Lima jam dipukau - Utusan Malaysia

Lima jam dipukau

WANITA dikenali sebagai Puan Sal menjadi mangsa sindiket Macau Scam di Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selama ini, apabila mendapat panggilan telefon dari nombor yang pelik dan tidak dikenali, seorang wanita di sini pasti tidak menjawabnya.

Namun, pada 15 Januari lalu, ia bagaikan mimpi ngeri buat wanita berkenaan apabila dia menjawab panggilan telefon dari nombor tidak dikenali.

Selama lima jam wanita ber­kenaan bercakap dengan empat individu yang mana tiga daripadanya mendakwa anggota polis.

Dalam tempoh itu, wanita tersebut seakan-akan dipukau oleh scammer sehinggalah dia mengeluarkan wang pelaburannya berjumlah RM48,000 sebagai menuruti arahan sindiket itu.

Wanita berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Sal berkata, mulanya dia dihubungi individu memperkenalkan diri­nya dari Pos Laju yang mendakwanya ada mengirim barang terlarang.

“Saya menafikan perkara itu dan akhirnya panggilan disambungkan kepada ‘Sarjan Azilah Adam’. Dia maklum saya bukan saja mengirim barang terlarang malah turut terlibat dengan penjualan syabu dan dadah.

“Masa ini saya sangat gelabah, tambahan lagi dimaklumkan ada waran tangkap ke atas saya. Masa itu langsung tidak terfikir tentang scammer, perasaan takut dan bimbang mengatasi segalanya.

“‘Azilah Adam’ beritahu akan bantu saya dan dia perlukan maklumat tentang diri saya termasuk berkaitan akaun bank serta aset dimiliki. Sepanjang percakapan dengannya, lakonannya cukup menjadi apabila sering kali dia menyebut, Ya Allah kenapa orang ini sanggup buat macam ini kepada saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Puan Sal berkata, selepas bercakap dengan ‘Azilah Adam’, talian telefon disambungkan kepada dua lagi anggota bernama ‘Mazlan’ dan ‘Ridzuan’ yang kononnya akan menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau berkata, ‘Ridzuan’ memaklumkan segala akaun banknya akan disekat dan sebagai langkah keselamatan perlu dipindahkan ke akaun perlindungan.

“Dia minta saya keluarkan duit ASB dan jangan letak telefon dan angkat jika ada panggilan lain, dia juga minta saya tutup data internet telefon. Sepanjang urusan keluarkan duit di ASB dan masukkan duit ke akaun bank diberikan, saya hanya mengikut segala arahan diberikan oleh Ridzuan,” katanya.

Menurutnya, setelah selesai memindahkan wang berjumlah RM48,000 ke dua akaun bank peribadi kononnya akaun perlindungan diberikan oleh scammer berkenaan, ‘Ridzuan’ memintanya merahsiakan perkara itu termasuk dari suaminya.

Suami Puan Sal yang hanya ingin dikenali sebagai Mat berkata, dia bimbang kerana secara kebia­saannya pada hari Jumaat isterinya akan pulang kerja awal.

“Jadi, saya hubunginya beberapa kali namun tidak dijawab dan selepas pulang ke rumah keadaan dirinya tidak seperti biasa, dia nampak lemah dan tidak bermaya. Sehingga kini pun dia masih trauma dan hendak pergi ke bank pun dia takut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 171 kes Macau Scam direkodkan di negeri ini sedikit berkurangan berbanding 184 kes pada 2019.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan pada tahun lalu adalah kira-kira RM7.824 juta dan RM5.503 juta pada 2019. Untuk mangsa, ia melibatkan 88 lelaki dan 83 pe­rempuan pada 2020 dan pada 2019 (83 lelaki dan 101 perempuan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN