SEREMBAN: Pemilihan UMNO sekiranya diputuskan untuk diadakan pada tahun ini mesti mengambil kira kesesuaian keadaan termasuk berhubung penularan Covid-19.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setelah pindaan terhadap Perlembagaan UMNO dibuat, proses pemilihan parti itu tidak lagi diputuskan oleh perwakilan semasa perhimpunan berlangsung.
Jelas beliau, sebaliknya ia melibatkan perwakilan UMNO di semua bahagian yang akan bermesyuarat serentak di seluruh negara.
“Tatacara yang ketat dan tepat berserta infrastruktur yang lengkap mesti disediakan. Bagaimana cara mengadakan pemilihan dan pengundian jika pergerakan dan perkumpulan masih lagi terhad atau mesyuarat perlu diadakan secara maya atau jumlah korum yang terhad.
“Maka tarikh persidangan cawangan-cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian seluruh negara pada pandangan saya amat bergantung kepada situasi dan keadaan penularan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara kita, yang sepatutnya menjadi agenda semua rakyat negara ini adalah untuk menyekat penularannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua jawatan termasuk kerusi presiden terbuka ditandingi pada pemilihan tahun ini. – UTUSAN










