PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2020 menyusut 5.6 peratus, menjadikannya catatan terendah ekonomi negara sejak penyusutan 7.4 peratus pada 1998.
Penyusutan itu juga lebih tinggi berbanding unjuran kerajaan yang meletakkannya pada 3.5 hingga 5.5 peratus.
Selain itu, KDNK untuk suku keempat 2020 menyaksikan penguncupan lebih besar kepada 3.4 peratus, berbanding penguncupan 2.7 peratus pada suku ketiga 2020.
Ekonomi negara dijangka hanya mula menunjukkan pemulihan bermula separuh kedua tahun ini didorong oleh permintaan global dan domestik yang kembali normal susulan program vaksinasi.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam sidang akhbar maya Bank Negara Malaysia (BNM) tentang pengumuman data KDNK suku keempat 2020 semalam.
Sidang akhbar tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Mohd. Uzir dan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.
Penguncupan ekonomi suku keempat itu berikutan sekatan pergerakan yang lebih ketat pada penghujung tahun lalu yang memberikan kesan kepada usaha pemulihan ekonomi.
Ia merupakan penguncupan untuk suku ketiga berturut-turut apabila negara mencatatkan KDNK terburuk pada suku kedua tahun lalu dengan ekonomi menguncup 17.1 peratus.
Secara bulan ke bulan, KDNK menyusut 4.7 peratus pada Oktober, 4 peratus pada November sebelum berkembang pada Disember sebanyak 1.7 peratus. – UTUSAN










