Mukadimah
PADA 12 Januari lalu, Jabatan Perangkaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) menguncup 5.6 peratus berbanding unjuran Kementerian Kewangan, iaitu 4.5 peratus.
Ini secara tidak langsung memberi gambaran mengenai keadaan ekonomi negara hari ini, sejauh mana terjejas akibat pandemik Covid-19. Namun, ada kritikan daripada pihak tertentu menyatakan kerajaan seolah-olah tiada hala tuju untuk ekonomi negara.
“Perkara paling utama ialah menangani Covid-19 dan pelan vaksinasi melibatkan seluruh rakyat telah diumumkan yang secara tidak langsung akan mempercepatkan pemulihan ekonomi,” tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM sebagai penjelasan kepada isu-isu berkaitan hala tuju ekonomi negara.
UTUSAN: Sebelum ini Kementerian Kewangan mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup 4.5 peratus, namun pengumuman BNM dan Jabatan Perangkaan mendapati penguncupan sebanyak 5.6 peratus. Boleh Datuk Seri jelaskan keadaan ini?
MUSTAPA: Pertumbuhan ekonomi negara-negara di seluruh dunia pada tahun lalu sangat terkesan dengan pandemik Covid-19. Malaysia juga tidak terkecuali. Amerika Syarikat (AS) menguncup 2.5 peratus, Kesatuan Eropah (-6.4) dan Singapura (-5.8).
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Kementerian Kewangan mengunjurkan penguncupan KDNK sebanyak -4.5 peratus bagi 2020 (2019: 4.3 peratus).
Namun, Jabatan Perangkaan dan BNM pada 12 Februari lalu mengumumkan penguncupan KDNK sebanyak -3.4 peratus pada suku keempat 2020 dan penguncupan sebanyak -5.6 peratus bagi keseluruhan tahun sama.
Unjuran dibuat Kementerian Kewangan pada November berdasarkan data yang ada pada ketika itu iaitu enam bulan pertama 2020. Pada masa itu, pertumbuhan bagi separuh kedua 2020 dijangka lebih baik dengan andaian kerajaan berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 pada separuh kedua 2020 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pada suku ketiga 2020, ekonomi negara mula menunjukkan kesan pemulihan iaitu daripada penguncupan sebanyak -17.1 peratus pada suku kedua, kepada -2.6 peratus berikutan langkah melonggarkan kawalan pergerakan dan pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas berjaya mengawal penularan Covid-19 pada ketika itu.
Bagaimanapun, pada suku keempat 2020, kes Covid-19 kembali melonjak. Gelombang ketiga mula melanda pada September. Kerajaan terpaksa mengadakan semula PKP Bersyarat (PKPB) yang bermula di tujuh negeri pada Oktober dan disambung dengan PKP pada Januari sehingga sekarang.
Gelombang ketiga ini menjejaskan kedudukan ekonomi menyebabkan penguncupan yang lebih besar pada suku keempat berbanding suku ketiga. Kesannya, penguncupan ekonomi yang lebih besar bagi keseluruhan 2020.
Jabatan Perangkaan mengutip data pada setiap bulan. Berdasarkan data Oktober dan November, iaitu dua bulan dalam suku keempat, sememangnya kerajaan sudah menjangkakan prestasi keseluruhan 2020 adalah lebih rendah daripada yang diunjurkan sebelum ini.
Apakah pelaksanaan PKPB dan disambung dengan PKP ketika ini akan memberi kesan lebih buruk untuk suku pertama tahun ini dibandingkan tempoh sama 2020?
Pada suku pertama 2020, ekonomi negara berkembang sebanyak 0.7 peratus. Gelombang kedua Covid-19 mula melanda pada hujung Februari dan PKP dilaksanakan bermula 18 Mac iaitu di penghujung suku pertama tahun lalu.
Adalah dijangka prestasi ekonomi suku pertama tahun ini lebih baik daripada suku keempat tahun lalu yang mencatatkan penguncupan 3.4 peratus. Ini kerana hampir semua sektor ekonomi dibuka semula pada 5 Februari lalu.
Bagaimanapun, untuk mencapai prestasi yang sama seperti suku pertama tahun lalu agak mencabar kerana asas (base) suku pertama tahun lalu adalah positif iaitu pertumbuhan 0.7 peratus.
Bagaimanapun, besar kemungkinan pertumbuhan suku kedua 2021 adalah jauh lebih baik daripada suku kedua 2020.
Apa perancangan kerajaan untuk memastikan ekonomi dapat digerakkan semula sepenuhnya memandangkan keluk Covid-19 masih belum dapat dilandaikan sepenuhnya?
Kerajaan memantau setiap perkembangan ekonomi melalui Jabatan Perangkaan, Kementerian Kewangan, BNM, Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dan Unit Perancang Ekonomi (UPE).
EAC bermesyuarat setiap minggu untuk membuat keputusan segera sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Kerajaan juga melancarkan lima pakej ekonomi sejak Mac tahun lalu sehingga Januari melibatkan nilai sebanyak RM320 bilion. Pakej-pakej ini telah mengurangkan kesan Covid-19 ke atas ekonomi di samping mengurangkan beban rakyat khususnya B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kementerian Kewangan dan BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia di antara 6.5 peratus sehingga 7.5 peratus pada 2021. Apakah negara berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai sasaran ini?
Ya, negara berada di atas landasan untuk mencapai sasaran tersebut.
Pertama, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hujung bulan ini akan membantu pemulihan ekonomi negara. Apabila vaksin diedarkan, tahap keyakinan pengguna dan pelabur bertambah baik. Program vaksinasi ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.
Kedua, Belanjawan 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan akan membantu menggerakkan semua sektor ekonomi.
Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan memperkenalkan langkah untuk menyusun semula struktur ekonomi negara supaya lebih mampan dan berdaya maju. Antaranya dasar digital dan 4IR negara. Ekonomi digital adalah masa depan negara.
Keempat, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun mula merancang menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19. Dalam mesyuarat NEC baru-baru ini, wakil sektor pembuatan dan PKS memberi gambaran kepada kerajaan bahawa mereka perlukan lebih banyak pekerja tahun ini.
Kelima, pertumbuhan ekonomi dunia yang positif akan mendorong merangsang ekonomi tempatan dengan permintaan lebih tinggi. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)mengunjurkan perdagangan dunia meningkat sebanyak 8.1 peratus bergantung kepada pembendungan pandemik Covid-19 dan keberkesanan dasar yang diperkenalkan.
Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan mengumumkan statistik pengganguran meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember lalu. Bagaimana jangkaan pasaran buruh selepas ini?
Kerajaan menyedari hakikat pengganguran adalah suatu isu yang perlu ditangani. Selain pengganguran, ada juga isu guna tenaga tidak penuh iaitu individu yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu.
Dengan pembukaan semua sektor, umpamanya sektor informal dan sektor peruncitan dijangka pulih. Namun, sektor pelancongan mengambil masa lebih lama untuk pulih selagi pintu sempadan tidak dibuka. Sebagai contoh, industri pelancongan di Johor terjejas disebabkan pintu sempadan Malaysia-Singapura tidak dibuka. Pelancongan amat penting kerana mewakili kira-kira 15 peratus daripada KDNK.
Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk mempertahankan pekerjaan. Sebagai contoh, Program Subsidi Upah (PSU) memberikan kesan yang amat besar. Hampir RM20 bilion diperuntukan untuk PSU yang memberikan faedah kepada lebih 320,000 majikan melibatkan lebih 2.5 juta pekerja.
NEC akan menangani isu pengangguran dengan lebih berfokus di mana jentera kerajaan termasuk Kementerian Sumber Manusia dan wakil-wakil industri akan duduk semeja bagi membincangkan hal-hal berkenaan bekalan tenaga buruh dan permintaan daripada pelbagai sektor.
Ada pihak berpendapat, kerajaan tidak ada hala tuju yang jelas dalam ekonomi. Sehingga hari ini, tidak nampak satu perancangan dibuat apatah lagi RMK-12 masih belum dibentangkan. Apakah hala tuju ekonomi negara dan bagaimana RMK-12?
Kita berada dalam keadaan krisis yang tidak pernah dialami dalam sejarah. Tidak ada Perdana Menteri sebelum ini yang menghadapi situasi sebegini. Ini adalah krisis melibatkan seluruh dunia.
Umpamanya krisis 1997-1998 di Asia Timur hanya melibatkan sektor perbankan dan hartanah. Krisis 2007-2008 tidak melibatkan sektor pelancongan. Sekarang pintu sempadan ditutup dan banyak kapal terbang tidak boleh ‘terbang.’ Tidak pernah ada dalam sejarah hampir tujuh bilion manusia di seluruh dunia perlu disuntik dengan vaksin.
Perubahan berlaku dengan cepat bagaimana gelombang ketiga kembali melanda sehingga menyebabkan kita terpaksa menyusun semula perancangan.
Perdana Menteri memberikan perhatian sepenuhnya untuk menangani krisis kesihatan yang memberikan kesan serius kepada ekonomi negara. Beberapa langkah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi krisis kesihatan dan krisis ekonomi ini.
Kerajaan mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas. Perkara paling utama ialah menangani Covid-19 dan pelan vaksinasi melibatkan seluruh rakyat telah diumumkan yang secara tidak langsung akan mempercepatkan pemulihan ekonomi. Kerajaan memastikan makanan ada di atas meja.
Di bawah RMK-12, beberapa langkah akan diperkenalkan untuk menstruktur ekonomi supaya lebih berdaya tahan dengan memberi tumpuan kepada pendigitalan, ekonomi hijau, teknologi termaju dan pelaburan berkualiti.
Pandemik Covid-19 menyebabkan RMK-12 yang dijadualkan dibentangkan pada Ogos tahun lalu terpaksa ditangguhkan untuk penilaian semula kerana keadaan yang berubah hari ini.
Walaupun RMK-12 belum dibentangkan di Dewan Rakyat, namun pelaksanaan projek pembangunan bagi 2021 boleh dimulakan memandangkan peruntukan telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 pada 15 Disember lalu.
Sehubungan itu, kerajaan akan memastikan projek dapat dilaksanakan dengan segera oleh kementerian dan agensi bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi. Saya dan Ketua Setiuasaha Negara akan memantau perkara ini.
Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh. Keutamaan kini ialah semua pihak, baik sektor awam, sektor swasta dan rakyat memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memulihkan semula ekonomi.
Kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan daripada semua pihak bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela. Contohnya, I-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan mendengar suara rakyat. Begitu juga pembukaan semua sektor ekonomi dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik pada setiap masa seperti sambutan Tahun Baharu Cina.
Cabaran hari ini amat besar. Kerajaan perlu mengimbangi soal nyawa dan ekonomi. Kehidupan perlu diteruskan. Kita harus bersama untuk terus melangkah ke hadapan.










