ALOR SETAR: Harga tanah di kawasan sawah padi di negeri ini yang murah menyebabkan lokasi tersebut menjadi ‘panas’ di pasaran apabila menjadi rebutan dalam kalangan syarikat perumahan.
Perkara itu didedahkan oleh Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah yang mendakwa tanah sawah di negeri ini hanya dijual pada harga RM6 hingga RM8 kaki persegi berbanding tanah di kawasan lain yang dijual pada harga RM18 hingga RM20 kaki persegi.
Yang Dipertua PKMM Kedah, Mohamad Fauzee Mohamad juga tidak menafikan lebih 80 peratus perumahan yang diusahakan mereka sebelum ini membabitkan tanah pertanian yang ditukar milik oleh syarikat perumahan terlibat.
“Sebagai kontraktor, kami tidak terlibat dalam urusan tukar status tanah pertanian ini, melainkan syarikat perumahan tetapi tidak dinafikan tanah bendang lebih murah.
“Dari segi peratusan pula boleh diandaikan sebanyak 80 peratus tanah yang terlibat (perojek perumahan baharu) merupakan tanah bendang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini tentang kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah padi di negeri ini ‘hilang’ selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Jumlah kawasan sawah padi di bawah Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini sekarang dianggarkan seluas kira-kira 100,685 hektar.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Md Zain pula berkata, isu penyusutan jumlah keluasan sawah padi di negeri ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah berlaku sejak lebih 10 tahun lalu.
Malah beliau berkata, pihaknya telah beberapa kali membangkitkan perkara itu termasuk bertemu Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Mengulas lanjut Mohamad Fauzee berkata, proses permohonan pertukaran status tanah kebiasaannya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun namun tidak menjadi halangan kepada syarikat pemaju yang berminat membangunkan tanah sawah.
“Proses permohonan tukar status tanah ini bukan mudah tetapi masalah tersebut bukan menjadi halangan kepada mereka untuk menunggu proses tersebut,” katanya.
Beliau menambah, walaupun projek perumahan dibangunkan di kawasan sawah padi namun tetap mendapat sambutan.
Sementara itu, menurut pengurus besar sebuah syarikat perumahan, Mohd. Zubir Ahmad, pertukaran status pembangunan di kawasan tanah pertanian tidak akan mendapat kelulusan secara sewenang-wenangnya sebaliknya mengikut keperluan setempat termasuk demografi penduduk.
“Ia melibatkan kertas kerja cadangan pembangunan projek untuk dinilai oleh Pejabat Tanah, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Kerajaan Tempatan.
“Dalam erti kata lain, syarikat pemaju harus menyakinkan kerajaan bahawa kawasan perumahan itu memanfaatkan penduduk terutama melibatkan kepadatan penduduk sebelum satu-satu projek itu diluluskan. Itu memakan masa dari dua hingga tiga tahun untuk diluluskan,” kata Pengurus Besar AIMA Development Sdn. Bhd. itu.
Tambah beliau, setakat ini pembangunan di tanah pertanian yang ditukar status itu hanya melibatkan pinggir bandar sahaja. – UTUSAN










