PETALING JAYA: Angin kuat dipercayai punca juruterbang hilang kawalan ke atas helikopter jenis Airbus H125 yang terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini semalam.
Bagaimanapun, menurut sumber, siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.47 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi terdapat lima mangsa dalam keadaan stabil dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran.
“Kita mendapati seorang lelaki patah kaki kanan dan seorang lagi cedera ringan di kaki manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kesemua mangsa menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Hospital Klang dan Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Mohd. Ezanee Mohd. Faisal mengesahkan kejadian itu.
Bagaimanapun, ujarnya, siasatan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (MOT) bagi mengetahui punca kemalangan.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, pesawat jenis Airbus model AS350 B3 itu dikemudikan seorang juruterbang dan dinaiki empat penumpang.
Ia berlepas dari Sungai Lembing, Pahang pukul 8.30 pagi semalam dalam penerbangan ke Subang melalui Maran, Temerloh dan Karak di Pahang sebelum terbang di Batu Caves, Selangor.
“Dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan sementara baki tiga lagi mangsa berada dalam keadaan stabil,” tambah kenyataan itu.
Ini merupakan nahas helikopter kedua di negara ini tahun ini selepas 1 Januari lalu melibatkan pesawat jenis Robinson R66 milik My Heli Club di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor. – UTUSAN










