ALOR SETAR: Kedah akan melaksanakan semula dasar menghalang tanah sawah dibangunkan dengan projek perumahan dan industri bagi memastikan pengeluaran padi di negeri ini tidak terjejas.
Kerajaan negeri berpendapat, tanah sawah perlu disimpan sebagai jelapang makanan dan tidak boleh ditukarkan menjadi kawasan industri dan perumahan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah tersebut pernah diperkenalkan oleh kerajaan negeri ini pada 2009 bagi mengekang aktiviti tersebut daripada terus berleluasa.
“Saya mahu dasar itu dilaksanakan semula. Di samping itu, kerajaan negeri berharap agar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat diperluaskan menjadi MADA Plus yang diyakini dapat meningkatkan pengeluaran padi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia, Ahad lalu yang mendedahkan mengenai ‘kehilangan’ kira-kira 35,000 hektar tanah sawah di Kedah selepas ditukar kepada
kegunaan lain seperti pembangunan industri dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lalu.
Jumlah kawasan sawah padi di bawah MADA di negeri ini sekarang dianggarkan seluas kira-kira 100,685 hektar.
Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas iaitu tanah sawah perlu disimpan sebagai jelapang makanan dan tidak boleh ditukarkan menjadi kawasan industri
serta perumahan.
Namun, katanya, perkara itu masih tertakluk kepada Kanun Tanah Negara yang membenarkan lima peratus tanah pertanian dibina bangunan seperti rumah kediaman.
“Apa pun dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035, kita memiliki perancangan untuk mengekalkan tanah sawah padi di Kedah sebagai jelapang makanan.
“Bagi tujuan itu, kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan permintaan kerajaan negeri untuk diberikan insentif bernilai RM170 juta bagi membolehkan negeri ini bertahan sebagai
jelapang makanan.
“Jumlah itu bukanlah sesuatu yang melampau kerana jika semua tanah sawah ini ditukar menjadi kawasan komersial, kerajaan negeri akan dapat mengutip cukai berjumlah RM1.7 bilion setahun. Ini merupakan pengorbanan dilakukan Kedah demi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menambah, kerajaan negeri juga perlu dibantu untuk mengekalkan di kawasan sawah padi dengan mempercepatkan projek-projek berimpak tinggi seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Lebuh Raya Koridor Utara serta pembangunan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) supaya menjadi ‘enjin’ baharu ekonomi negeri.
“Pada dasarnya, kita komited dengan usaha tersebut (mengekalkan kawasan sawah padi), namun perlukan sokongan penuh kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Mengulas mengenai usaha untuk menambah pengeluaran padi di sebalik cabaran dihadapi, Muhammad Sanusi berkata, MADA ketika ini telah mengusahakan program pertanian padi
berskala besar yang diyakini mampu meningkatkan hasil.
Katanya, program tersebut melibatkan lebih 20 petani muda di mana mereka mengusahakan kawasan sawah seluas antara 20 hingga 80 hektar serta memiliki jentera sendiri.
“Dalam masa sama, kita mengharapkan agensi berkaitan dapat membawa lebih banyak teknologi dan kaedah penanaman yang sesuai dengan tanah kita.
“Mungkin padi bukit juga boleh diusahakan semula dengan galakan dan bantuan kerajaan. Di Thailand juga, mereka semakin berinovasi dan menghasilkan teknik penanaman
yang pelbagai,” katanya. – UTUSAN










