Memanfaatkan peranan ahli psikologi dalam masyarakat - Utusan Malaysia

Memanfaatkan peranan ahli psikologi dalam masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia dan dunia pekerjaan berubah dari masa ke masa. Sektor pekerjaan pada hari ini dicirikan oleh persekitaran dinamik lantaran wujudnya pelbagai perubahan dalam dunia pekerjaan dan persekitarannya.

Di kebanyakan tempat, perubahan ini menjejaskan budaya kerja, produktiviti organisasi malah kesinambungan aktiviti ekonomi sesebuah organisasi.

Perubahan turut mengakibatkan ramai dalam kalangan masyarakat berhadapan dengan cabaran untuk bekerja.

Ramai pekerja mengalami kesusahan kerana kehilangan pekerjaan atau ketidaktentuan lain dalam pekerjaan mereka, satu fenomena yang memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi individu dalam masyarakat.

Kesejahteran Psikologi sering dikaitkan dengan fenomena kesihatan mental walaupun ianya juga melibatkan aspek tingkah laku, sosial, emosional dan spiritual dalam diri pekerja.

Ada pelbagai faktor yang mempengaruhi kesejahteraan psikologi di tempat kerja, seperti faktor geopolitik, kemajuan sains dan teknologi, keadaan ekonomi, perubahan gaya hidup, migrasi, pertukaran sistem atau budaya kerja, perubahan iklim dan pandemik penyakit.

Ia juga boleh disebabkan oleh masalah peribadi seseorang pekerja atau masalah dari pihak lain yang mengganggu kesejahteraan diri pekerja.

Faktor ini telah mempengaruhi sifat dan struktur kerja sehingga menjejaskan tahap kepuasan kerja, mempengaruhi kualiti kerja, dan membahayakan kesihatan mental seperti tekanan perasaan, keletihan atau kemurungan.

Keadaan ini akan memberi kesan negatif kepada tempat kerja, prestasi kerja, produktivi organisasi, keharmonian keluarga pekerja, dan juga masyarakat.

Kesejahteraan Psikologi pekerja adalah sama penting dengan keadaan kesihatan fizikal pekerja kerana ianya memberi kesan kepada prestasi kerja mereka.
Ia memerlukan perhatian sewajarnya dari pelbagai pihak.

Majikan perlu memastikan bahawa organisasi mereka bukan sahaja mementingkan produktiviti tetapi kesejahteraan psikologi pekerja.

Di antara aspek kesejahteraan psikologi pekerja boleh diwujudkan atau dipupuk ialah aspek kesesuaian personaliti pekerja dengan tugas dan tanggungjawab mereka di tempat kerja.

Aspek ini boleh dipertingkatkan dengan pelaksanaan proses pemilihan pekerja berdasarkan maklumat personaliti dan kompetensi individu yang boleh dinilai oleh ahli psikologi.

Di samping itu, organisasi juga boleh merangka kaedah tertentu untuk membina motivasi pekerja serta melaksanakan intervensi sesuai untuk mencegah kemerosotan prestasi kerja dalam kalangan pekerja.

Usaha ini boleh dijayakan dengan penglibatan ahli psikologi di tempat kerja.

Dengan penglibatan ahli psikologi, pihak majikan boleh mempersiapkan pekerja dengan tahap kesediaan yang perlu untuk mengatasi sebarang perubahan pekerjaan, mendepani cabaran secara efektif, dan menangani masalah yang mereka alami.

Peranan mereka juga boleh dimanfaatkan untuk membantu meningkatkan kualiti hidup perkerja di luar waktu bekerja, iaitu ketika bersama keluarga dan masyarakat.
Mereka juga boleh membantu pekerja mengurus sebarang keadaan negatif dari luar tempat kerja yang boleh memberi kesan kepada kualiti kerja.

PENGURUSAN TEMPAT KERJA
Pengurusan tempat kerja harus mewujudkan satu persekitaran tempat kerja yang baik untuk membina kesejahteran psikologi pekerja dan memberikan sokongan yang diperlukan mereka sekiranya wujud keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi.

Kesejahteran Psikologi di tempat kerja bukan sahaja penting majikan atau organisasi, tetapi turut mewujudkan individu sejahtera dalam keluarga dan masyarakat. Di negara kita, beberapa inisiatif telah diambil oleh agensi kerajaan dan swasta untuk melaksanakan aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia terutamanya dalam aspek pemilihan pekerja, penilaian prestasi pekerja, pembangunan pekerja, kaunseling, intervensi penambahbaikan cara kerja, latihan dan penyelidikan tentang organisasi serta pekerja.

Aplikasi psikologi mustahak
Tujuan utama pelaksaanaan aplikasi psikologi tersebut adalah untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang positif kepada pekerja dan majikan. Untuk tujuan ini, peranan ahli psikologi dan organisasi telah dimanfaatkan oleh pelbagai organisasi, termasuklah sektor awam.

Mereka adalah profesional terlatih untuk mengaplikasikan ilmu psikologi dalam proses pemilihan pekerja, pembangunan kompetensi dan kerjaya pekerja, pengurusan pekerja, dan penambahbaikan proses kerja.
Mereka juga terlibat dalam usaha mewujudkan susasana harmoni dalam hubungan sesama pekerja dan merangka persekitaran pekerjaan yang positif.

Pelaksanaan applikasi psikologi juga penting untuk membantu majikan meningkatkan kepedulian mereka terhadap kebajikan dan kesihatan para pekerja. Ini penting agar keadaan psikologi yang merosot pekerja dapat dibendung agar tidak memberi kesan negatif kepada keadaan dan kesihatan fizikal mereka.

Untuk meningkatkan kecekapan organisasi, mewujudkan persekitaraan pekerjaan yang positif, atau untuk mengurangkan masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja, beberapa langkah strategik boleh dilaksanakan.

Ianya merangkumi satu proses menyeluruh.
Antaranya:
* Untuk mengenalpasti ciri pekerja yang mempunyai tahap kesejahteraan psikologi yang rendah supaya intervensi tertentu boleh dilaksanakan.
* Mengenalpasti punca tahap kesejahteraan psikologi yang rendah dalam kalangan pekerja yang bermasalah.
* Mengenalpasti pekerja yang berhadapan suasana yang menyebabkan kesejahteraan psikologi mereka terjejas.

Pada ketika ini terdapat beberapa instutusi Pendidikan tinggi awam dan swasta dalam negara menawarkan Program Sarjana Psikologi dalam bidang ini. Pelajar Sarjana Psikologi Industri dan Organisasi dilatih dengan ilmu dan kemahiran penyelidikan dan pelaksanaan aplikasikan ilmu psikologi untuk mengupayakan organisasi di dalam usaha merubah, membina, dan menambahbaik kesejahteraan individu dan organissasi.

Mereka dilatih dengan kemahiran untuk membina kompetensi pekerja dan membantu membina keupayaan pekerja untuk menjaga kebajikan kendiri dan orang lain dalam dunia pekerjaan.

Profesion ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan organisasi dan mewujudkan suasana tempat kerja yang menitikberatkan kesejahteraan psikologi.

Ianya adalah satu profesion yang dapat membantu mewujudkan persekitaraan pekerjaan baik dan kesejahteraan psikologi pekerja Malaysia. Untuk memantapkan peranan profesion ini, pengwujudan kod amalan dan badan untuk mentadbir-selia profession dan professional Ahli Psikologi Industri dan Organisasi, ahli psikologi pekerjaan, atau profesional pembangunan rganisasi juga boleh dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.
——
Penulis adalah Dekan, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seorang Profesor dalam bidang Psikologi Pekerjaan di Jabatan Psikologi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN