainya.

Gerai jualan jenama dibuka di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

“BELUM CUBA BELUM TAHU”.

Itu nasihat Nita buat wanita ingin menyertai sektor perniagaan. Tegasnya, keyakinan diri serta kekerapan dalam mempromosi apa yang dijual merupakan antara faktor kejayaan yang harus diberi sepenuh perhatian.

“Kejayaan adalah usaha-usaha kecil yang diulang setiap hari. Jangan terlalu dengar komen negatif orang ramai sebaliknya tingkatkan keyakinan diri.

“Banyakkan membaca buku yang boleh membantu diri. Cuba kawal fikiran anda kerana apa yang kita fikir mampu menghancurkan atau membina kualiti kehidupan kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×