IPOH: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh memilih untuk membubarkan Parlimen hanya setelah tempoh mandat kerajaan Perikatan Nasional (PN) berakhir pada tahun 2023.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa sekarang terus berdepan tekanan agar pilihan raya umum (PRU) diadakan berikutan majoriti sokongan ahli Parlimen yang diragui.
Menurut beliau, sekalipun Perdana Menteri memilih untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum mandat berakhir, tiada siapa yang boleh menghalangnya kerana ia tidak salah daripada segi undang-undang.
“Tak ada siapa yang boleh suruh Perdana Menteri bubar Parlimen. Maknanya beliau boleh buat tidak peduli terhadap desakan agar bubar Parlimen.
“Nak buat apa, naik mahkamah? Mahkamah tak boleh buat apa-apa, mahkamah tak boleh minta Perdana Menteri nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya bubar Parlimen, itu prerogatif Perdana Menteri.
“Agong cuma boleh kata ya atau tidak apabila sudah ada permintaan bubar (Parlimen).
“Kalau Perdana Menteri rasa beliau kemungkinan kalah (dalam undi percaya di Parlimen), lebih baik beliau duduk di situ sahaja. Soal kena kutuk, itu soal politik malah beliau memang sudah kena kutuk pun, macam-macam orang kata padanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz bagaimanapun berkata, jika itu menjadi pilihan Perdana Menteri, ini akan menambahkan kesan lebih buruk terhadap ekonomi negara.
“Apabila kerajaan tiada mandat, beliau tiada keberanian dan ketegasan dan hendak buat apa pun susah. Kadang-kadang dasar dibuat tak ikut logik, sesetengahnya cuma gimik, tak sampai ke bawah,” katanya.
Mengenai ramalan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mungkin diadakan pada Ogos ini, Abdul Aziz berkata, ia adalah masa sesuai kerana kes Covid-19 semakin reda, selepas bulan puasa dan tempoh itu biasanya bukan dalam musim tengkujuh.Aziz Bari: PN boleh kekal sampai habis penggal.
Menurutnya, dalam hal ini, Perdana Menteri tiada pilihan selain daripada membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU-15 dan mengelak daripada berhadapan undi tidak percaya di Parlimen.
Katanya, dalam keadaan ekonomi semakin tidak menentu, tiada mandat dan sudah lebih setahun lebih menjadi Perdana Menteri, mengadakan pilihan raya dilihat lebih logik.
“Saya rasa Perdana Menteri pun tak mahu buat satu benda yang tak menentu. Daripada beliau buka sidang Parlimen, lebih baik diadakan pilihan raya, maknanya kalau kalah pun, tidaklah kalah dalam keadaan undi tidak percaya di Parlimen,’’ katanya. -UTUSAN










