PETALING JAYA: Tidak mustahil angka pengangguran bakal mencecah sejuta orang dalam beberapa bulan akan datang pada tahun ini.
Ini selepas Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah pengangguran kepada 772,900 orang dengan kadar 4.8 peratus sehingga Disember tahun lalu.
Menganggap jumlah itu membimbangkan, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, walaupun kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 sama dengan kadar pada bulan sebelumnya, jumlah penganggur sebenarnya meningkat lebih dari 8,500 orang dalam tempoh November ke Disember.
Malah, katanya, jumlah pekerja pada Disember 2020 (15.215 juta) belum lagi mencapai jumlah pekerja pada bulan yang sama pada 2019 (15.286 juta) selepas ramai kehilangan pekerjaaan pada tahun lalu.
“Ini bermakna bukan sahaja tiada pertambahan kerja dalam tahun 2020 malah apabila mengambil kira lebih 100,000 graduan yang mencari pekerjaan, ia menyebabkan jumlah mereka yang menganggur semakin meningkat.
“Kemungkinan untuk jumlah pengangguran semakin meningkat memang ada kerana PKP 2.0 masih dilanjutkan dan banyak sektor yang kekal tutup dan pergerakan penduduk masih dikawal. Oleh itu tidak mustahil ia akan mencecah satu juta orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Razman berpandangan bahawa pengangguran satu juta orng masih dapat dielakkan tetapi memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
“Ia dapat dielakkan jika kerajaan komited melaksanakan inisiatif dalam Belanjawan 2021 berjumlah RM3 bilion di bawah Penjana Kerjaya yang mahu menyediakan peluang pekerjaan kepada 500,000 orang termasuk program MyStep yang menjanjikan 50,000 pekerjaan kontrak.
“Jika komitmen ini tidak dapat direalisasikan, angka satu juta penganggur bakal jadi kenyataan malahan boleh lebih tinggi lagi daripada itu,” katanya. – UTUSAN











