‘Johor tenang, baik-baik saja’ - Utusan Malaysia

‘Johor tenang, baik-baik saja’

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PADA 14 April 2019, DATUK DR. SAHRUDDIN JAMAL yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri menamatkan tanda tanya semua pihak apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 menggantikan Datuk Osman Sapian.

Meskipun berpeluang menerajui sehingga Februari 2020, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu tetap menyifatkan pentadbirannya sebagai ‘suatu tempoh yang mungkin singkat tetapi amat bermakna’ walaupun tidak sempat sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menjelma.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AIMY AHMAD dan jurugambar RAJA JAAFAR ALI, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri itu baru-baru ini berkongsi pandangan terutama soal hubungan bersama UMNO di Johor.

Malah, sebagai doktor perubatan, beliau turut berkongsi kepentingan penglibatan rakyat dalam program imunisasi Covid-19 yang bermula hujung bulan ini selain menyentuh peranan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

 

UTUSAN: Apa fokus utama PN Johor ketika ini?

SAHRUDDIN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Putrajaya. la menterjemahkan secara jelas komitmen kerajaan dalam memastikan program itu berjaya dilaksanakan.

Kerajaan sedar vaksin ini penting sebagai salah satu kaedah untuk mengawal pandemik Covid-19 dan merupakan antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat, harus diingat masih belum ada ubat terhadap virus itu.

Maka, sudah tentu fokus utama PN Johor ketika ini adalah untuk sama-sama menjayakan program itu yang merupakan antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat, sekali gus membendung dan menamatkan pandemik Covid-19 yang secara tidak langsung menangani impak-impak berlaku termasuk soal ekonomi.

Bagaimana hendak meyakinkan rakyat untuk mengambil suntikan itu?

Saya percaya mungkin ada kumpulan minoriti atau golongan antivaksin yang enggan mengambil atau menerima vaksin Covid-19 ini. Tetapi, inisiatif bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan imunisasi dan ancaman kesihatan global juga perlu dilaksanakan secara meluas hingga ke akar umbi.

Saya sebagai seorang doktor, doktor-doktor lain, pegawai kesihatan serta media kena selalu ingatkan dan berkempen untuk mereka semua mengambil suntikan imunisasi. Kalau boleh, tiada golongan yang menolak untuk ambil imunisasi.

Kita semua ambil suntikan hepatitis B, BCG dan kalau hendak tunai umrah atau haji pun kena ambil suntikan antimeningokokus meningitis yang mencegah kita daripada diserang virus. Jadi, tiada masalah untuk kita terima suntikan, memang akan ada kesan sampingan tetapi tidaklah seteruk mana dan kalau ada pun ia sangat minimum.

Indonesia sudah buat sebulan lepas, Singapura juga pada penghujung Disember dan tiada kesan yang sangat buruk terjadi, maka tak perlu takut dan sebab itu Presiden Indonesia menjadi orang pertama dan di Malaysia, Perdana Menteri. Hatta di Johor jika saya kena jadi yang pertama saya bersedia.

Bagaimana Datuk melihat suasana politik di Johor?

Suasana politik di Johor pada ketika ini adalah tenang dan baik-baik sahaja. Politik di sini sangat unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain kerana gabungan antara Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Pas di Johor saling bermusyawarah antara satu sama lain.

Kita tidak terikut-ikut dengan sentimen politik luar sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri-negeri lain. Suasana politik sentiasa berada di satu tahap yang lain. Sentiasa menghormati antara satu sama lain.

Malah, sejak awal pentadbiran kerajaan PN lagi, politik di Johor menunjukkan kematangan tersendiri. Parti-parti politik yang membentuk kerajaan baharu pada bulan Mac tahun lalu sentiasa meletakkan keutamaan terhadap soal kemaslahatan rakyat.

Dikatakan PRU-15 sudah semakin hampir, bagaimana hubungan Bersatu dan UMNO di Johor?

Saya sendiri pun tidak tahu bila Parlimen akan dibubarkan untuk memberi laluan PRU-15 diadakan. Cuma yang saya tahu Tan Sri Muhyiddin telah beberapa kali menyatakan Parlimen akan dibubarkan selepas Covid-19 reda. Maka ada baiknya ketika ini, kita bersama-sama kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan situasi Covid-19 segera reda dan pulih.

Bercakap mengenai hubungan Bersatu dan UMNO di Johor, secara peribadi saya menyifatkan semuanya sebagai okey. Alhamdulillah. Bersatu boleh menerima Datuk Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi UMNO Johor sebagai Menteri Besar.

Malah saya percaya Menteri Besar juga bekerjasama baik dengan barisan ADUN Bersatu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco). Saya sendiri sebagai bekas Menteri Besar senang berurusan dan berbincang dengan beliau.

Bagaimanakah sokongan Bersatu kepada MB?

Tiada masalah untuk kita menyokong Menteri Besar sekarang yang naik atas sokongan, persetujuan dari kita ADUN Bersatu, jika dilihat Exco daripada Bersatu juga membantu Menteri Besar untuk pembangunan di Johor.

Saya cukup yakin dengan kebijaksanaan Menteri Besar sekarang, apa pun keputusan yang dibuat diterima oleh kita daripada Bersatu. Saya rasa tiada isu bab sokongan. Insya-Allah selagi mana ada mandat kepada beliau, Bersatu akan sokong.

Malah saya harap pihak Menteri Besar dalam apa jua keputusan dapat terus berbincang bersama-sama pucuk pimpinan Bersatu, setakat ini alhamdulillah setiap keputusan memang dibincang bersama kita, cuma lebih banyak perjumpaan dan perbincangan akan dapat menyelesaikan masalah dengan lebih lancar.

Bagaimana pula soal pembahagian kerusi?

Saya berpendapat masih belum masanya untuk bercakap secara terbuka perihal ini. Biarlah Tan Sri Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi PN Johor menjawab setiap soalan mengenai pengagihan kerusi di Johor.

Begitu juga, Presiden UMNO bercakap bagi pihak UMNO dan Presiden Pas mewakili parti itu. Saya percaya ketiga-tiga sosok pemimpin utama parti ini akan sentiasa duduk bermusyawarah bagi mencari formula terbaik untuk menyelesaikan perkara ini.

Tetapi, saya bersetuju perlu pendekatan tolak ansur antara ketiga-tiga parti yang disebutkan. Perlu ada toleransi dan keputusan menang-menang. Kita lihat kerjasama yang sedia terbentuk bukan sekadar untuk kukuhkan kerajaan PN sehingga tamat penggal, tapi lebih daripada itu.

la adalah suatu penyatuan ummah. Kesatuan parti-parti politik yang sentiasa meletakkan keutamaan terhadap kemaslahatan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed ada menyebut parti itu tidak akan beri laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi mereka?

Kami Bersatu mudah, sekarang bukan waktunya berpolitik, sekarang masa bantu rakyat dalam keadaan Covid-19 belum selesai, ekonomi yang kurang baik jadi kurangkan berpolitik. Fokus kepada isu-isu yang dapat bantu rakyat, kita kena sejukkan suasana politik di Johor, perbincangan kerusi kita serah kepada pucuk pimpinan parti.

PN ada Bersatu, Pas dan Gerakan, ini melihatkan PN semakin kuat, semakin banyak parti-parti ingin kerjasama di bawah satu payung. Tentang isu-isu yang dilontarkan oleh UMNO kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk selesaikan. Kami di Bersatu lebih guna kaedah kita kurangkan cakap politik tapi perbanyakan perkara atau hal untuk bantu rakyat.

Politik hari ini tidak menyaksikan parti menjadi pilihan sebaliknya calon?

Secara peribadi saya akui berlakunya perubahan terhadap landskap politik tanah air dan sedikit sebanyak ia juga mengubah dinamik politik dalam beberapa sudut, tetapi tidaklah ketara. Setakat hari ini suasana politik kian stabil dari semasa ke semasa walaupun negara sedang bergelut dengan cabaran Covid-19.

Kerajaan PN juga sentiasa berusaha dengan pelbagai agenda untuk memulihkan ekonomi negara. Begitu juga dengan inisiatif yang disediakan kepada rakyat untuk kembali bangkit.
Kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap rakyat, semua komitmen ini dirasai sendiri oleh rakyat. Justeru, apabila PRU-15 nanti, saya tidak menolak kemungkinan akan ada rakyat melihat sosok calon sebagai pilihan.

Namun, saya juga tidak menolak kemungkinan, sebilangan besar rakyat akan melihat pilihan raya itu daripada sudut yang lebih besar iaitu melihat sebuah gabungan politik yang stabil, kukuh dan berkeupayaan untuk mentadbir kerajaan secara berintegriti serta memegang kukuh prinsip rule of law.

Bagi Bersatu Johor sendiri, sudah tentu parti akan meletakkan calon yang benar-benar berkualiti serta diterima akar umbi dan rakyat. Insya-Allah, Bersatu Johor serahkan sepenuhnya soal calon kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

Pas hanya menang satu kerusi DUN Johor pada PRU-14, bagaimana mereka dapat bantu PN?

Kita kena tahu bahawa dalam PRU satu undi dikira menang dan satu undi juga boleh kalah, paling kecil pun peranannya tetap besar dan yang besar sudah tentu lebih besar peranannya, jadi tak timbul isu Pas satu kerusi.

Yang penting kita bekerjasama, sebab itu wujudnya PN sebagaimana dahulu ada Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan banyak parti kecil yang bernaung dibawahnya.
Jadi, PN dan parti-parti lain kena faham bahawa akhirnya tiada satu parti pun yang akan menang, semua adalah gabungan beberapa parti yang membentuk satu payung PN di dalam PRU-15 nanti.

Kita lihat pada Pilihan Raya Negeri Sabah, tiada satu parti pun yang menang. Akhirnya yang menang PN yang bergabung dengan BN, jadi tiada lagi istilah abang besar, abang long kerana yang penting adalah macam mana kita dapat bersama. Dalam Islam pun ada sebut kita perlu berjemaah.

Mungkinkah Datuk akan ke kerusi Parlimen pula?

Buat masa ini, lebih utama bagi saya adalah berkhidmat yang terbaik kepada rakyat terutama pengundi DUN Bukit Kepong. Mereka telah undi dan pilih saya sebagai ADUN pada PRU-14. Kepercayaan ini perlu dibalas dengan bekerja kuat serta memenuhi setiap hasrat mereka.

Alhamdulillah, saya juga telah dilantik sebagai Exco di bawah kepimpinan Datuk Osman. Kemudian, saya diberikan kepercayaan dan dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang Ke-17 bermula April 2019 hingga Februari 2020. Suatu tempoh yang mungkin singkat tetapi amat bermakna.

Insya-Allah dengan sedikit ilmu dan pengalaman yang diraih ini, saya sentiasa bersedia untuk menerima apa jua ketentuan daripada Ilahi dan menerima sebarang arahan atau keputusan daripada pucuk pimpinan parti.

KITA SENTIASA ALERT ISU NANAS

Apa pembaharuan yang Datuk laksanakan sepanjang menjadi Pengerusi LPNM?

Saya masih baharu di LPNM bermula Jun 2020, kita fokus untuk meningkatkan pendapatan penanam nanas di samping ingin mengukuhkan tanaman nanas MD2 kerana ia varieti premium yang kita cukup yakin akan menambah pendapatan mereka.

Nilai jualan dan permintaan varieti itu tinggi serta pemasaran yang lebih mudah, contohnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lalu nanas MD2 tetap menjadi pilihan masyarakat sehingga ke hari ini dan tidak cukup di pasaran.

Pasaran nanas dikatakan amat perlahan ketika ini?

Saya akui baru-baru ini tular isu lambakan nanas Moris, varieti ini memang banyak digunakan untuk segmentasi masakan yang digunakan dalam majlis-majlis. Apabila PKP kali kedua, majlis tidak dibenarkan menyebabkan hasil tuaian berlebihan di sebalik permintaan berkurangan.

Alhamdulillah, LPNM mengambil langkah proaktif dengan membantu pekebun nanas jenis ini di beberapa daerah yang berdepan masalah pasaran dengan memasar dan melakukan pemadanan bersama kilang pengetinan. LPNM berharap tindakan yang telah dilakukan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pekebun yang terlibat.

Saya turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana telah membantu pekebun nanas jenis Moris yang terjejas dalam memasarkan buah tersebut.

Harapan Datuk kepada warga kerja LPNM?

Penting untuk penanam-penanam nanas mendaftar bersama LPNM, jadi kita boleh alert (berwaspada) dan tahu masalah mereka. Hubungan baik antara penanam dan warga kerja LPNM ini akan membuatkan lebih mudah untuk kita tangani apa-apa isu.

Jadi, harapan saya warga LPNM sentiasa turun ke kawasan supaya isu yang wujud pada peringkat awal berada dalam pengetahuan mereka. Insya-Allah dengan cara ini, tak akan jadi isu besar seperti berlakunya lambakan nanas Moris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×