PM terima vaksin di PKD Putrajaya - Utusan Malaysia

PM terima vaksin di PKD Putrajaya

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 akan mendapatkan suntikan di Pusat Kesihatan Da­erah Putrajaya, 26 Februari ini.

Mengesahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Perdana Menteri membuat keputusan menjadi penerima pertama bagi memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa vaksin selamat diguna pakai.

“Perdana Menteri akan menerima vaksin hari pertama itu pada waktu pagi bersama-sama petugas barisan hadapan,” katanya di sini semalam.

Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada tarikh itu secara berfasa melibatkan petugas barisan hadapan sehingga April.

Kira-kira 4,200 pemvaksin da­lam kalangan petugas Kementerian Kesihatan akan menjadi kumpulan terawal diberikan vaksin se­­belum mereka me­laksanakan tugas.

Selain 500,000 petugas barisan hadapan, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) turut disenarai sebagai penerima fasa pertama.

Ahli politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang dikategorikan sebagai barisan hadapan kerana sering bertemu dengan masyarakat dan terdedah risiko jangkitan Covid-19.

Turut menyatakan komitmen Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob disenaraikan sebagai individu pertama yang bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga bersedia menjadi penerima awal vaksin.

Fasa kedua pelaksanaan vaksin akan bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya.

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei ini hingga Februari 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN