NPL naik RM28.7b - Utusan Malaysia

NPL naik RM28.7b

Belia yang muflis kebanyakan mereka gelap mata semasa ditawar pinjaman dalam tempoh singkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah pinjaman tak berbayar (NPL) seba­nyak RM28.7 bilion pada akhir tahun lalu iaitu tertinggi sejak sembilan tahun kebelakangan ini, secara tidak langsung memberi amaran kepada kerajaan supaya segera membantu rak­yat menstrukturkan semula pinjaman mereka.

Awal bulan lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan jumlah NPL sistem perbankan negara mencapai nilai ter­tinggi dalam tempoh sembilan tahun kepada RM28.7 bilion pada peng­hujung 2020.

Jumlah tersebut meningkat setiap bulan pada suku keempat tahun lalu. Statistik turut me­nunjukkan hutang isi rumah menjadi sektor tertinggi NPL me­libatkan pembiayaan perumahan, ken­deraan, kad kredit serta pinjaman peribadi iaitu RM11.8 bilion setakat akhir Di­sember lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kegagalan mengawal NPL akan menyebabkan kecairan dalam pasaran berkurang dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kata beliau, jika NPL tidak dikawal, lebih ramai peminjam akan berhadapan risiko muflis.

“Bank akan terjejas kerana tidak mendapat pulangan dan kemungkinan akan lebih berhati-hati dalam memberikan pinjaman.

“Rakyat yang muflis dan bank yang tidak mahu memberi pinjaman akan menyebabkan kurang kecairan dalam pasaran dan ini akan merencatkan aktiviti ekonomi negara, melainkan tindakan intervensi dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Malaysia merekodkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh tiga suku berturut-turut tahun lalu iaitu -17.1 pada suku kedua, -2.6 peratus (suku ketiga) dan -3.4 peratus (suku keempat). KDNK negara pada 2020 adalah -5.6 peratus, terendah sejak 1998.

Menurut Ahmed Razman, kerajaan perlu menjalankan kempen berterusan untuk mem­bantu peminjam menstrukturkan semula pinjaman atau memberikan moratorium bayaran balik pinjaman kepada yang tidak mampu membayar, walaupun di bawah penstrukturan pinjaman.

“Selain itu, mencipta peluang pekerjaan harus menjadi keutamaan supaya kadar pengangguran dapat dikurangkan dan peminjam mempunyai sumber pendapatan untuk membayar komitmen hutang mereka.

“Alternatif kepada pinjaman bank juga harus diuar-uarkan supaya rakyat tidak berterusan dibebankan dengan hutang,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu merancakkan ekonomi negara dengan menarik pelabur luar untuk mela­bur di Malaysia.

Ujarnya, kerajaan telah me­laburkan wang yang banyak bagi memastikan ekonomi negara terus terbina dalam situasi pandemik Covid-19 sejak 2019 dan ini masanya menarik lebih banyak wang dari luar.

“Memang kerajaan telah buat pelbagai program tapi kita perlu tumpukan kepada pelabur asing. Bagi memastikan pelabur asing berminat untuk melabur di Malaysia, kerajaan boleh mengambil inisiatif menurunkan cukai korporat kepada pelabur asing.

“Buat masa ini, cukai korporat negara kita lebih tinggi berbanding negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Vietnam,” ujarnya.

Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijadual dibentangkan bulan hadapan yang menentukan penggubalan dan pelaksanaan pelan pembangunan negara 2021-2025 turut memainkan peranan pen­ting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, kita perlu menstabilkan politik negara kerana suasana politik yang agak rapuh kini membuatkan pelabur asing risau untuk melabur di Malaysia. Ini kerana dasar lebih mudah berubah sekali gus merencatkan pelan pelaburan asing di sini,” jelasnya.

Tambah beliau, jumlah NPL yang semakin meningkat ini juga mampu memperlahankan KDNK Malaysia yang dijangka tumbuh 6.7 peratus oleh Bank Dunia tahun ini.

“Sudah tentu institusi perbankan negara akan mengambil langkah berhati-hati dalam meluluskan pinjaman dan ini secara tidak langsung menjejaskan KDNK kerana kurangnya pinjaman baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN