Biro Cakna MTMAJ aktif bantu penduduk - Utusan Malaysia

Biro Cakna MTMAJ aktif bantu penduduk

IKHTIMAN Ismail (tiga dari kiri) bersama petugas barisan hadapan dan asnaf ketika menyampaikan barang keperluan dapur dan wang tunai di perkarangan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Pahang baru-baru ini. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANAN masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi ruang lingkup fungsinya sebagai pelantar meningkatkan kesejahteraan, perpaduan dan taraf kehidupan ummah.

Dalam usaha merealisasikan kesejahteraan komuniti setempat, pihak pengurusan masjid dan para jemaah boleh memfokuskan usaha kebajikan dan amal jariah membantu golongan yang kurang berkemampuan dan juga asnaf.

Pada zaman Nabi Muhamad SAW, baginda menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan pendidikan selain lokasi untuk perbincangan bagi mencari penyelesaian masalah.

Tugas ibadah, pendidikan dan perbincangan dapat membentuk para jemaah dengan sifat mulia seperti suka menghulur bantuan, menolong orang susah dan bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu kerja atau perkara.

Firman Allah yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 71)

Menyedari hal ini, ahli Jawatankuasa Biro Cakna, Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) kerap mengadakan program membantu menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk bandar Jerantut dan pinggir bandar.

Ia melalui program ziarah dan menyumbangkan bantuan (infak) kepada penduduk yang kurang kemampuan.

Sumbangan termasuk barang keperluan dapur, alat perlindungan diri (PPE), peralatan tidur, kerusi roda, lampin pakai buang, wang tunai dan sebagainya kepada penduduk terlibat termasuk bantuan untuk mereka yang terjejas banjir awal Januari tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Biro Cakna MTMAJ, Ikhtiman Ismail, 67, berkata, program ziarah dan bantuan yang diselenggarakan biro tersebut selari dengan hasrat pengurusan masjid, iaitu nilai arrahmah untuk melihat mereka yang kurang berkemampuan beroleh keselesaan walaupun mengalami pelbagai tekanan hidup.

Katanya, Biro Cakna MTMAJ mengenal pasti mereka yang wajar dibantu seperti menderita menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya, kehilangan punca pendapatan, hilang tempat bergantung (anak yatim), saudara baharu, pusat tahfiz dan sebagainya.

“Kita bersyukur selain para jemaah masjid ini ikhlas beramal jariah dan banyak berinfak barangan makanan dan wang tunai, bantuan yang sama juga diperoleh daripada pemimpin setempat, Majlis Ugama Islam Pahang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Pahang menyiapkan makanan ke dalam bekas untuk mangsa banjir baru-baru ini.

SERAH SUMBANGAN LEPAS ASAR

Menurut Ikhtiman, apabila menerima maklumat daripada ketua kampung dan pengerusi kawasan taman perumahan di situ mengenai penduduk yang memerlukan, jawatankuasa Biro Cakna akan bergerak untuk berziarah sambil membawa sumbangan selepas solat Asar.

“Sebelum penguatkusaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program ziarah dan bantuan ini melibatkan sekurang-kurangnya seminggu tiga kali selepas solat Asar.

“Tetapi, setelah PKP dilaksanakan, penduduk yang susah dan asnaf akan dihubungi dan mereka datang sendiri ataupun dibantu ahli keluarga atau jiran ke MTMAJ untuk mengambil barang infak dan wang tunai dengan mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu,” katanya.

Pegawai dari Pejabat Kadi Jerantut dan pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut turut memasak makanan untuk mangsa banjir di Jerantut, baru-baru ini.

Sementara itu, sukarelawan MTMAJ, Ahmad Fahmi Daud, 44, berkata, pengurusan masjd dan Biro Cakna juga beramal jariah membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir dan frontliners di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan bandar Jerantut ketika musibah banjir pada 3 Januari hingga 10 Januari baru-baru ini.

“Kita bergotong-royong memasak makanan termasuk minuman di ruang dapur masjid ini untuk juadah tengah hari dan malam dihantar kepada mangsa banjir di lokasi PPS beberapa buah sekolah dan dewan kampung pinggir bandar ini.

“Dengan amalan tolong-menolong ini menzahirkan sikap cakna dan peduli atas kesusahan rakan (mangsa banjir) dalam kalangan muslimin termasuk kaum lain yang berada di PPS berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, nilai semangat taawun (kerjasama) dan membantu dalam kalangan para jemaah, pemimpin setempat serta dermawan dijalin apabila merekalah membiayai (infak) sepenuhnya, iaitu dana untuk melestarikan tugas kebajikan dan sosial sukarelawan banjir MTMAJ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×