PUTRAJAYA: Individu menolak vaksin yang akan diberi secara berperingkat mulai 26 Februari ini kemungkinan akan dihadkan pergerakan mereka di luar rumah oleh pihak berkuasa.
Ini termasuk tidak membenarkan mereka memasuki premis perniagan dan restoran dalam usaha memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjaya.
Selepas ini kemungkinan hanya mereka yang telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sahaja dibenarkan memasuki premis perniagaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, program imunisasi Covid-19 itu penting bagi memastikan pemulihan segera dari pandemik itu menerusi pemberian vaksin percuma sebagaimana dikehendaki kerajaan.
Katanya, ini supaya pelaksanaan imunisasi itu berjalan lancar, sekali gus memastikan semua rakyat termasuk bukan warganegara mendapat vaksin.
“Jika mana-mana individu tidak divaksin, mereka berkemungkinan dilarang untuk bergerak ke mana-mana dan ini tidak akan memberikan manfaat kepada seseorang.
“Berkemungkinan juga pengusaha perniagaan dan restoran akan meletakkan peraturan sebagai satu bentuk keprihatinan bahawa hanya mereka yang divaksin sahaja dibenarkan masuk atau dibenarkan menjalankan perniagaan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan laman web www.VaksinCovid.gov.my di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Menurut Muhyiddin, banyak program kesedaran berhubung keperluan vaksin telah disebarkan kepada kebanyakan kumpulan masyarakat dan penduduk agar mereka sedar kesan vaksinasi dalam jangka masa panjang.
“Saya tidak mahu cakap tentang itu tetapi mungkin pada masa depan, dari sudut pelancongan jika sesebuah negara pada satu peringkat menuntut setiap orang divaksin, mereka meletakkan satu bentuk pasport dan perlu membuktikan seseorang itu divaksin jika mahu ke luar negara,” ujarnya.
Menurut Muhyiddin, pelaksanaan vaksin Covid-19 akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara dalam usaha mengembalikan semula kegiatan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Beliau menjelaskan, walaupun terdapat 34 peratus dalam kalangan responden kajian tidak pasti sama ada mahu menerima atau menolak vaksin, namun peratusan penerimaan adalah lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kita telah membuat keputusan suntikan vaksin ini tidak wajib, ia adalah sukarela. Saya fikir kebanyakan negara juga membuat keputusan sama. Namun, peranan media juga penting untuk menyebarkan maklumat vaksin ini adalah selamat sebagaimana kita sudah lihat di kebanyakan negara.
“Dengan strategi media dan penyebaran luas bahan kempen mengenai vaksin Covid-19, saya percaya peratusan penerimaan vaksin tidak akan lebih rendah dan rakyat sedar tentang kepentingan vaksin,” katanya.
Beliau berkata, pada satu peringkat, rakyat akan memahami keperluan vaksin ketika kebanyakan negara lain melaksanakan vaksinasi Covid-19. – UTUSAN










